Salam ukhuwah buat semua sahabat-sahabat seIMPI. Salam yang pertama dihulurkan di dalam pertemuan semula untuk semester baru ini. Semoga terus berada di bawah naunganNya dan terus tetap di atas jalanNya. Isu pertama untuk semester ini adalah berkaitan dengan keputusan peperiksaan bagi semester lepas.
Alhamdulillah dan segala pujian buat Yang Maha Pencipta kerana dengan kehendaknya jugalah kita mampu tersenyum manis atas kejayaan yang dicapai ini. Alfun Mabruk buat semua guru pelatih opsyen PISMP Pengajian Agama Islam semester 4 kini, ambilan Januari 2008 di atas kecemerlangan yang amat memberangsangkan dan begitu membanggakan. Kami dari pihak warga impiperlis.blogspot.com mengucapkan tahniah dan penghargaan buat semua yang berjaya mencapai keputusan cemerlang. Memang amat membanggakan apabila daripada 30 pelajar cemerlang yang mendapat purata nilai gred 3.80 ke atas, seramai 26 orang daripadanya merupakan pelajar Pengajian Agama Islam. Tahniah juga buat 7 orang lagi warga PISMP Pengajian Agama, anda juga merupakan yang terbaik dan masih boleh dibanggakan.
Walaubagaimanapun, perlu diingatkan di sini kepada semua warga IMPI, merangkap guru pelatih opsyen PISMP Pengajian Agama semester 4 (semester ini), perjalanan kita masih jauh dan penuh dengan cabaran dan dugaan yang menanti. Kita baru sahaja menghabiskan tiga semester. Untuk menggenggam Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pendidikan Rendah dengan Kepujian (Pengajian Agama Islam), kita masih perlu menempuh baki tujuh semester yang sebenarnya kita tidak tahu bagaimana suasananya dan apakah yang menanti di hadapan. Apa yang penting kita perlulah terus berusaha dan berusaha. Ingatlah, keterlekaan pasti mampu mengundang kegagalan dan kesedihan, membuat diri sendiri yang merana.
“Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka sendiri yang mengubahnya...”
Di samping kejayaan yang dicapai itu, sedikit peringatan ingin disampaikan di sini, janganlah diri kita ternoda dengan ‘ujub, riya’ dan takabbur dek kerana hamburan pujian dan kata-kata penghargaan atas kejayaan yang dikecapi. Semoga dikuatkan diri dan ruh kita ini daripada sifat-sifat mazmumah dan syirik khafiy tersebut. Kejayaan sebegini hanyalah kejayaan duniawi yang hanya dipandang tinggi dimata manusia, dan satu persolan yang ingin ditimbulkan di sini, apakah kita mampu untuk menghadirkan kejayaan ukhrawi pula? Tepuklah dada, seterusnya tanyalah keimanan masing-masing. Sesungguhnya Allah tidak melihat semua yang dikecapi di dunia ini selain daripada tingkat ketaqwaan diri kita.
Teruskanlah segala usaha dan kerjasama yang telah dilakukan sepanjang berlalunya semester tiga yang lepas. Memang tidak dapat dinafikan, sikap bantu-membantu dan kerjasama antara kita sebenarnya telah menghadirkan kebahagiaan kita pada hari ini. Perkongsian ilmu, perbincangan berkumpulan dan pelbagai lagi telah menampakkan hasilnya. Buahnya nampak begitu ranum, cantik, manis dan sesegar mata memandang. Jazakallah Khairan Jazaa’. Semoga kita akan mampu untuk terus tersenyum lagi atas segala kejayaan dan kebaikan yang kita lakukan. IMPIan kita adalah sama, IMPIan kita menuju kepada sesuatu yang kekal bermakna, IMPIan kita satu, untuk menggenggam suatu yang bermakna...
“Rabbana aatina fi ad-dunya hasanah wa fi al-akhirah hasanah, WAQINA AZAAB AN-NAR”.
Wallahu a’lam…
No comments:
Post a Comment