:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

20 April 2010

SELAMAT DATANG




WARGA IKATAN MAHASISWA PENDIDIKAN ISLAM IPG KAMPUS PERLIS MENGALU-ALUKAN KEHADIRAN WARGA PERSATUAN PENDIDIKAN ISLAM (PENDIDIK) IPG KAMPUS PENDIDIKAN ISLAM KE IPG PERLIS.

SEMOGA LAWATAN INI MAMPU MEMBAWA SERIBU PENGERTIAN KEPADA KITA SEMUA

  • LAWATAN ILMIAH PENDIDIK IPG KPI KE IMPI PERLIS
  • 23-25 APRIL 2010




06 April 2010

Bakal guru yang ke pedalaman akan dimotivasi

KUALA LUMPUR: 2010/04/06 - Guru-guru yang bakal dihantar ke kawasan pedalaman akan dimotivasi terlebih dulu sebagai persediaan mental dan fizikal mereka.

“Bagi tujuan itu, kumpulan sokongan akan diadakan bagi memotivasikan guru terbabit menerusi program orientasi,” kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, kumpulan sokongan adalah terdiri daripada guru yang sedang mengajar di kawasan pedalaman.
"Tahun ini kita akan menghantar 5,292 guru ke kawasan pedalaman di mana mereka perlu disediakan dengan ketahanan mental dan fizikal.


"Seperti rawatan kepada pesakit kanser, maka kita kena minta bekas pesakit kanser sendiri untuk memberi semangat kepada pesakit yang sedang menerima rawatan bagi meneruskan kehidupan mereka," katanya di sini, hari ini.

Puad berkata, guru yang bakal dihantar mengajar di pedalaman akan dimaklumkan lebih awal berhubung penghantaran mereka supaya dapat membuat persediaan awal, seperti keperluan menguruskan soal tempat tinggal.

"Kita sedia maklum dengan masalah tempat tinggal guru di pedalaman sementara kerajaan sedang berusaha untuk membina rumah guru yang lebih selesa," katanya. – Bernama



04 April 2010

Seksa jadi cikgu



KUALA LUMPUR: 2010/04/01 - Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas guru yang kini terpaksa melakukan kerja berlebihan, termasuk pentadbiran dan perkeranian hingga mengganggu tanggungjawab mendidik pelajar.

Jawatankuasa itu yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan dianggotai beberapa pegawai pelajaran dan wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) akan mengenal pasti tahap keseriusan isu berkenaan serta diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikannya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdasarkan aduan NUTP, selain tugas mengajar, ada guru terpaksa mengendalikan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain.
“NUTP turut membuat aduan yang guru terpaksa bekerja setiap Sabtu disebabkan terbabit dengan banyak aktiviti, sedangkan pekeliling yang dikeluarkan membenarkan guru bercuti pada Sabtu sebanyak dua kali setiap bulan.

“Jadi, kita akan teliti masalah itu kerana tidak mahu tugas hakiki guru, iaitu mendidik pelajar tidak terganggu disebabkan bebanan macam-macam tugas yang terpaksa dibuat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat antara Kementerian Pelajaran dengan NUTP di bangunan Parlimen, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, jawatankuasa itu akan mengenal pasti punca masalah berkenaan dan mencari penanda aras yang boleh diguna pakai bagi menyelesaikannya.
“Piawaian antarabangsa atau dari negara jiran yang tahap pendidikannya lebih tinggi boleh kita contohi,” katanya.

Muhyiddin berkata, kementerian menyedari tugas sebenar guru ialah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, bukannya melakukan tugas tertentu yang sepatutnya dilakukan kerani.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, dasar baru kementerian yang menekankan aspek kokurikulum di sekolah mendapat maklum balas positif daripada NUTP yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berkenaan.

“NUTP turut menyokong Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi meningkatkan jaringan pendidikan kepada rakyat. Kementerian akan cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik kepada guru dan rakyat,” katanya.





Selesai masalah kediaman guru SK Long Lutin

KUCHING:04/04/10 - Kementerian Pelajaran akan membina rumah kabin sebagai kediaman empat guru termasuk sepasang suami isteri di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lutin, Ulu Baram, yang terpaksa tinggal di bawah bilik darjah di sekolah berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata beliau akan menemui Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan mengemukakan cadangan bagi mengeluarkan peruntukkan kecemasan untuk membina rumah guru kabin itu.

Beliau berkata pembinaan rumah guru kabin dengan kos kira-kira RM100,000 seunit adalah pendekatan berkesan untuk menyelesaikan masalah kediaman guru itu dengan segera.
Saya amat terkejut apabila terbaca laporan akhbar mengenai nasib guru di SK Long Lutin itu dan lebih mengejutkan apabila masalah kediaman guru itu berlarutan sejak tiga tahun yang saya rasa tempoh terlalu panjang dan cukup mencabar bagi guru terbabit.


