Assalamualaikum dan salam pendidikan.
Setelah bercuti selama tiga minggu, kini tirai pengajian kembali tersingkap. Semester baharu, azam baharu. Pastinya, perjuangan belum selesai. Diharapkan segala yang dirancangkan untuk semester ini dapat dijalankan dengan sebaik mungkin. Merenung kembali semester lepas, setelah hampir enam bulan bersama, terlalu pantas masa berlalu meninggalkan pelbagai kisah suka duka bersama dalam melayari bahtera dakwah demi memperkembangkan syiar Islam.
Enam bulan pertama penubuhan IMPI Perlis memperlihatkan pelbagai aktiviti yang telah dijalankan demi menjaga kebajikan bersama sekaligus sebagai latihan awal demi melahirkan bakal murabbi bergelar ustaz dan ustazah yang berkebolehan serta berketrampilan. Antara aktiviti harian yang dijalankan adalah Halaqatul Mulk pada setiap malam. Halaqatul Mulk bagi lelaki dijalankan pada jam 11.15 malam manakala bagi wanita pada jam 9.45 malam. Program ini merupakan salah satu cara bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT sebelum melelapkan mata agar dapat dibangkitkan pada keesokkan harinya dengan lebih cemerlang. Bagi aktiviti mingguan pula ialah Kelas Tahsin pada setiap hari Khamis jam 7.30 pagi, usrah mingguan pula dijalankan pada hari Jumaat jam 11.15 pagi selain aktiviti riadah dan rekreasi setiap dua minggu sekali. Aktiviti mingguan merupakan kesinambungan daripada aktiviti harian yang bertujuan menambahkan pengetahuan dan pengalaman yang bukan sahaja terdapat di dalam bilik darjah malahan di luar bilik darjah.
Dalam menjana ekonomi yang kukuh bagi IMPI Perlis, inisiatif yang diambil adalah mengadakan khidmat “binding and printing” di asrama. Di samping itu juga, penjualan top-up juga dijalankan demi memenuhi kehendak penghuni asrama yang memerlukan pada waktu-waktu genting. Selain itu, antara program yang telah dilaksanakan bagi menambah pengalaman IMPI Perlis adalah lawatan ke IPGM Kampus Pendidikan Islam, Bangi pada 21-23 Februari 2009. Dalam rangka lawatan itu, pelbagai buah fikiran dan idea-idea bernas telah dijana dan dikongsi bersama demi membina kesatuan fikiran bersama. Tidak setakat itu sahaja, IMPI Perlis juga berkongsi pengalaman bersama Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia dalam usaha untuk menimba ilmu yang lebih mendalam. Di samping itu, sempena Pesta Konvokesyen IPGM Kampus Perlis, IMPI Perlis telah mengambil bahagian dalam pesta jualan yang berlangsung selama 3 hari. Hasil daripada jualan pesta konvo ini sedikit sebanyak diharapkan mampu memperkukuhkan lagi kedudukan ekonomi IMPI Perlis dalam usaha untuk terus bergerak di hadapan. Selain itu juga, usaha ini merupakan salah satu cara dalam menjana semangat kerjasama sesama ahli dalam mewujudkan suatu organisasi yang mampu bergiat dengan lancar dan sempurna. Antara barang jualan adalah makanan dan minuman, buku-buku ilmiah, baju serta lain-lain barangan. Untuk pengetahun semua, IMPI Perlis juga telah menyertai kejohanan hoki tertutup IPGM Kampus Perlis anjuran kumpulan gerko permainan KPLI. Alhamdulillah, suatu pencapaian yang membanggakan apabila pasukan ini telah berjaya merebut gelaran naib johan walaupun terdapat banyak pasukan yang tidak kurang hebatnya. Tahniah diucapkan. Seterusnya, acara penutup tirai bagi enam bulan pertama penubuhan IMPI Perlis adalah program “Request 4 Teachers Day”. Aktiviti ini adalah merupakan program sulung yang pernah dilakukan di IPGM Kampus Perlis. Aktiviti ini adalah anjuran Lajnah Ekonomi dalam usaha untuk menghargai pengorbanan dan segala penat lelah para pensyarah yang telah dicurahkan. Justeru, para guru pelatih telah membuat pesanan dan tempahan hadiah untuk diserahkan kepada pensyarah dan rakan-rakan istimewa masing-masing pada sambutan Hari Guru Peringkat IPGM Kampus Perlis.
Diharapkan segala apa yang telah dilakukan pada enam bulan pertama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan lebih cemerlang. Semoga aktiviti-aktiviti lain yang telah dirancang akan mendapat sambutan daripada semua pihak khususnya warga JAPIM IPGM Kampus Perlis serta seluruh anggota komuniti IPGM Kampus Perlis amnya. Mudah-mudahan aktiviti yang dilakukan ini mendapat keberkatan Allah SWT hendaknya demi mencari dan mencapai keredhaan Allah SWT di dunia mahupun di akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment