:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

18 December 2009

Salam Ma'al Hijrah 1431





Semoga dengan kedatangan Tahun Baru Islam 1431H ini dapat memberikan sebanyak mungkin kekuatan dan keazaman kita untuk terus berada di landasan yang betul dan diredhai olehNya. Semoga kebersamaan redha dan rahmatNya sentiasa mengiringi dalam setiap langkah yang dilakukan. Kullu 'am wa antum bi khair.



08 December 2009

Kenapa Islam, Tidak Bangsa

Islam bukan agama perkauman dan kebangsaan. Islam tidak dipunyai oleh bangsa arab malahan Islam merupakan agama untuk semua manusia daripada segelap-gelap manusia sehinggalah seputih-putih manusia, daripada timur hingga ke barat. Persoalannya sekarang ialah kenapa Islam lebih melihat kepada Islam dan bukannya melihat kepada sesuatu kaum ataupun bangsa. Persoalan ini dapat dijawab dengan beberapa alasan berikut :


Islam agama yang adil dan sejahtera
Islam merupakan agama yang menjamin keselamatan manusia lantaran ia merupakan panduan daripada pencipta kepada manusia yang tidak mempunyai sebarang kepentingan melainkan semua peraturan itu adalah untuk kesejahteraan manusia. Keadilan Islam melepasi sempadan bangsa dan bahasa, malah tidak mengira warna kulit. Peraturan Islam menjamin hak setiap manusia walaupun dalam agama yang berbeza dengan Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa orang bukan Islam telah mendapatkan hak yang sewajarnya di bawah pemerintahan Islam. Maka tiada sebarang alasan untuk menolak Islam.


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ . مِنْ مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى هِرَقْلَ عَظِيمِ الرُّومِ . سَلاَمٌ عَلَى مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَى ، أَمَّا بَعْدُ فَإِنِّى أَدْعُوكَ بِدِعَايَةِ الإِسْلاَمِ ، أَسْلِمْ تَسْلَمْ ، يُؤْتِكَ اللَّهُ أَجْرَكَ مَرَّتَيْنِ ، فَإِنْ تَوَلَّيْتَ فَإِنَّ عَلَيْكَ إِثْمَ الأَرِيسِيِّينَ
Maksudnya: Dengan nama Allah yang maha pengasih dan penyayang. Daripada Muhammad, yang merupakan hamba Allah dan rasulNya; surat ini ditujukan kepada Hercules, pembesar kerajaan Rom. Salam sejahtera kepada mereka yang mengikut petunjuk. Sesungguhnya, Aku mengajak tuan menerima seruan Islam. Peluk lah Islam, nescaya kamu akan selamat, dan Allah akan berikan dua ganjaran kepada kamu. Sebaliknya, sekiranya tuan engkar, tuan turut akan menanggung dosa para petani (di kalangan rakyat tuan). (Muttafaq alayh).


 Rasulullah tidak pernah membangkitkan isu bangsa
Bangsa arab Quraysh yang dianggap sebagai Jahilillah memiliki akhlak yang sangat bejat dan buruk sekali. Namun, dalam usaha memperbaiki dan mengukuhkan bangsa arab baginda telah mengajak mereka beriman dengan Allah dan menjadi seorang Muslim. Baginda tidak pernah mengungkit tentang isu bangsa arab, sebaliknya mengajak mereka membuangkan segala bentuk syirik dan mentauhidkan diri hanya kepada Allah. Dengan demikian itu, mereka mampu menjadi sebuah bangsa yang kuat dan dapat menjadi kuasa besar. Saidina Omar telah menyebut:


عن طارق بن شهاب قال : لما قدم عمر الشام أتته الجنود وعليه إزار وخفان وعمامة وأخذ برأس بعيره يخوض الماء ، فقالوا له : يا أمير المؤمنين ، تلقاك الجنود وبطارقة الشام وأنت على هذا الحال ، قال : فقال عمر : إنا قوم أعزنا الله بالاسلام ، فلن نلتمس العز بغيره.
Maksudnya: Apabila Saidina Omar sampai ke Syam, beliau telah disambut oleh para tentera sedangkan beliau hanya memiliki satu kain dan dua khuf sambil menuntun tali untanya merentasi air. Mereka berkata kepadanya, Wahai amir al-Mukminin, kenapa engkau berpenampilan begini sedangkan kamu menemui tentera dan pemimpin agama di Syam. Beliau menjawab, sesungguhnya kita merupakan satu kaum yang Allah telah muliakan dengan Islam. Kita tidak akan memperoleh kemuliaan dengan selain dari Islam. (Musannaf Ibn Abi Syaibah)