Saya akan meminta Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak supaya mengemukakan laporan segera berhubung masalah itu, katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas laporan nasib guru berkenaan yang terpaksa tidur dalam sebuah bilik sempit berukuran enam meter panjang dan tiga meter lebar dengan ketinggian hanya dua meter kerana kediaman guru sedia ada tidak mencukupi.

Sambil menyuarakan rasa kagumnya terhadap pengorbanan guru berkenaan, Mohd Puad turut mengakui masih banyak yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah kediaman guru di kawasan pendalaman dan pihaknya memerlukan maklumbalas daripada pelbagai pihak untuk mengesan sebarang masalah yang perlu diberi keutamaan.
Dalam hal ini (SK Lutin), saya hanya mengetahui masalah itu daripada laporan akhbar yang jelas mendedahkan masalah yang dihadapi guru terbabit.

Jika masalah seperti ini berlarutan, kita akan terus menghadapi kesukaran untuk menghantar guru ke pedalaman, katanya.





Dua elaun khas baru bagi guru sekolah pedalaman

MIRI: 03/04/10 - Kementerian Pelajaran bercadang menambah dua lagi kategori elaun khas bulanan bagi guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman, kata Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Dr Amir Salleh @ Mohd Salleh.

Katanya kategori baru itu di bawah ''Elaun Pedalaman'' akan membabitkan elaun tambahan masing-masing sebanyak RM750 dan RM1,250.


"Elaun baru ini dijangka dilaksanakan dalam sedikit masa lagi dan ia adalah tambahan kepada kategori yang sedia ada iaitu RM500, RM1,000 dan RM1,500," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian bengkel tiga hari mengenai sekolah-sekolah kecil di sini hari ini.


Timbalan Menteri Pelajar Dr Mohd Puad Zarkashi merasmikan bengkel berjudul ''Strategi Pedagogi Bagi Meningkatkan Prestasi Sekolah-Sekolah Kecil'' yang disertai oleh 36 peserta dari enam negara.

Amir berkata menerusi pengenalan kategori elaun tambahan, ia berharap kadar pertukaran guru di sekolah kawasan pedalaman dapat dikurangkan.

Katanya, insentif tambahan untuk guru itu juga dilihat sebagai salah satu strategi ke arah mencegah prestasi buruk sekolah di kawasan pedalaman.

Amir berkata sebuah modul baru akan diperkenalkan tahun depan sebagai sebahagian daripada kurikulum untuk pelajar sekolah pedalaman bagi meningkatkan kemampuan pembelajaran mereka.
Katanya perkhidmatan sokongan khas termasuk penginapan, tuisyen percuma, program pemakanan tambahan serta bantuan kewangan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) akan diteruskan kepada pelajar sekolah pedalaman. – Bernama




03 April 2010

Tiga tahun tidur bawah bilik darjah demi murid

LONG LATIN (Ulu Baram): Empat guru disebuah sekolah rendah di sini termasuk sepasang suami isteri terpaksa tidur dalam sebuah bilik sempit berukuran 20 kaki panjang dan 10 kaki lebar dengan ketinggian hanya tujuh kaki sejak tiga tahun lalu kerana kediaman guru yang sedia ada tidak mencukupi.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lutin, Edward Ngullie Anggun, berkata sekolah itu yang dibina awal 1980-an hanya mempunyai empat unit kediaman guru termasuk satu unit yang sudah uzur serta hampir runtuh dan tidak cukup untuk menampung 12 guru serta keluarga mereka.

Kami terpaksa membina dua bilik untuk kediaman guru di bawah kelas serta satu lagi dijadikan bilik darjah kerana kemudahan kediaman yang sedia ada memang tidak mencukupi, katanya.
Helleh Lihan, 29, guru kelas peralihan di sekolah terbabit berkata, dia dan suaminya, Fanuel Gerawal Edom, 26, terpaksa tinggal dalam sebuah bilik yang sempit di bawah bilik darjah sejak tiga tahun lalu.

Katanya, walaupun begitu mereka tetap bersyukur kerana mempunyai tempat untuk tinggal dan ia sedikitpun tidak mematahkan semangat untuk memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak orang Penan di kawasan Ulu Baram.

Seorang lagi guru di sekolah itu, Benjamin Lenjan, 45, berkata dia kini terpaksa tinggal dalam sebuah rumah guru yang hanya menunggu masa untuk runtuh.

Katanya, sejak enam tahun lalu pelbagai usaha dilakukan oleh pihak sekolah untuk mendapatkan kediaman baru guru namun setakat ini tidak berjaya.
Kalau difikirkan rumah guru ini memang tidak lagi selamat untuk diduduki lebih-lebih lagi kedudukannya di tepi sungai dan ketika hujan memang banyak ruang yang basah, katanya.

Hampir 100 peratus daripada 209 murid di sekolah terbabit adalah anak-anak kaum Penan dari tujuh kampung dari sekitar Long Lutin dan semua murid terbabit tinggal di asrama. – Bernama