:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

22 June 2009

Selamat Kembali

Assalamualaikum dan salam pendidikan.


Setelah bercuti selama tiga minggu, kini tirai pengajian kembali tersingkap. Semester baharu, azam baharu. Pastinya, perjuangan belum selesai. Diharapkan segala yang dirancangkan untuk semester ini dapat dijalankan dengan sebaik mungkin. Merenung kembali semester lepas, setelah hampir enam bulan bersama, terlalu pantas masa berlalu meninggalkan pelbagai kisah suka duka bersama dalam melayari bahtera dakwah demi memperkembangkan syiar Islam.


Enam bulan pertama penubuhan IMPI Perlis memperlihatkan pelbagai aktiviti yang telah dijalankan demi menjaga kebajikan bersama sekaligus sebagai latihan awal demi melahirkan bakal murabbi bergelar ustaz dan ustazah yang berkebolehan serta berketrampilan. Antara aktiviti harian yang dijalankan adalah Halaqatul Mulk pada setiap malam. Halaqatul Mulk bagi lelaki dijalankan pada jam 11.15 malam manakala bagi wanita pada jam 9.45 malam. Program ini merupakan salah satu cara bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT sebelum melelapkan mata agar dapat dibangkitkan pada keesokkan harinya dengan lebih cemerlang. Bagi aktiviti mingguan pula ialah Kelas Tahsin pada setiap hari Khamis jam 7.30 pagi, usrah mingguan pula dijalankan pada hari Jumaat jam 11.15 pagi selain aktiviti riadah dan rekreasi setiap dua minggu sekali. Aktiviti mingguan merupakan kesinambungan daripada aktiviti harian yang bertujuan menambahkan pengetahuan dan pengalaman yang bukan sahaja terdapat di dalam bilik darjah malahan di luar bilik darjah.


Dalam menjana ekonomi yang kukuh bagi IMPI Perlis, inisiatif yang diambil adalah mengadakan khidmat “binding and printing” di asrama. Di samping itu juga, penjualan top-up juga dijalankan demi memenuhi kehendak penghuni asrama yang memerlukan pada waktu-waktu genting. Selain itu, antara program yang telah dilaksanakan bagi menambah pengalaman IMPI Perlis adalah lawatan ke IPGM Kampus Pendidikan Islam, Bangi pada 21-23 Februari 2009. Dalam rangka lawatan itu, pelbagai buah fikiran dan idea-idea bernas telah dijana dan dikongsi bersama demi membina kesatuan fikiran bersama. Tidak setakat itu sahaja, IMPI Perlis juga berkongsi pengalaman bersama Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia dalam usaha untuk menimba ilmu yang lebih mendalam. Di samping itu, sempena Pesta Konvokesyen IPGM Kampus Perlis, IMPI Perlis telah mengambil bahagian dalam pesta jualan yang berlangsung selama 3 hari. Hasil daripada jualan pesta konvo ini sedikit sebanyak diharapkan mampu memperkukuhkan lagi kedudukan ekonomi IMPI Perlis dalam usaha untuk terus bergerak di hadapan. Selain itu juga, usaha ini merupakan salah satu cara dalam menjana semangat kerjasama sesama ahli dalam mewujudkan suatu organisasi yang mampu bergiat dengan lancar dan sempurna. Antara barang jualan adalah makanan dan minuman, buku-buku ilmiah, baju serta lain-lain barangan. Untuk pengetahun semua, IMPI Perlis juga telah menyertai kejohanan hoki tertutup IPGM Kampus Perlis anjuran kumpulan gerko permainan KPLI. Alhamdulillah, suatu pencapaian yang membanggakan apabila pasukan ini telah berjaya merebut gelaran naib johan walaupun terdapat banyak pasukan yang tidak kurang hebatnya. Tahniah diucapkan. Seterusnya, acara penutup tirai bagi enam bulan pertama penubuhan IMPI Perlis adalah program “Request 4 Teachers Day”. Aktiviti ini adalah merupakan program sulung yang pernah dilakukan di IPGM Kampus Perlis. Aktiviti ini adalah anjuran Lajnah Ekonomi dalam usaha untuk menghargai pengorbanan dan segala penat lelah para pensyarah yang telah dicurahkan. Justeru, para guru pelatih telah membuat pesanan dan tempahan hadiah untuk diserahkan kepada pensyarah dan rakan-rakan istimewa masing-masing pada sambutan Hari Guru Peringkat IPGM Kampus Perlis.


Diharapkan segala apa yang telah dilakukan pada enam bulan pertama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan lebih cemerlang. Semoga aktiviti-aktiviti lain yang telah dirancang akan mendapat sambutan daripada semua pihak khususnya warga JAPIM IPGM Kampus Perlis serta seluruh anggota komuniti IPGM Kampus Perlis amnya. Mudah-mudahan aktiviti yang dilakukan ini mendapat keberkatan Allah SWT hendaknya demi mencari dan mencapai keredhaan Allah SWT di dunia mahupun di akhirat kelak.

20 June 2009

15 June 2009

Al-Fatihah buat Sang Murabbi




Daripada Abdullah bin Umar bin 'Ash r.a.: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda;

"Bahawasanya Allah swt tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu dengan cara sekaligus dari dada manusia. Tetapi Allah s.w.t. menghilangkan ilmu itu dengan cara mematikan alim ulama'. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama', orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan, mereka sesat dan menyesatkan orang lain."

(Hadis Riwayat Muslim)

.
Sabtu 13 Jun 2009 yang lalu, dunia Islam dikejutkan dengan pemergian seorang daie, murabbi dan mujahid. Dr Fathi Yakan, telah meninggal dunia setelah dimasukkan ke hospital beberapa hari yang lepas kerana menghadapi masalah kesihatan yang teruk. Beliau telah menghembuskan nafasnya terakhir ketika mencapai umur 76 tahun di hospital.

Pihak hospital telah menyatakan bahawa beliau terkena serangan angin ahmar pada otaknya sehingga menyebabkan beliau telah mati klinikal (clinical death). Namun pihak perubatan dan pihak keluarga enggan mencabut alat bantuan hayat dari tubuh beliau. Dr Fathi Yakan ialah ulama’ dan pendakwah Islam yang terkemuka. Beliau dilahirkan di Tarabulus, Utara Lubnan pada 3 Mei 1933. Pendidikan beliau di peringkat diploma ialah dalam bidang kejuruteraan elektrik di sebuah kolej di Beirut. Namun kecenderungannya dalam bidang agama mendorongnya mendalami ilmu-ilmu Islam hingga berjaya memperoleh peringkat As Syaraf dalam PhD Pengajian Islam dan Bahasa Arab.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan rektor Universiti Islam Al Jinan, Dr Muna Haddad. yang merupakan anak kepada bapa saudaranya, Ustaz Haddad Yakan. Perkongsian hidup mereka menghasilkan 4 anak perempuan dan seorang lelaki serta 19 cucu.

Terkesan dengan perjuangan Ikhwanul Muslimin Syria pimpinan Dr Mustafa Siba'i, Fathi Yakan menubuhkan Gerakan Islam Lubnan pada tahun 50an. Pada awal 1960an, beliau mengasas Jamaah Islamiah Lubnan yang membawa fikrah Ikhwan dan menjadi pemimpin jamaah berkenaan dari tahun 1962 hingga 1992.

Pada tahun tersebut, beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Beliau kekal sehinggalah pada tahun 1996. Di tahun-tahun kebelakangan ini beliau telah mengetuai Jabhah Islami. Beliau berperanan besar dalam meredakan ketegangan antara pemerintah Lubnan dengan kumpulan-kumpulan lain seperti Hizbullah pimpinan Hasan Nasrullah, kumpulan Micheal Own dan lain-lain terutamanya dalam peperangan Mukhayyam Narul Barid di utara Lubnan pada 2007.


Beliau telah banyak mengarang buku di antaranya Maza Ya'ni Intiami lil Islam, al-Mutasiqituna Fala Toriq Da'wah, Kaifu Nadwu lil Islam dan lain-lain yang melebihi 35 buah buku. Karangan beliau banyak diterjemah dalam pelbagai bahasa dan menjadi rujukan penting bagi semua gerakan Islam di seluruh dunia.

Kini, permata dakwah ini sudah tiada. Moga akan lahir lebih ramai tokoh dakwah sehebat Dr Fathi Yakan. Murabbi agung yang mampu membina umat untuk menjulang martabat Islam setinggi-tingginya. Al-Fatihah.

