:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

16 August 2011

Bicara MT

Ramadhan Kareem..

Oleh:Ukhti Nor Aina Mardiyyah binti Zaidan
Bendahari Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam(IMPI)


Assalammualaikumwarahmatullahiwabarakatuh…
Itulah lantunan indah yang diperkenalkan oleh Islam buat sesama ummah lambang kejituan dan kesyumulannya. Segunung syukur dipanjatkan buat Allah Tuhan Penguasa setiap yang berstatus makhluk, rahmatNya melingkari petala langit dan menjangkaui dalaman pasak bumi. 

Selawat dan salam khas buat perintis risalah agung dari Ilahi, pencetus arus dunia sehingga bercorakkan warna-warni Islam, junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menghidupkan dunia dengan ruh Islam di setiap perdu cakra alam yang berjaringan ke alaf mutakhir ini. Tidak terkecuali juga buat keluarga baginda yang tercinta, para sahabat dan seluruh penerus agenda perdana iaitu dakwah Islamiah sekalian. Salam Ramadhan buat ikhwah dan akhawat IMPI sekalian.

Alhamdulillah, akhirnya sampai juga pena ke jemari ini bagi mencoretkan tinta bicara mutakhir Majlis Tertinggi Pimpinan Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam. Sahabat, sempena kedatangan Ramadan al-Mubarak ini, ingin ana titipkan sedikit nukilan ramadhan buat kalian. Ballighu anni walau ayah…

Ikhwah dan akhawat IMPI sekalian,
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “Kemuncak segala bulan adalah bulan Ramadhan dan kemuncak segala hari adalah hari Jumaat”. Baginda bersabda lagi, “Jika hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadhan, sudah tentu mereka bercita-cita supaya bulan Ramadhan berpanjangan selama setahun”.

Sahabat, melalui sabda Rasulullah s.a.w ini terbukti sesungguhnya ramadhan adalah satu-satunya bulan yang paling istimewa daripada 12 bulan yang lain. Bulan ini adalah yang penuh kemuliaan, keberkatan, rahmat, maghfirah(keampunan), pembebasan daripada seksaan api neraka, gandaan pahala, dikurniakan malam lailatulQadar dan banyak lagi.

Ikhwah dan akhawat IMPI sekalian,
Ramadhan adalah bulan berpuasa, puasa yang diistilahkan dalam bahasa al-Quran dan as-Sunnah dengan nama ‘siyam’ atau ‘saum’. Mungkin ramai yang tidak menyedari betapa besarnya faedah dan manfaat berpuasa ini. Nabi Adam a.s berpuasa selama 30 hari 30 malam sebagi kaffarah kerana memakan buah larangan di syurga. Nabi Daud a.s berpuasa selama enam bulan dalam setahun, iaitu dengan melakukan puasa secara berselang-seli. Adapun Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya difardukan puasa dalam bentuk yang sederhana, tidak lebih daripada sebulan dalam setahun dan puasa mengikut syariah hanya pada waktu siang. 

Sahabat, dalam bulan ini kita bukan sekadar menahan diri daripada tuntutan nafsu makan dan minum tetapi juga mendisiplinkan pancaindera daripada terlibat dengan maksiat zahir. Hati dan perasaan juga hendaklah tunduk kearah mengagungkan Allah dan mentaati perintahnNya dan menjauhi segala maksiat batin. Jika perkara-perkara batiniah turut sama menghayati roh ibadah puasa, maka itulah petanda bahawa kita dapat mencapai darjat puasa yang paling istimewa yang diistilahkan oleh Imam Ghazali sebagai “ Puasa Khususul-Khusus”.

Ikhwah dan akhawat IMPI sekalian,
Terlalu banyak keistimewaan Ramadhan yang ingin dikongsi, tetapi sebagai penutup, ana ingin memetik ucapan Rasulullah s.aw. di hadapan para sahabat pada hari terakhir bulan Syaaban, “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kamu sekalian akan dinaungi oleh bulan agung lagi penuh barakah, iaitu bulan yang padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah telah menjadikan siyam sebagai satu fardhu dan qiam sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah dengan amal kebajikan padanya maka ia diberi pahala amalan fardhu pada bulan yang lain. Sesiapa yang menunaikan satu amalan fardhu padanya nescaya sama seperti melakukan tujuh puluh dalam bulan lain.

Ramadhan adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu balasannya ialah syurga. Ramadhan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan ini Allah menambah rezeki bagi orang yang beriman pada bulan tersebut. Sesiapa yang memberi makanan untuk berbuka pada bulan Ramadhan kepada seorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu menyebabkan terampun dosa-dosanya, dan memerdekakan diinya daripada api neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa itu tanpa sedikit pun berkurangan”

Para sahabat berkata : “Wahai Rasulullah, tidaklah kami semua memiliki makanan untuk dimakan oleh orang yang berpuasa.” Maka bersabda Rasulullah s.a w : “Allah memberikan pahala ini kepada orang yang memberikan sebiji kurma, atau seteguk air, atau sehirup susu. Bulan Ramadhan permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka. Sesiapa yang meringankan bebanan daripada hamba sahaya nescaya Allah mengampuni dosanya dan memerdekakannya dari neraka”.

Justeru, marilah warga IMPI sekalian, kita merebut limpahan nikmat dan rahmat yang Allah dah janjikan buat kita semua dalam bulan ini. Moga-moga kita semua tergolong dalam golongan yang disebut oleh Allah dalam al-Baqarah ayat 183 iaitu “semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa”. InsyaAllah…

Sekadar itulah saja perkongsian Ramadhan daripada ana buat kalian. Sempena Ramadhan al-Mubarak dan kedatangan Syawal ini ,ana mengambil kesempatan ingin memohon jutaan kemaafan atas segala salah dan silap ana sepanjang memegang amanah sebagai pimpinan IMPI 2010/2011 ini dan juga sepanjang berukhuwah. 

Sekalung ucapan terima kasih buat warga IMPI yang telah banyak memberikan kerjasama, nasihat, teguran dan panduan. Pesanan ana untuk diri ana sendiri, buat peneraju IMPI yang akan datang dan semua warga Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam, pantang mengalah apabila diselubungi masalah, kembalilah kepada Allah jangan sesekali berasa lelah, yang indah pastinya bukan mudah kerana syurga dipagari jutaan mehnah. 

Semoga terus thabat menegakkan Islam deenul Mahabbah wal Maghfirah…wassalam..

No comments:

Post a Comment