Islam merupakan agama yang memiliki rujukan
Al-Quran dan al-Sunnah merupakan asas kepada Islam yang menjadi sekadar panduan dan sebagai kata pemutus dalam sesuatu perkara. Kehebatan Islam terletak pada panduan ini sehingga tiada agama yang dapat menandingi kehebatan Islam. Manakala, bangsa tidak memiliki sebarang rujukan dan kata pemutus untuk membukti kehebatannya ke atas bangsa yang lain. Melebihkan satu bangsa ke atas bangsa yang lain tanpa memiliki asas yang kuat, mengundang lebih banyak masalah daripada penyelesaian.


Bangsa tidak menjadi sebab untuk bermusuh



Islam wujud tanpa sempadan, tanpa melihat kepada sesuatu bangsa, warna kulit atau keturunan. Islam adalah Islam

Allah menciptakan kepelbagaian manusia untuk manusia mengenali antara satu sama lain. Ia bukanlah alasan untuk memusuhi antara satu sama lain. Malahan Allah memerintahkan orang Islam agar mengajak mereka yang bukan Islam agar beriman kepada Allah. Sekiranya kita meletakkan bangsa sebagai asas permusuhan, ia menyalahi perintah Allah. Musuh kepada Islam ialah mereka yang menentang dakwah Islam, walaupun di kalangan bangsa sendiri. Melindungi bangsa sendiri yang melakukan kezaliman merupakan perkauman yang ditentang oleh Rasulullah.


لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ
Maksudnya: Bukan daripada ajaran Islam, mereka yang mengajak kepada perkauman dan berperang mempertahankan perkauman. Bukan daripada Islam mereka yang mati di atas perkauman. (Sunan Abi Daud)


Matlamat akhir ialah dakwah
Dakwah merupakan tanggungjawab asasi kepada umat Islam. Kita bertanggungjawab menyampaikan mesej Islam kepada semua manusia sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah. Oleh sebab itu, Islam perlu dijadikan matlamat akhir bukan bangsa. Kukuh bangsa tidak bererti kukuh agama. Kukuh Islam bererti kukuh bangsa. Apabila kita meletakkan asas perjuangan itu bangsa, ia akan membawa sengketa dan perasaan tidak puas hati yang tidak berkesudahan.

Perkauman membawa kepada kezaliman


يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْعَصَبِيَّةُ قَالَ « أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ
Maksudnya; Seorang sahabat bertanya ”Wahai Rasulullah, apa itu perkauman”. Rasulullah menjawab ”Kamu menolong kaum kamu ke atas kezaliman”. (Sunan Abi Daud)





06 December 2009

Luqmanul Hakim : Model tarbiyyah Islam yang unggul


Apabila menyebut tentang soal pendidikan anak-anak secara tidak langsung ia lebih tertumpu kepada tugas dan tanggungjawab ibu bapa. Untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang kamil tidaklah semudah yang diperkatakan dalam buku, majalah dan seminar.


Ia lebih menekankan soal keinsafan, kesedaran dan sikap tanggungjawab yang mendalam di samping mempunyai aqidah yang kental terhadap Allah SWT. Justeru itu, Allah SWT telah merakamkan beberapa keistimewaan yang dilakukan oleh Luqmanul Hakim sewaktu mendidik anak. Di antara nasihat Lukman kepada anaknya ialah:


  • Hendaklah engkau selalu berada di majlis para ulama' dan dengarlah kata-kata para hukama (orang yang bijaksana), kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat sepertimana menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat.
  • Janganlah engkau jadi lebih lemah daripada seekor ayam jantan, ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan engkau pada ketika itu masih terbaring di atas katilmu.
  • Janganlah engkau menangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu akan datang tiba-tiba.
  • Dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak orang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya.
  • Pukulan bapa ke atas anaknya bagaikan air menyirami tanaman.
  • Tiga orang yang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan. Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah, orang yang berani melainkan ketika berperang dan saudara maramu melainkan ketika engkau berhajat dan memerlukan pertolongan daripadanya.
  • Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan seluruh umurmu lebih sedikit daripada itu. Manakala umurmu yang masih berbakti lagi amat sedikit daripada yang lebih sedikit tadi. 