Sumber:

06 June 2009

SUKATAN PISMP PENGAJIAN AGAMA SEMESTER IV

Kursus Wajib : 

- Kursus Wajib IPT & IPGM : 
Seni Dalam Pendidikan 

Kursus Teras :

- Pengajian Profesional : 
Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran 

- Major : 
Pendidikan Akhlak Sekolah Rendah 
Pendidikan Jawi Sekolah Rendah 

- Amalan Profesional : 
Pengalaman Berasaskan Sekolah (Fasa IV) 

Kursus Elektif :

- Pakej Elektif 1 : 
Pengurusan Sumber Pengajaran dan Penilaian Pendidikan Bahasa Arab 

- Pakej Elektif 2 : 
Ulum al-Quran dan Ulum al-Hadis 

Kursus Tanpa Kredit : 

Bina Insan Guru (Fasa IV)   


*tertakluk kepada perubahan   






05 June 2009

PEMBENTUK KEGEMILANGAN: MEMPERINGATI 556 TAHUN PEMBEBASAN KONSTANTINOPEL


Konstantinopel, sebuah kota istimewa. Rebutan umat manusia zaman berzaman. Napoleon Bonaparte, seorang pemimpin terkenal pernah berkata:

“Sekiranya aku menguasai Konstantinopel maka mudahlah aku menguasai dunia”

“Kalaulah dunia ini sebuah negara, maka Konstantinopel inilah yang paling layak menjadi ibu negaranya”

Pernyataan itu jelas menunjukkan betapa tingginya nilai kota agung itu dalam sejarah ketamadunan umat manusia. Sejarah Konstantinopel itu sangat panjang sekali. Namun perjalanan sejarahnya sangat menarik. Bermula apabila Maharaja Konstantinopel memindahkan ibu kotanya dari Rom ke Konstantinopel pada 330 M. Rentetan sejarah itu berterusan sehingga tahun 1054M apabila kerajaan Rom berpecah dua, satu bermazhab Kristian Roman Katolik berpusat di Vatican dan satu lagi bermahzab Ordodoks (Rom Timur) di Byzantine (Konstantinopel) yang meliputi negeri-negeri di tenggara Eropah, Asia Kecil, Syria, Palestin, Mesir, dan beberapa pulau di sekitar Mediteranean termasuklah Pulau Sicily dan Corsica. Konstantinopel telah menjadi ibu kota Empayar Bizantin untuk berkurun-kurun dan dikenali sebagai kota yang paling makmur dan terkaya di Eropah. Ia terletak di pertemuan antara Asia dan Eropah serta Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Justeru, ia sangat strategik baik dari segi perdagangan mahupun geopolitik.



Sebelum berbicara lanjut, perlu diketahui bahawa bentuk pertahanan Konstantinopel itu sangat menakjubkan. Kota ini berbentuk segi tiga. Dua bahagian kota menghadap laut iaitu Selat Bosporus dan Laut Marmara. Bahagian daratan pula dilingkungi oleh sebuah benteng yang sangat kukuh dengan bahagian luarnya dilingkungi oleh sebuah parit besar. Parit itu sedalam 10 meter dan berlebar 60 meter yang mempunyai dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Tembok luar sahaja setinggi 25 kaki dan setebal 10 meter. Tembok dalam pula setinggi 40 kaki tinggi dan 15 meter tebal. Terdapat pula menara kawalan di sepanjang tembok dalam dengan ketinggian 60 meter yang dikawal oleh 400 tentera batalion terlatih sepanjang masa. Di bahagian laut pula, terdapat rintangan rantai besi yang kuat diletakkan di Selat Bosporus yang digunakan untuk menghalang kapal-kapal melepasinya.

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandak; 

“..Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Pelbagai usaha dijalankan untuk menakluk kota agung ini. Dimulakan oleh Saidina Ali pada 34H, Muawiyah bin Abu Sufian pada tahun 84H, Sultan Sulaiman pada tahun 91H, Khalifah Harun Al-Rasyid pada tahun 165H serta Sultan Beyazid pada tahun 1391M,1397M dan 1400M, tapi semuanya menemui kegagalan. Hadis Nabi s.a.w. ini hanya direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah bersama 150 000 orang tenteranya. Siapakah Sultan Muhammad Al-Fatih? Apakah kehebatan beliau dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.

Beliau dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Saat kelahirannya pun sudah terdapat isyarat bahawa beliau nantinya akan menjadi orang besar yang membuat sejarah besar. Ketika berita kelahirannya disampaikan, ayahnya, Sultan Murad II sedang membaca Al Quran tepat pada Surat Al Fath ayat 1:

“Sesungguhnya Kami telah memberikan padamu kemenangan yang nyata.”




Walau bagaimanapun, sejarah hidup beliau sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam hadis tadi. Beliau menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451–1481). Beliau merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Beliau mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat bahawa beliau mangkat diracun seorang Yahudi yang bernama Maesto Jakopa. 

Beliau menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Dalam bidang keagamaan, antaranya gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali yang dikatakan dari keturunan Saidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, beliau diajar tentang taktik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera. Di dalam bidang akademik, beliau adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda beliau, Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik telah melantik beliau yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia. Dalam usia semuda ini beliau telah matang menangani tipu helah musuh. 

Sultan Muhammad bin Murad yang kemudian lebih masyhur dengan gelaran Sultan Muhammad al Fatih telah memulakan pengepungan ke atas Konstantinopel pada hari Khamis, 5 April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453. Sungguhpun pengepungan ini berlangsung selama hampir dua bulan sahaja, program penaklukan ini telah berjalan lama!

Ia bermula apabila bapa Sultan Muhammad Al Fatih, Sultan Murad memilih guru-guru yang terpilih untuk mendidik anak raja ini, seorang yang nakal pada waktu itu. Pendidikan Sultan Muhammad di istana sangat komprehensif. Sebagai bakal raja dalam persekitaran Eropah dan pusat perdagangan dan diplomatik, beliau menguasai pelbagai bahasa. Beliau juga diajar matapelajaran sejarah, geografi dan astronomi. Pakar ketenteraan juga diundang untuk memberikan pendedahan ketenteraan kepada beliau.

Sejak berumur sembilan tahun, Sultan Muhammad telah mengalami pendidikan disiplin yang ketat. Rasa bebas dan nakal sebagai anak raja yang masih kecil mula berakhir apabila bapa beliau memberikan kebebasan kepada guru-guru beliau untuk membentuk dan mendidik Muhammad. Rotan turut digunakan oleh gurunya untuk mendisiplinkan anak ini. Dalam satu kejadian, Muhammad telah sengaja dirotan dengan teruknya tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan oleh beliau. Tujuan guru beliau berbuat demikian ialah untuk membentuk perasaan belas kasihan dan sikap adil dan saksama dalam jiwa bakal Sultan ini. Supaya nanti beliau dapat mengambil keputusan berpaksikan keadilan dan memahami perasaan orang-orang yang tidak diperlakukan dengan adil! 

Sultan Muhammad dibimbing untuk menghafal al-Quran. Dilatih untuk sembahyang malam. Dibentuk menjadi warak dan zuhud. Diasuh mencintai ilmu dan ulamak. Mempunyai budi pekerti yang baik dan perasaan yang halus. Keunggulan pendidikan kerohanian Sultan Muhammad terserlah apabila semasa beliau akan dilantik menggantikan bapanya secara rasmi sebagai pemerintah Kesultanan Uthmaniah, beliau menangis teresak-esak. Gurunyalah yang telah mengarahkan beliau menerima tanggungjawab itu atas hujah bahawa seseorang yang berkaliber seperti beliau wajib memikul amanah ummah dan itu merupakan satu jihad dan ibadah yang besar.

Lama sebelum program pembebasan Konstantinopel dimulakan, Muhammad al-Fateh telah berbincang dengan pakar sejarah dan ketenteraan mengenai sebab-sebab kegagalan ekpedisi penawanan Konstantinopel sebelum ini. Segala rahsia kekuatan pertahanan kota itu dianalisis. Kaedah untuk mengatasi halangan-halangan itu juga turut dibincangkan.


Dari mana kewibawaan seorang pemimpin ini diperolehi oleh Sultan Muhammad? Gurunya bukan sekadar menyuntikkan kekuatan rohani kepada bakal Sultan in, tetapi juga telah menyuntik sikap terbuka terhadap teknik dan teknologi baru yang diperlukan untuk misi mereka. Mereka juga menyuntik sikap berminda strategik dan kreatif. Sultan Muhammad dapat menganalisis dengan tepat permasalahan dan mencari jalan penyelesaian terhadap setiap permasalahan itu secara praktikal sebelum melancarkan misinya. Tetapi yang paling penting, sejak kecil lagi guru-guru beliau telah membentuk minda beliau untuk merasakan bahawa dirinyalah yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai raja terbaik yang memimpin tentera terbaik yang akan dapat membebaskan Konstantinopel.

Sasaran, visi dan misi yang jelas, yang disuntikkan ke dalam minda beliau ternyata berkesan. Dari kecil, Sultan Muhammad mengimpikan bahawa beliaulah pembebas itu! Beliau bergerak selari dengan impian yang akhirnya menjadi sebuah kenyataan. Daripada aspek kepimpinan, bapa beliau seorang yang berpandangan jauh. Sejak umur 14 tahun, Muhammad telah diminta menguruskan empayar dengan alasan, bapanya ingin menumpukan kepada ibadah. Namun, dalam dua keadaan kritikal, bapa beliau pulang semula untuk memimpin Kerajaan Uthmaniah. Selepas ancaman kritikal itu diatasi, Muhammad diberikan peluang untuk menguruskan semula empayar yang sedang berkembang itu. Melalui pendedahan berbentuk bimbingan ini, Muhammad terlatih menjadi pemimpin yang berkualiti.

