:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

15 June 2009

Al-Fatihah buat Sang Murabbi




Daripada Abdullah bin Umar bin 'Ash r.a.: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda;

"Bahawasanya Allah swt tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu dengan cara sekaligus dari dada manusia. Tetapi Allah s.w.t. menghilangkan ilmu itu dengan cara mematikan alim ulama'. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama', orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan, mereka sesat dan menyesatkan orang lain."

(Hadis Riwayat Muslim)

.
Sabtu 13 Jun 2009 yang lalu, dunia Islam dikejutkan dengan pemergian seorang daie, murabbi dan mujahid. Dr Fathi Yakan, telah meninggal dunia setelah dimasukkan ke hospital beberapa hari yang lepas kerana menghadapi masalah kesihatan yang teruk. Beliau telah menghembuskan nafasnya terakhir ketika mencapai umur 76 tahun di hospital.

Pihak hospital telah menyatakan bahawa beliau terkena serangan angin ahmar pada otaknya sehingga menyebabkan beliau telah mati klinikal (clinical death). Namun pihak perubatan dan pihak keluarga enggan mencabut alat bantuan hayat dari tubuh beliau. Dr Fathi Yakan ialah ulama’ dan pendakwah Islam yang terkemuka. Beliau dilahirkan di Tarabulus, Utara Lubnan pada 3 Mei 1933. Pendidikan beliau di peringkat diploma ialah dalam bidang kejuruteraan elektrik di sebuah kolej di Beirut. Namun kecenderungannya dalam bidang agama mendorongnya mendalami ilmu-ilmu Islam hingga berjaya memperoleh peringkat As Syaraf dalam PhD Pengajian Islam dan Bahasa Arab.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan rektor Universiti Islam Al Jinan, Dr Muna Haddad. yang merupakan anak kepada bapa saudaranya, Ustaz Haddad Yakan. Perkongsian hidup mereka menghasilkan 4 anak perempuan dan seorang lelaki serta 19 cucu.

Terkesan dengan perjuangan Ikhwanul Muslimin Syria pimpinan Dr Mustafa Siba'i, Fathi Yakan menubuhkan Gerakan Islam Lubnan pada tahun 50an. Pada awal 1960an, beliau mengasas Jamaah Islamiah Lubnan yang membawa fikrah Ikhwan dan menjadi pemimpin jamaah berkenaan dari tahun 1962 hingga 1992.

Pada tahun tersebut, beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Beliau kekal sehinggalah pada tahun 1996. Di tahun-tahun kebelakangan ini beliau telah mengetuai Jabhah Islami. Beliau berperanan besar dalam meredakan ketegangan antara pemerintah Lubnan dengan kumpulan-kumpulan lain seperti Hizbullah pimpinan Hasan Nasrullah, kumpulan Micheal Own dan lain-lain terutamanya dalam peperangan Mukhayyam Narul Barid di utara Lubnan pada 2007.


Beliau telah banyak mengarang buku di antaranya Maza Ya'ni Intiami lil Islam, al-Mutasiqituna Fala Toriq Da'wah, Kaifu Nadwu lil Islam dan lain-lain yang melebihi 35 buah buku. Karangan beliau banyak diterjemah dalam pelbagai bahasa dan menjadi rujukan penting bagi semua gerakan Islam di seluruh dunia.

Kini, permata dakwah ini sudah tiada. Moga akan lahir lebih ramai tokoh dakwah sehebat Dr Fathi Yakan. Murabbi agung yang mampu membina umat untuk menjulang martabat Islam setinggi-tingginya. Al-Fatihah.

Sumber:

No comments:

Post a Comment