Di dalam al-Quran tercatat pelbagai nasihat dan panduan hidup muslim, antaranya kisah Luqmanul Hakim dengan anaknya yang mengandungi pelbagai nasihat serta pengajaran untuk kita semua



AQIDAH 

Masalah aqidah adalah masalah yang paling penting dalam kehidupan seorang muslim. Ia merupakan asas atau tapak bagi pembangunan Islam. Dewasa ini kita dapati banyak penyelewengan terjadi sama ada dari segi pemikiran, perkataan mahupun tingkah laku. Kesemuanya berpunca daripada tidak memahami aqidah Islam secara mendalam. 

Firman Allah yang bermaksud:"Dan ingatlah sewaktu Luqman berkata kepada anaknya: "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."(Surah Luqman: 31)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Luqman memulakan nasihat kepada anaknya supaya tidak melakukan syirik kepada Allah SWT. Jiwa anak yang masih suci itu harus dibersihkan daripada sebarang kerosakan dan kesesatan yang berpunca daripada syirik. Ini bererti pendidikan tauhid mesti diajar dan ditanam ke dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil lagi. 

Kebanyakan ibu bapa hari ini tidak menekankan pelajaran tauhid kepada anak-anak. Bukan sahaja demikian bahkan terdapat juga di kalangan ibu bapa tidak tahu mengenai pelajaran tauhid. Siapakah yang harus dipersalahkan sekiranya anak-anak generasi muda mudah tergelincir keimanannya? 

Syirik amat mudah berlaku sekiranya di dalam diri seseorang itu tidak ditanamkan dengan aqidah untuk beriman dengan Allah SWT secara kental. Membentuk jiwa anak-anak agar sentiasa mengingati Allah dalam segala gerak geri dan perbuatannya adalah menjadi tugas dan tujuan yang paling utama bagi setiap pendidikan. 

Hal yang demikian tidak mungkin berlaku kecuali setelah setiap pendidik membiasakan anak-anak mengingati Allah ketika mereka sedang bekerja, berfikir dan mendapat sesuatu. Ibu bapa perlu banyak mendidik anak-anak dengan membiasakan mereka melihat perbuatan yang baik daripada ibu bapa. Sebagai contoh Sahal bin Abdullah menceritakan bahawa: 

"Ketika aku berumur tiga tahun, aku sudah mulai bangun malam dan memerhatikan bapa saudaraku solat. Tiba-tiba pada suatu hari dia bertanya kepada aku, adakah engkau mengingati Allah yang menjadikan engkau? Lalu aku bertanya, bagaimana cara mengingati-Nya?, kemudian beliau berkata kepada ku, sebutkan dalam hatimu tiga kali ketika hendak tidur tanpa menggerakkan lidah mu (Allah bersamaku, Allah melihatku dan Allah menyaksikanku). 

Setelah beberapa kali aku melakukan, lalu disuruhkan pula aku menyebutnya tujuh kali pada setiap malam. Selepas itu disuruhnya pula sebelas kali sehingga aku merasakan kemanisan bacaan itu dalam hatiku. Setelah berlalu masa setahun, maka dia berkata kepadaku, "Wahai Sahal! jagalah baik-baik apa yang aku ajarkan engkau itu dan bacalah ia hingga engkau masuk ke dalam kubur." 

Katanya lagi, "Wahai Sahal! Siapa yang mengetahui dan menyedari yang Allah sentiasa bersamanya, menyaksikannya, apakah boleh dia berbuat maksiat lagi? Jauhkanlah dirimu daripada perbuatan maksiat." 

Melalui proses latihan yang disebutkan di atas serta pendidikan keimanan yang murni muncullah Sahal menjadi seorang ulama' yang terkenal.


SOLAT


Firman Allah bermaksud: 

"Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat." (Surah Luqman: 17). 

Islam memberikan keutamaan yang sangat besar kepada solat yang tidak pernah diberikan kepada ibadat lain. Kerana ia adalah tiang agama, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "

Pokok pangkal sesuatu adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad fi sabillillah." 

Solat yang dikehendaki oleh Islam bukanlah sekadar berkata-kata yang diucapkan oleh lidah dan pergerakan badan.
Tetapi solat yang sebenar adalah yang dilakukan dengan penuh perhatian dan tumpuan pemikiran, penuh rasa takut dalam hati serta menzahirkan keagungan dan kebesaran Allah, itulah solat yang diterima oleh Allah SWT.


Dari segi kejiwaan, solat memberikan ketenangan dan kekuatan bagi jiwa seseorang. Daripada segi kesihatan, ia mendidik seseorang supaya menjaga kebersihan dan melatih badan agar sentiasa segar dan cergas. Dari segi akhlak pula ia mencegah perbuatan mungkar dan menjaga waktu manakala dan dari segi kemasyarakatan solat mendidik persamaan dan persaudaraan.


BERBAKTI KEPADA KEDUA IBU BAPA
 
Firman Allah yang bermaksud: 

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya mengandungkan dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. "Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu, kepada Ku jua tempatmu kembali." (Surah Luqman: 41)

Ibu bapa mempunyai kedudukan yang paling istimewa. Mereka menduduki tempat yang kedua sesudah beriman kepada Allah dan Rasulullah. Oleh kerana itu, tiada seorang pun di atas muka bumi ini yang dapat menyamai kedua dua ibu bapa. Berbakti kepada ibu bapa adalah wajib ke atas setiap anak dalam apa jua keadaan sekalipun ia merupakan asas terpenting dalam pendidikan Islam.

Manakala menderhaka kepada kedua ibu bapa adalah berdosa besar. Adalah mudah bagi anak-anak yang sudah biasa terdidik atas sikap berbakti dan menghormati kedua ibu bapa untuk dididik dan diasuh supaya menghormati jiran tetangga, guru-guru dan seterusnya menghormati manusia seluruhnya.

SABAR

Kesabaran adalah suatu keperluan dalam usaha menegakkan keimanan, melaksanakan amal soleh, memperjuangkan kebenaran dan keadilan. Semuanya bukanlah suatu perkara yang mudah. Oleh itu, ia sangat memerlukan kesabaran. Kesabaran dalam menghadapi hawa nafsu, musuh-musuh luar dan kesusahan lain. Begitu juga kesabaran amat perlu dalam menempuh jalan perjuangan yang amat panjang dan semestinya mengikuti tahap-tahap yang teratur untuk menuju matlamat.


JANGAN SOMBONG 
 
Sifat takabur adalah lahir daripada perasaan bangga diri yang merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain. Biasanya seseorang yang takabur dikuasai oleh sifat-sifat buruk lain seperti taksub, mudah marah, dendam dan hasad dengki. Sebaliknya, Islam menganjurkan tawadduk kerana ia salah satu sifat terpuji yang amat digalakkan oleh Islam. Kalau takabur menjadi punca pertelingkahan dan perbalahan, maka tawaduk adalah pengikat yang menguatkan persaudaraan, mengukuhkan perpaduan serta melahirkan keselamatan dan ketenangan.


KESEDERHANAAN

Kesederhanaan menggambarkan ketenangan dan kesopanan tingkah laku. Tenang dan sopan santun adalah buah daripada budi pekerti mulia yang sangat dituntut oleh Islam. Begitu juga melembutkan suara ketika bercakap adalah menjadi ukuran pekerti mulia.


DAKWAH
 
Adalah menjadi fardhu ain bagi setiap muslim supaya melaksanakan tugas menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Firman Allah bermaksud: 

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung," (Surah Ali Imran: 104).

Pendidikan Luqman adalah pendidikan yang menyeluruh dan lengkap meliputi asas-asas aqidah, ibadat, akhlak dan dakwah. Oleh sebab itulah Allah telah merakamkan pendidikan Luqman itu untuk dijadikan contoh kepada umat Islam sepanjang zaman.





01 December 2009

Kenali Diri


Andaikan 3 orang individu berbeza meminjam pinggan daripada kita.. Dalam selang beberapa tempoh masa, individu pertama memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan bersih cantik tanpa sebarang kecacatan. Maka sudah semestinya kita pun akan terus meletakkannya di atas rak pinggan mangkuk seperti keadaan asalnya.




Setelah itu, datang pula individu kedua dan meminjam pinggan tadi. Setelah meminjamnya, dia pun memulangkan pinggan tersebut namun berbeza keadaan di mana ianya dalam keadaan yang masih kotor; tidak berbasuh. Apa yang akan kita lakukan adalah dengan membasuh pinggan tersebut sehingga bersih, kemudian barulah ianya diletakkan di tempat yg sepatutnya.