:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

23 August 2011

PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 2011 / 1432 H



Pengerusi IMPI
Akhi Muhammad Zaki bin Md. Rosnan



Bismillahirrahmannirahim.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahil Hamd!

Assalamualaikum WBT, salam Ramadhan dan salam Aidilfitri diucapkan kepada seluruh ahli Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI).

Bersyukur kepada Allah swt yang sentiasa memberi nikmat kepada kita tanpa henti. Sehingga saat ini, kita masih diberi kesempatan untuk merasai nikmat berada dalam madrasah Ramadhan pada tahun ini. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk Ramadhan meninggalkan kita. Semoga kita sentiasa tergolong dalam kalangan hamba-hamba yang bertaqwa dan bersyukur atas segala pemberianNya. Selawat dan salam juga diucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang sanggup berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan Islam yang tercinta.

Alhamdulillah, setelah hampir sebulan kita melaksanakan jihad melawan hawa nafsu, kini, kita hampir tiba untuk menyambut hari kemenangan umat Islam, Hari Raya Aidilfitri yang mulia.

Sahabat sahabiah sekalian,

Apabila kita menyambut hari raya sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT, maka hendaklah kita menyambutnya dalam suasana yang terikat dengan syariat Allah. Allah memerintahkan kita untuk ‘litukabbirallah (mengagungkan Allah) di atas segala hidayah dan nikmatNya. Maka janganlah hari raya menjadi medan untuk kita kembali kufur kepada Allah SWT dengan melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam. Jangan ada yang melakukan perbuatan sumbang seperti pembaziran, menyimpan dendam, hasad dengki dan sebagainya. Sebaliknya, kekalkanlah ketaatan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan ini, untuk terus mekar sepanjang hari raya dan juga hari-hari berikutnya.

Ana berharap agar daripada tarbiyah Ramadhan selama sebulan ini, ia dapat membangkitkan semula kesedaran kita untuk mengangkat martabat Islam ke tempat yang setinggi-tingginya. Sebagai mana Ramadhan telah memerdekakan umat Islam daripada penyembahan sesama makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah, maka ia sepatutnya telah menyedarkan kita untuk kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Setelah kita berpuasa semata-mata kerana Allah, maka marilah kita berjihad kerana Allah untuk melaksanakan perintah-perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.
Akhir kalam, ana mohon maaf atas segala kekurangan yang ada dalam penulisan kali ini dan dengan perlakuan ana selama ini. Semoga tarbiah Ramadhan yang kita telah tempuhi pada kali ini dapat memberi kesan positif dalam diri untuk menempuh 11 bulan yang akan datang. 
Ana berdoa supaya kita semua selamat daripada sebarang kecelakaan pada hari raya ini dan dapat kita bersama-sama merapatkan ukhuwah dan silaturrahim melalui amalan ziarah, bermaafan-maafan, balik kampung dan sebagainya. Berhati-hatilah di jalan raya dan pulanglah ke kampung halaman masing-masing dengan selamat.
Waallahua’lam, assalamualaikum WBT.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan batin.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahil Hamd!

p/s: Jangan lupa puasa sunat enam hari!

19 August 2011

Usrah Umum


Bersempena bulan Ramadhan Kareem kali ini, satu usrah umum telah diadakan pada hari ini ,Jumaat,19/8/2011 bersamaan dengan 19 Ramadhan 1432 hijrah. Pengisian usrah ini disampaikan oleh salah seorang tenaga pengajar di sini iaitu Dr.Mohd. Rosdi bin Mahamud, merangkap Ketua Jabatan, Jabatan Pengajian Islam (JPI).
Pengisian usrah pada kali ini banyak berkisar tentang hal-hal yang berkaitan dengan bulan Ramadhan. Antaranya, beliau memperingatkan supaya  kita semua mempertingkatkan ibadah terutamanya pada hari-hari terakhir Ramadhan. Beliau juga berpesan supaya kita menjadikan madrasah Ramadhan yang kita lalui pada kali ini menjadi satu titik tolak kepada perubahan dalam diri dan moga ibadah-ibadah yang kita lakukan itu tidak terhenti dengan berakhirnya bulan Ramadhan.
Antara gambar yang sempat dirakam sewaktu usrah berlangsung :

Dr.Mohd. Rosdi bin Mahamud
Alhamdulillah~





 Khusyuk mendengar kalam murabbi..
 
 

Alhamdulillah..hampir semua muslimat IMPI hadir



Jutaan terima kasih dan tahniah buat mereka yang berjaya menghadirkan diri dalam majlis ilmu tersebut. Bersyukurlah kerana Allah telah memilih antom untuk berada dalam salah satu taman-taman syurgaNya. Buat mereka yang tidak hadir, teruskan mujahadah anda.=) Moga kita semua akan dapat berkumpul bersama-sama dalam aktiviti yang akan datang. InsyaAllah.
 Akhir kalam, mudah-mudahan Allah memberikan kepada kita kemudahan untuk kita melaksanakan ibadah kepadanya terutamanya pada hari-hari terakhir Ramadhan dan moga kita istiqamah dengan ibadah-ibadah tersebut.

Salam mujahadah dalam mengejar Redha Ilahi.. Ingatlah, pandangan Allah itu yang perlu kita cari..=) 

16 August 2011

Bicara MT

Ramadhan Kareem..

Oleh:Ukhti Nor Aina Mardiyyah binti Zaidan
Bendahari Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam(IMPI)


Assalammualaikumwarahmatullahiwabarakatuh…
Itulah lantunan indah yang diperkenalkan oleh Islam buat sesama ummah lambang kejituan dan kesyumulannya. Segunung syukur dipanjatkan buat Allah Tuhan Penguasa setiap yang berstatus makhluk, rahmatNya melingkari petala langit dan menjangkaui dalaman pasak bumi. 

Selawat dan salam khas buat perintis risalah agung dari Ilahi, pencetus arus dunia sehingga bercorakkan warna-warni Islam, junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menghidupkan dunia dengan ruh Islam di setiap perdu cakra alam yang berjaringan ke alaf mutakhir ini. Tidak terkecuali juga buat keluarga baginda yang tercinta, para sahabat dan seluruh penerus agenda perdana iaitu dakwah Islamiah sekalian. Salam Ramadhan buat ikhwah dan akhawat IMPI sekalian.

Alhamdulillah, akhirnya sampai juga pena ke jemari ini bagi mencoretkan tinta bicara mutakhir Majlis Tertinggi Pimpinan Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam. Sahabat, sempena kedatangan Ramadan al-Mubarak ini, ingin ana titipkan sedikit nukilan ramadhan buat kalian. Ballighu anni walau ayah…

Ikhwah dan akhawat IMPI sekalian,
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “Kemuncak segala bulan adalah bulan Ramadhan dan kemuncak segala hari adalah hari Jumaat”. Baginda bersabda lagi, “Jika hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadhan, sudah tentu mereka bercita-cita supaya bulan Ramadhan berpanjangan selama setahun”.

Sahabat, melalui sabda Rasulullah s.a.w ini terbukti sesungguhnya ramadhan adalah satu-satunya bulan yang paling istimewa daripada 12 bulan yang lain. Bulan ini adalah yang penuh kemuliaan, keberkatan, rahmat, maghfirah(keampunan), pembebasan daripada seksaan api neraka, gandaan pahala, dikurniakan malam lailatulQadar dan banyak lagi.

Ikhwah dan akhawat IMPI sekalian,
Ramadhan adalah bulan berpuasa, puasa yang diistilahkan dalam bahasa al-Quran dan as-Sunnah dengan nama ‘siyam’ atau ‘saum’. Mungkin ramai yang tidak menyedari betapa besarnya faedah dan manfaat berpuasa ini. Nabi Adam a.s berpuasa selama 30 hari 30 malam sebagi kaffarah kerana memakan buah larangan di syurga. Nabi Daud a.s berpuasa selama enam bulan dalam setahun, iaitu dengan melakukan puasa secara berselang-seli. Adapun Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya difardukan puasa dalam bentuk yang sederhana, tidak lebih daripada sebulan dalam setahun dan puasa mengikut syariah hanya pada waktu siang. 

Sahabat, dalam bulan ini kita bukan sekadar menahan diri daripada tuntutan nafsu makan dan minum tetapi juga mendisiplinkan pancaindera daripada terlibat dengan maksiat zahir. Hati dan perasaan juga hendaklah tunduk kearah mengagungkan Allah dan mentaati perintahnNya dan menjauhi segala maksiat batin. Jika perkara-perkara batiniah turut sama menghayati roh ibadah puasa, maka itulah petanda bahawa kita dapat mencapai darjat puasa yang paling istimewa yang diistilahkan oleh Imam Ghazali sebagai “ Puasa Khususul-Khusus”.

Ikhwah dan akhawat IMPI sekalian,
Terlalu banyak keistimewaan Ramadhan yang ingin dikongsi, tetapi sebagai penutup, ana ingin memetik ucapan Rasulullah s.aw. di hadapan para sahabat pada hari terakhir bulan Syaaban, “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kamu sekalian akan dinaungi oleh bulan agung lagi penuh barakah, iaitu bulan yang padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah telah menjadikan siyam sebagai satu fardhu dan qiam sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah dengan amal kebajikan padanya maka ia diberi pahala amalan fardhu pada bulan yang lain. Sesiapa yang menunaikan satu amalan fardhu padanya nescaya sama seperti melakukan tujuh puluh dalam bulan lain.

Ramadhan adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu balasannya ialah syurga. Ramadhan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan ini Allah menambah rezeki bagi orang yang beriman pada bulan tersebut. Sesiapa yang memberi makanan untuk berbuka pada bulan Ramadhan kepada seorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu menyebabkan terampun dosa-dosanya, dan memerdekakan diinya daripada api neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa itu tanpa sedikit pun berkurangan”

Para sahabat berkata : “Wahai Rasulullah, tidaklah kami semua memiliki makanan untuk dimakan oleh orang yang berpuasa.” Maka bersabda Rasulullah s.a w : “Allah memberikan pahala ini kepada orang yang memberikan sebiji kurma, atau seteguk air, atau sehirup susu. Bulan Ramadhan permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka. Sesiapa yang meringankan bebanan daripada hamba sahaya nescaya Allah mengampuni dosanya dan memerdekakannya dari neraka”.

Justeru, marilah warga IMPI sekalian, kita merebut limpahan nikmat dan rahmat yang Allah dah janjikan buat kita semua dalam bulan ini. Moga-moga kita semua tergolong dalam golongan yang disebut oleh Allah dalam al-Baqarah ayat 183 iaitu “semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa”. InsyaAllah…

Sekadar itulah saja perkongsian Ramadhan daripada ana buat kalian. Sempena Ramadhan al-Mubarak dan kedatangan Syawal ini ,ana mengambil kesempatan ingin memohon jutaan kemaafan atas segala salah dan silap ana sepanjang memegang amanah sebagai pimpinan IMPI 2010/2011 ini dan juga sepanjang berukhuwah. 

Sekalung ucapan terima kasih buat warga IMPI yang telah banyak memberikan kerjasama, nasihat, teguran dan panduan. Pesanan ana untuk diri ana sendiri, buat peneraju IMPI yang akan datang dan semua warga Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam, pantang mengalah apabila diselubungi masalah, kembalilah kepada Allah jangan sesekali berasa lelah, yang indah pastinya bukan mudah kerana syurga dipagari jutaan mehnah. 

Semoga terus thabat menegakkan Islam deenul Mahabbah wal Maghfirah…wassalam..

10 August 2011

Kuliah Perdana Istiqbal Ramadhan

Syukur ke hadrat Ilahi, akhirnya program yang telah dirancang pada bulan Syaaban yang lalu telah berjaya dijalankan dengan jayanya. Iaitu Kuliah Perdana Istiqbal Ramadhan. Kuliah tersebut telah diadakan pada 26/07/2011 iaitu pada hari selasa yang lalu.

Kuliah ini diadakan bersempena untuk menyambut bulan barakah yakni Bulan Ramadhan Kareem.. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memperkemaskan lagi persiapan kita untuk menyambut bulan Ramdhan yang bakal tiba.

Di bawah disertakan beberapa gambar yang menarik sepanjang kuliah berlangsung :









Diharapkan dengan berjalannya program seperti akan mendekatkan lagi kita dengan bulan Ramadhan dan Pencipta kita. Moga program seperti ini akan dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.

Bicara MT

Oleh :Ukhti Farah 'Ain binti Che Hassan
Naib Setiausaha Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam(IMPI)


Hatiku Berduri Lagi…
Bismillahirrahmannirrahim..Alhamdulillah.. Segala puji-pujian hanyalah untuk Rabbul `Alamin. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi kita, Nabi Muhammad S.A.W. serta sahabat-sahabat baginda. Di sinilah ianya bermula..

Tajamkah duri itu?
Rasulullah S.A.W pernah bersabda :
“Ketahuilah bahawa di dalam tubuh terdapat segumpal darah.
Jika dia baik, baik pula seluruh tubuh”
(Diriwayatkan Al-Bukhari, Muslim, At-Tarmizi, An-Nasai, Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad, dan Ad Darimi)

Segumpal darah yang dimaksudkan adalah raja bagi seluruh anggota tubuh kita iaitu “HATI”. Pada mulanya HATI dilahirkan dalam keadaan yang begitu bersih, namun dek kerana maksiat yang berlaku di dalamnya, HATI bertukar menjadi HATI yang semakin lama semakin hitam dan lama kelamaan semakin sakit dan terus MATI!
Perumpamaan maksiat yang dilakukan adalah seperti duri-duri tajam yang boleh menusuk ke dalam hati seorang muslim. Kesakitan tusukan itu, hanya boleh dirasa oleh empunya HATI itu. Namun begitu, ketajaman dan kehalusan duri yang menusuk bergantung kepada  cara                        ‘Si Pemiliknya’ menjaganya. Justeru, jangan biarkan HATI kita ditusuk oleh duri yang paling tajam dan paling halus kerana masa yang diperlukan untuk mengubati serta merawatnya adalah lama. 

Apa puncanya?
Dosa-dosa yang telah dilakukan itu menjadi penghalang  taqarrub kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Apabila hilangnya taqarrub illallah, maka HATI itu akan menjadikan pemiliknya hidup dalam keadaan tidak tentu arah, hilang pedoman, hilang barakah, putus hidayah bahkan terus jauh dan hanyut daripada rahmat dan kasih sayang Allah Subhanahu Wa Taala. Seterusnya, HATI itu akan terus mengejar kenikmatan dunia dan meninggalkan nikmat syurga yang sebenar-benarnya.

Ubatnya..
Tidak akan ada kebahagiaan bagi HATI kecuali dengan menjadikan Allah sebagai Pencipta yang paling dicintainya. Malahan, HATI itu tidak boleh hidup dan sihat kecuali dengan mengetahui kebenaran yang haq.

“ Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah dia sedang mendaki lamgit. Begitulah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman”. 
(Al-An’am : 125)
Untuk mencari ubat yang paling mujarab, kembalilah kepada Penciptamu, Allah dan carilah ketenangan HATI melalui Al-Quran kerana Al-Quran adalah penawar bagi semua penyakit HATI serta semua jenis penyakit.

Konklusinya
Di sini, ana ingin memetik mutiara kata yang sangat berharga, hasil nukilan daripada seorang ulama’ yang terkenal di semenanjung tanah air dan boleh dijadikan pedoman untuk meneruskan liku-liku kehidupan yang mendatang.
Tapak kaki kita kalau dah keras, pijak paku dan duri pun tidak terasa apa sebab tumitnya dah keras. Tetapi kalau tapak kaki yang lembut, terpijak duri sikit je
terus sakit dan berdarah.
Demikian juga hati, kalau ia dah keras tak terasa lagi bersalah nak buat dosa. Sebab itu, jangan sampai hati kita keras sampai tak terasa bersalah untuk buat maksiat..”
Sememangnya, seorang muslim tidak akan terlepas daripada melakukan maksiat-maksiat hati. Sama-samalah kita bermuhasabah untuk mengembalikan HATI yang lebih hidup dan sihat.Wallahu ‘alam.
“ Setajam mana pun duri yang tertusuk di dalam hatimu,
cabutlah ia dengan penuh sabar dan lemah lembut..
Nescaya ketenangan dan kelapangan akan mengisi ruang-ruang kosong duri yang telah dicabut tadi..
Selamat mencuba ye bakal-bakal ustaz dan ustazah sekalian^___^

23 July 2011

Kuliah Perdana : Istiqbal Ramadhan

Sempena kedatangan Ramadhan Al-Mubarak..
Persatuan Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) telah merancang satu program buat semua mahasiswa di IPG Kampus Perlis..

Berikut merupakan maklumat lanjut berkenaan program tersebut :


 Jom pakat-pakat mai..


Kehadiran adalah terbuka kepada semua pihak.. Jangan lepaskan peluang ini..
Moga Allah Redha..

Moga dengan kehadiran kita ke majlis ilmu ini, Allah akan memudahkan bagi kita jalan untuk menuju ke syurga-Nya.. Amin..
 
Sebarkan untuk pahala dakwah..=)

30 June 2011

Risalah IMPI Edisi Kedua (Keluaran Bulan Jun)

Tawaran Hebat..!!
Jom sama-sama kita rebut dan kejar peluang ini..
Anda buat anda dapat..=)



- Allahumma barik lana fi Rejab wa Sya'ban wa balighna Ramadhan..

20 June 2011

Bicara MT


Oleh : Akh Mohd Ridzuan bin Abd Wahab
Setiausaha Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam(IMPI)

Ustaz dan Ustazah Pilihan : Baiki diri, Betulkan Orang Lain

Alhamdulillah, seinfinti kesyukuran dipanjatkan kepada Allah taala yang Maha Pemurah serta Maha Penyayang kerana limpahan rahmat dan kasih sayang-Nya, kita diizinkan untuk menghirup nikmat iman dan Islam untuk kesekian kali pada tika dan saat ini.

Selawat serta salam dipanjatkan ke atas junjungan besar Sayyidina Muhammad s.a.w, Rasul utusan terakhir bagi ummah akhir zaman ini serta penghulu kepada sekalian anbiya’ kerana di atas usaha, penat lelah, curahan keringat, dan titisan darah Baginda yang mengalir dek pengorbanan dan perjuangan membawa risalah dan obor Islam, akhirnya ia sampai kepada kita pada hari ini. 

Sahabat-sahabat murabbi sekalian,

Allah s.w.t menukilkan menerusi kalam-Nya di dalam surah ‘Ali Imran, ayat 110: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.

Ayat ini menceritakan pengiktirafan ummah terbaik yang yang diberikan Allah taala kepada ummah yang pernah wujud semenjak wujudnya alam ini. Walaupun terdapat sestengah tafsiran ulama’ mengatakan ayat ini ditujukan khas kepada para sahabat Rasulullah s.a.w, namun di sana terdapat juga tafsiran yang menjelaskan pengiktirafan terbaik ini merujuk kepada sekalian ummah Muhammad.

Gelaran ummah terbaik itu hanya akan dicapai jika tanggungjawab amar ma’ruf dan nahi mungkar dilaksanakan. Inilah syarat yang ditetapkan menerusi ayat tersebut. Dan, inilah yang menjadi perbezaan peranan kita berbanding ummah Nabi dan Rasul terdahulu. Mengimbau kembali sirah bagaimana Nabi Musa a.s berdoa kepada Allah untuk menjadikan saudaranya Nabi Harun sebagai pembantu dakwah Baginda,  Harun dilantik sebagai Nabi terlebih dahulu barulah tugasan dakwah itu boleh dijalankan. Tetapi realiti kita pada hari ini, tidak perlu berjawatan Nabi dan Rasul, menjadi manusia biasa sudah layak untuk menjalankan dakwah. Inilah keistimewaan kita sebagai ‘ummah dakwah’!

Ustaz dan ustazah : Pilihan Allah dalam Dakwah

Apabila kita berasa ragu-ragu dengan diri untuk menjadi ustaz atau ustazah, pantaslah kita bertanya pada diri mengapa Allah pandukan kita sebagai seorang pendakwah? Kadang-kadang kita berasa tidak mampu untuk memikulnya, kemungkinan ini berikutan dengan zaman silam yang kita lalui di sekolah menengah kita adalah seorang yang nakal, yang suka bersosial, yang suka bercakap kasar dan kotor, berpakaian mendedahkan aurat, bergaul bebas dan ikhtilat yang pelbagai rupa. 

Namun, sebenarnya terdapat sesuatu pada dalaman diri kita yang Dia mahu kita serlahkan sebagai seorang pendakwah dan berterusan memperhebatkan kekuatan diri dalam berdakwah. Pada zaman kini, mad'u yang kita hadapi adalah pelbagai perangai dan ragam. Fikirkan perkara ini sahaja tatkala kita terasa goyah dengan mehnah sebagai seorang daie, insyaAllah semangat jihad itu akan membara kembali. Jadi, bersyukurlah atas pilihan Allah ini kita menjadi daie yang tergolong dalam golongan tempat rujukan dan penyelamat masyarakat.

Persediaan : Ilmu Pendakwah Bukan hanya pada Pedagogi

Mengikuti ijazah pendidikan, kita akan didedahkan dengan pelbagai pengajaran yang berkaitan ilmu pedagogi. Hampir keseluruhan kursus, ilmu inilah yang kita pelajari berbanding ilmu Islam itu sendiri. Justeru, di sana terdapat suara yang mengatakan belajar di IPG tidak melayakkan sesorang itu bergelar ustaz atau ustazah berbanding dengan ustaz dan ustazah lepasan Timur Tengah seperti Mesir dan Jordan yang sempat bertalaqqi dengan ulama-ulama hebat dan mengutip banyak ilmu Islam ditambah bersanad dengan Rasulullah!

Sebenarnya, berada di tempat mana sekali pun, ia bergangtung kepada kehendak kita dalam mencari Ilmu. Walaupun sepanjang kursus di IPG kita mengikuti pengajaran Pedagogi, di luar kita perlulah bijak dalam menambah koleksi Ilmu Islam dengan mencari kuliah-kuliah ilmu, mengikuti pengajian kitab di pondok, mencari guru atau murshid yang dapat membimbing kita, mengikuti usrah dan halaqah ilmu dan bermacam-macam lagi sumber Ilmu. Tambahan lagi, realiti berada di Perlis terdapat banyak kelebihan bagi pencari ilmu kerana negeri yang kecil menjadikan tempat-tempat kuliah ilmu ini rapat-rapat dan dekat untuk dihadiri. Walaupun pengorbanan mencari ilmu sukar, inilah yang dinamakan mujahadah untuk mendapat title ustaz dan ustazah yang sebenar bukan hanya bergantung pada ilmu pedagogi semata-mata!

IPG Kampus Perlis : Medan Latihan Kader Dakwah

Suasana IPG yang dipenuhi pelbagai ragam dan watak guru pelatih memberi gambaran kepada kita medan masyarakat sebenar. Di sana, terdapat sahabat dan kawan kita yang gah dengan budaya couple, ikhtilat lelaki dan perempuan yang keterlaluan, meninggalkan solat dan puasa, tidak menutup aurat, jahil agama dan pelbagai masalah kronik lain. Inilah realiti sebenar. Justeru, tugasan dakwah menuntut kita berdepan dengan mad’u sedemikian. 

Namun, menyeru kepada kebaikan itu sangat payah! Ya, ia payah jika dilakukan berseorangan. Kita memerlukan kekuatan.Kekuatan itu datang dengan kesatuan. Di sinilah ayat Allah menjadi panduan kita, iaitu ayat yang menyeru kepada berjihad/berdakwah secara kolektif (as-saf:4). Jika kita bersatu, mudah untuk menyebarkan fahaman Islam dalam kalangan warga IPG. Kaedahnya, qudwah kita perlu ditonjolkan dahulu iaitu dengan cara terdekat melazimi solat secara berjemaah di Surau. Ketahuilah, jika semua saf dipenuhi golongan kita, Surau Nurul Iman itu akan berjaya dimakmurkan. Dan, kesannya pasti ada di kalangan guru pelatih lain terikut dengan dakwah bil hal (contoh teladan) yang kita tonjolkan. 

Seterusnya, melalui kekuatan contoh peribadi ustaz dan ustazah ini ia akan memudahkan gerak kerja dakwah dalam IPG ini. Mad’u lebih mudah menerima dakwah dengan thiqah yang dilihatnya. Dakwahlah mengikut kemampuan dan kelebihan masing-masing. Ajaklah mereka pada Islam. Matlamatnya biah solehah iaitu menjadikan Islam tersebar di seluruh penjuru IPG, insyaAllah. Inilah medan latihan kita sebelum berdepan masyarakat sebenar.

Kesimpulan

Segala kalam yang tercoret di sini menjadi muhasabah untuk kita bersama, terutamanya diri penulis. Teliti dan perhati kembali betapa hebatnya kuasa Allah meletakkan kita di posisi ini. Namun, dalam basahnya bibir memuji takdir Allah ini perlulah untuk kita zahirkan rasa syukur itu dengan melengkapkan diri kita dengan perlaksanaan praktikalnya, bukan teori semata-mata.

Langkah terpenting ialah persediaan dari sudut kefahaman. Carilah ilmu Islam untuk betul-betul melayakan gelaran ustaz atau ustazah pada diri kita. Bukan hanya ilmu acuan untuk buku teks dan bilik darjah, tetapi ilmu untuk memandu diri kita dan ilmu untuk mengubah warga IPG yang bermasalah dan masyarakat yang semakin kronik pada zaman ini!

Seterusnya, dari sudut ukhwah kita mestilah hebat mendahului kelompok lain. Perbezaan indivdu mestilah diraikan kerana komponen yang berbeza ini yang akan melengkapkan sebuah jemaah yang syumul. Ayuh jemaah ustaz dan ustazah, peliharalah hubungan dan ikatan antara kita, jangan bermusuhan.

Akhir kalam, fahamilah peranan kita untuk Islam. Usahalah menyumbang untuk Islam supaya kita turut tergolong dalam kelompok yang berjuang memenangkan Islam untuk Daulah Islamiah khususnya di Malaysia, dan Khilafah Islamiah secara amnya. Itulah kejayaan yang besar bagi seorang daie!

Islah nafsak, wad’u ghairak.. =)

08 June 2011

Hebahan : Bulan Penghayatan Islam Anjuran Persatuan Guru Pelatih Islam IPG Kampus Perlis (PGPI)


Bismillahirrahmanirrahim..
InsyaAllah pada 24 Jun 2011 hingga 30 Julai 2011 yang akan datang, satu program yang diberi nama Bulan Penghayatan Islam (BPI) akan diadakan bertempat di IPG Kampus Perlis anjuran Persatuan Guru Pelatih Islam (PGPI). Tema bagi BPI kali ini adalah “Kefahaman Islam Pemangkin Kegemilangan Ummah”. Kehadiran adalah terbuka kepada semua pihak.

Berikut merupakan program-program yang bakal diadakan sempena BPI tersebut:

Konsert Penutup EINIS 2011
Pameran Palestin
Battle Of Islamic Band
Talk Show Cinta [HACKS] Gema Nurul Iman & Bedah Kitab
Munajat Jamaie
Rijal & Nisa' Games
Final Destination Night & Teater
Islamic Movie 4 All - Mihrab Cinta & Nur Kasih The Movie
Ceramah Jalan Keluar dari Perancanaan Zionisme

Anda semua dijemput hadir bagi memeriahkan lagi BPI yang bakal diadakan pada tahun ini. Jangan lepaskan peluang ini..!!!

Info Tambahan :
Pihak PGPI sedang mencari dana kewangan untuk menghidupkan program-program Islam di bumi IPG Kampus Perlis. Sehubungan itu, pihak PGPI ingin membuka peluang amal kebajikan kepada antum semua untuk memberi sumbangan dana kewangan bagi membantu pihak PGPI untuk menghidupkan program-program yang bakal diadakan nanti. Kami dari pihak IMPI amat mengharapkan sumbangan daripada antum semua, agar program-program untuk menyebarkan syi’ar Islam yang dirancang oleh pihak PGPI dapat berjalan dengan lancar.
Sebarang sumbangan yang ingin dihulurkan bagi menghidupkan program-program Islam di bumi IPG Kampus Perlis, boleh dibuat dengan menghubungi talian berikut :

AFIF: 014-5160153
HASBI: 0194451719
ATIQAH: 013-4619294
HAKIMAH: 014-2785947
SAKINAH: 014-5394693

atau dengan BANK-IN sumbangan tersebut pada akaun BANK ISLAM (03081020079916) atas nama Bendahari BPI, SAKINAH BINTI CHE IBRAHIM.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sesiapa yg melapangkan seorg muslim drpd 1 kesusahan dunia, Allah akan melapangkannya drpd 1 kesusahan pd hari kiamat. Sesiapa yg memberi kemudahan kpd org yg dalam kepayahan, Allah akn memberinya kemudahan didunia n akhirat. Sesiapa yg menjaga rahsia seorg muslim didunia, Allah akn menjaga rahsianya diakhirat. Allah akan menolong hambaNya selagi hambaNya itu menolong saudaranya"
~riwayat Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah~

Mudah-mudahan setiap sen yang kita sumbangkan, dipandang oleh Allah dan dikira amal kebajikan yang besar kerana membantu agama-Nya. InsyaAllah. Barakallahufik..

16 May 2011

Sukan Kejohanan Piala IMPI 2011

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, akhirnya Sukan Kejohanan Piala IMPI anjuran Lajnah Rehlah dan Rekreasi IMPI telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Kejohanan ini telah diadakan pada hari Sabtu,14/05/2011 dan telah disertai oleh semua ahli Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI). Tema bagi kejohanan kali ini ialah “ Iltizam Membangunkan Murabbi Yang Cergas”.

Program ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan setiap ahli IMPI tentang sukan futsal dan bola jaring. Selain itu, diharapkan juga melalui kejohanan ini ia dapat membentuk jasmani yang cergas, minda yang cerdas dan apa yang lebih utama ialah diharapkan melalui program ini ia dapat mengeratkan lagi hubungan antara ahli-ahli IMPI.InsyaAllah.

Di bawah disertakan beberapa gambar yang menarik sepanjang aktiviti ini berlangsung :




Tahniah buat juara Futsal bagi kejohanan IMPI kali ini..





Group senior yang mantop..!!




Antara kumpulan yang menyertai pertandingan futsal..

Semangat Wonderpet..!!!


Antara aksi yang menarik..!!


Tolong2..!!!

Terbaik..!!!



Menunggu giliran..

Mantopnya ukhuwah.. sempat lagi pegang tangan..=)


BBQ..~


Alih jangan x alih...

Persiapan BBQ..
 
Semoga aktiviti ini akan dapat diteruskan dan diperbaiki lagi pada masa hadapan. Kami dari pihak IMPI ingin mengucapkan ribuan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak dalam menjayakan kejohanan IMPI pada tahun ini. Kami juga ingin memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kecacatan sepanjang kejohanan ini berlangsung.

Ucapan tahniah juga buat kumpulan-kumpulan yang telah berjaya memenangi kejohanan pada kali ini. Bagi yang tidak berjaya, tingkatkan usaha anda pada kejohanan yang akan datang. Kalah dan menang itu adat dalam permainan. InsyaAllah sama-samalah kita mengutip ibrah dalam setiap perkara yang berlaku dalam hidup kita. Akhir kata, “Majulah sukan untuk IMPI”. Moga bertemu lagi dalam program yang akan datang. InsyaAllah.

14 May 2011

Bicara MT


Oleh :Ukhti Amalina Syakirah binti Mat Zin
Naib Pengerusi II Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam(IMPI)



IMTIHAN OH IMTIHAN

Bismillahirrahmanirrahim..
Alhamdulillah, segala puja dan puji dipanjatkan ke hadrat Ilahi di atas segala nikmat yang telah dikurniakan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., manusia paling unggul dan terulung, penghulu segala nabi, dan keluarga, serta sahabat-sahabat baginda.

Syukur alhamdulillah ana ingin mendedikasikan ucapan tahniah dan terima kasih kepada saff kepimpinan IMPI dan juga kepada semua ahli IMPI yang telah bertungkus-lumus dan menggembleng tenaga dalam menggerakkan aktiviti dakwah dan tarbiah selama ini dan selamanya. Semoga segala amalan kita diterima oleh Allah S.W.T. Insha Allah!

Selain itu, ucapan terima kasih ini juga didedikasikan kepada sidang redaksi buletin IMPI yang telah memberikan peluang untuk ana berkongsi thaqafah dan nasihat sesama kita kerana kita sedar bahawa ad-dinu nashihah, iaitu agama Islam itu mengajar kepada kita agar saling ingat-mengingatkan.

Mujahid dan mujahidah yang dirahmati Allah sekalian,

Memandangkan sekarang kita berada di ambang peperiksaan, ingin ana kongsikan beberapa pesanan menjelang peperiksaan. Masih belum terlambat untuk membuat ulang kaji. Rancang jadual ulang kaji dan bahan ulang kaji secara tersusun. Pastikan buku, nota rujukan dan bahan pembentangan berada dalam bentuk yang mesra pengguna, iaitu susun mengikut kepentingan sesuatu topik dan fokus yang ditekankan dalam peperiksaan nanti. Selain itu, antum juga boleh meminta petua dan pandangan daripada pensyarah ataupun daripada abang-abang dan kakak-kakak senior bagaimana untuk belajar di saat-saat peperiksaan dan juga bentuk soalan yang akan diajukan kelak.

Sahabat dan sahabiah yang dikasihi Allah,

Di sini ana juga ingin berpesan kepada diri sendiri dan antum semua agar tidak membuat ulangkaji di saat-saat akhir seperti sehari sebelum peperiksaan. Ia akan meletakkan kita dalam keadaan yang sangat tertekan terutamanya apabila kita mengetahui masih banyak yang belum difahami mengenai sesuatu topik. Teringat ana kepada pesanan Baginda S.A.W. iaitu ingat 5 perkara sebelum 5 perkara, dan satu daripadanya adalah manfaatkan masa lapang sebelum hadirnya waktu kesempitan.


Mu’allimin dan mu’allimat sekalian,

Janganlah kita berasa terlalu tertekan untuk menghadapi peperiksaan. Ia adalah sebahagian daripada proses pembelajaran yang perlu ditempuhi oleh setiap insane yang bergelar pelajar. Tidak cemerlang dalam peperiksaan bukanlah penamat dalam hidup kita. Apa yang penting kita hendaklah berusaha dan mencuba sedaya upaya. Selalu bayangkan diri berjaya dan bukannya membayangkan apa akan jadi jika kita gagal. ‘Do the best, Be the best’. 
Jangan lupa untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah Rabbul Jalil.


Alhamdulillah sekadar ini sahaja coretan daripada ana, insan yang lemah dan ana ingin memohon sejuta kemaafan daripada sahabat sahabiah sekalian sepanjang ukhwah dan kolabaorasi kita. Sebagai akhir kalam, ma’attaufik wannajah fil imtihan,barakallah lakum wa lana ! Insha Allah.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh..