:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

02 April 2009

Sejarah dan Pengenalan Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam




Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam atau nama ringkasnya IMPI adalah merupakan sebuah persatuan yang diwujudkan khusus untuk guru-guru pelatih daripada opsyen Pengajian Agama di Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis. Penubuhan IMPI adalah bertujuan untuk menyatukan idea dan peranan serta mengukuhkan ikatan silaturrahim antara guru-guru pelatih Pengajian Agama. Ini adalah berikutan kepada kurangnya kebersamaan di kalangan guru-guru pelatih dalam melaksanakan aktiviti atau program-program tertentu selain penglibatan yang kurang aktif dalam aktiviti-aktiviti di institut serta beberapa masalah lain yang berlaku. Maka, hasil daripada perbincangan beberapa guru pelatih, satu kesepakatan telah dicapai bagi mengatasi perkara ini iaitu dengan menubuhkan IMPI. Penubuhannya juga  berlandaskan kepada cita-cita murni untuk melahirkan bakal mursyid dan mursyidah yang benar-benar berkualiti dari sudut intelek, rohani, emosi dan jasmani.


IMPI mula ditubuhkan pada hari Isnin, 5 Januari 2009 yang mana perlantikan ahli Majlis Tertinggi yang pertama kali diadakan pada waktu malam tersebut selepas perjumpaan antara guru-guru pelatih PISMP Pengajian Agama dengan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Ustaz Joohari bin Hashim. Seramai 6 orang ahli Majlis Tertinggi telah dilantik bagi menerajui pengurusan IMPI pada sesi pertama ini. Penasihat bagi IMPI adalah semua pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral.


Di awal penubuhannya, nama asal bagi IMPI adalah PISMP PA 08/09. Walaubagaimanapun, hasil mesyuarat ahli Majlis Tertinggi, nama PISMP PA 08/09 teah ditukar kepada Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam dan nama ini telah digunakan secara rasmi pada 28 April 2009.


Hasil daripada mesyuarat ahli Majlis Tertinggi pada 9 Januari 2009, 4 lajnah telah dibentuk bagi memantapkan lagi pengurusan IMPI iaitu Lajnah Bimbingan dan Motivasi, Lajnah Ilmiah, Lajnah Ekonomi dan Lajnah Riadah dan Rekreasi. Selepas hampir setahun IMPI diwujudkan, persatuan ini telah menambah satu lagi lajnah bertepatan dengan keperluannya yang berkaitan iaitu Lajnah Multimedia dan Publisiti. Ahli jawatankuasa bagi setiap lajnah tersebut telah dilantik oleh ahli Majlis Tertinggi. Setiap lajnah perlu menyediakan rancangan aktiviti dan program yang akan dilaksanakan. Hasilnya, pelbagai aktiviti dan program telah berjaya dianjur dan dijalankan oleh IMPI hasil kelolaan dan perancangan oleh setiap lajnah sama ada berbentuk harian, mingguan, bulanan mahupun tahunan.


Keahlian awal IMPI adalah seramai 34 orang yang terdiri daripada guru-guru pelatih PISMP Pengajian Agama ambilan Januari 2008. Walaubagaimanapun, keahlian IMPI bertambah seramai 39 orang hasil kemasukan guru-guru pelatih baharu daripada PPISMP Pengajian Agama ambilan Julai 2009. Jumlah ini berkemungkinan akan bertambah dari semasa ke semasa mengikut pengambilan pelajar baharu opsyen Pengajian Agama Islam.


IMPI ditubuhkan atas dasar matlamat dan objektif yang tertentu. IMPI bukan sahaja merupakan satu persatuan yang ditubuhkan untuk mengukuhkan ukhwah, tetapi ia juga merupakan satu wasilah dan medan latihan untuk membentuk kepemimpinan diri yang unggul, semangat berpasukan yang padu serta memberi peluang dalam perkongsian idea dan penggemblengan tenaga bagi melahirkan individu yang benar-benar membawa imej ISLAM dan layak untuk melaksanakan gerak kerja ISLAM.


No comments:

Post a Comment