Tambahan pula, sepanjang hayat beliau, guru-guru beliau yang menjadi rujukan kerohanian dan kebijaksanaan, sentiasa bersama beliau. Hatta, ketika pengepungan kota itu berlangsung, gurunya mengimamkan solat hajat bersama semua tentera Sultan Muhammad. Melihat 150,000 tentera Islam berbaris rapi untuk bersolat di luar kota itu, cukup untuk menakutkan musuh yang sedang berkawal dalam kota! Pada hari pembukaan Kota Konstantinopel yang bersejarah itu, Sultan Muhammad bersujud syukur. 

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di dalam Kota Konstantinopel yang baru sahaja dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu. Beliau memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!". Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu. Pertanyaan seterusnya, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!". Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian beliau bertitah, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajud walaupun satu malam, sila duduk!". Kali ini semuanya duduk, kecuali beliau sendiri sahaja yang tetap berdiri! 

Subhanallah! Beliau tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib malah solat tahajud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah s.a.w. Jelas, peribadi terpilih berjiwa besar ini dibentuk oleh tokoh-tokoh guru yang berjiwa besar. 

Antaranya ialah Ahmad 'ibn Ismail Al-Kori. Guru istimewa ini menunjukkan contoh teladan kepada Sultan Muhammad. Seorang yang warak, tidak menyembah Sultan sama seperti orang lain memberikan tunduk hormat, memanggil nama Sultan dan kerabat mereka dengan nama mereka masing-masing tanpa sebarang panggilan gelaran serta bersalaman dengan mereka tanpa mencium tangan mereka. Sepanjang Ramadhan, Sultan Muhammad menghadiri kelas mentafsir Al Quran yang diadakan di istana beliau selepas solat zuhur, dengan guru-guru yang bersilih ganti. Ahmad ibn Ismail yang mengajarkan Al Qur'an, hukum-hukum agama dan kepatuhan kepada Sultan Muhammad. Beliau juga membentuk rasa takwa dalam jiwa Sultan Muhammad dengan pelbagai cara, termasuk nasihat-nasihat yang berkaitan dengan tanggungjawab pemerintah.

Selain itu, guru beliau yang lain ialah Sheikh Muhammad bin Hamzah ar-Rouhy, lebih dikenali sebagai Ba'q Shamsuddin. Didikan beliau meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap keperibadian Sultan Muhammad. Beliau telah menginspirasikan Sultan Muhammad untuk meningkatkan aktiviti dakwah dan keislaman di bawah Empayar Uthmaniah sebagai satu cara memperkuatkan empayar tersebut. Beliaulah yang paling giat meyakinkan Sultan Muhammad bahawa beliau adalah raja terpilih seperti yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya itu. 

Selain mengajarkan teras-teras ilmu Islam, Shamsuddin juga bertanggungjawab mengajar sains, matematik, sejarah, strategi perang, astronomi dan lain-lain. Beliaulah yang telah merotan Muhammad semasa kecil tanpa sebab. Beliaulah yang mententeramkan Sultan Muhammad yang menangis kerana enggan menjadi raja. Beliaulah yang menyatakan bahawa ibadah sebagai Sultan yang adil adalah lebih berharga apabila ditanya oleh Sultan Muhammad samada boleh bersara setelah lama memerintah kerana ingin menumpukan kepada ibadah. Shamsuddin meletakkan insipirasi dalam dada Sultan, memberikan beliau tujuan dan misi pemerintahan yang jelas dan bersama beliau sehingga cita-cita itu tercapai. Kerana itu, beliau dikenali sebagai Penakluk Rohani Konstantinopel. Guru yang merancang lahirnya seorang pemimpin dan terukirnya sebuah sejarah. Insan pada sisi lain Sultan Muhammad al-Fatih.

Setelah 556 tahun Konstantinopel (kini Istanbul) dibebaskan, setelah lama Islam kembali dagang, setelah berdekad bumi Palestin dalam jajahan, kini timbul persoalan bilakah pula akan munculnya seorang lagi al-Fatih. Jawapannya bergantung kepada persiapan-persiapan untuk membentuknya. Peribadi berjiwa besar dibentuk oleh tokoh yang berjiwa besar. Peranan guru amat ditagih. Ayuh pembina umat, teruskan usaha membentuk jiwa-jiwa al-Fatih!!

~Miftahul-azam~
(Kangar- 28 Mei 2009/3 Jamadilakhir 1430; 17:21)

Diubahsuai daripada: