Bismillahirrahmannirahim.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahil Hamd!
Assalamualaikum WBT, salam Ramadhan dan salam Aidilfitri diucapkan kepada seluruh ahli Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI).
Bersyukur kepada Allah swt yang sentiasa memberi nikmat kepada kita tanpa henti. Sehingga saat ini, kita masih diberi kesempatan untuk merasai nikmat berada dalam madrasah Ramadhan pada tahun ini. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk Ramadhan meninggalkan kita. Semoga kita sentiasa tergolong dalam kalangan hamba-hamba yang bertaqwa dan bersyukur atas segala pemberianNya. Selawat dan salam juga diucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang sanggup berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan Islam yang tercinta.
Alhamdulillah, setelah hampir sebulan kita melaksanakan jihad melawan hawa nafsu, kini, kita hampir tiba untuk menyambut hari kemenangan umat Islam, Hari Raya Aidilfitri yang mulia.
Sahabat sahabiah sekalian,
Apabila kita menyambut hari raya sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT, maka hendaklah kita menyambutnya dalam suasana yang terikat dengan syariat Allah. Allah memerintahkan kita untuk ‘litukabbirallah (mengagungkan Allah) di atas segala hidayah dan nikmatNya. Maka janganlah hari raya menjadi medan untuk kita kembali kufur kepada Allah SWT dengan melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam. Jangan ada yang melakukan perbuatan sumbang seperti pembaziran, menyimpan dendam, hasad dengki dan sebagainya. Sebaliknya, kekalkanlah ketaatan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan ini, untuk terus mekar sepanjang hari raya dan juga hari-hari berikutnya.
Ana berharap agar daripada tarbiyah Ramadhan selama sebulan ini, ia dapat membangkitkan semula kesedaran kita untuk mengangkat martabat Islam ke tempat yang setinggi-tingginya. Sebagai mana Ramadhan telah memerdekakan umat Islam daripada penyembahan sesama makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah, maka ia sepatutnya telah menyedarkan kita untuk kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Setelah kita berpuasa semata-mata kerana Allah, maka marilah kita berjihad kerana Allah untuk melaksanakan perintah-perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.
Akhir kalam, ana mohon maaf atas segala kekurangan yang ada dalam penulisan kali ini dan dengan perlakuan ana selama ini. Semoga tarbiah Ramadhan yang kita telah tempuhi pada kali ini dapat memberi kesan positif dalam diri untuk menempuh 11 bulan yang akan datang.
Ana berdoa supaya kita semua selamat daripada sebarang kecelakaan pada hari raya ini dan dapat kita bersama-sama merapatkan ukhuwah dan silaturrahim melalui amalan ziarah, bermaafan-maafan, balik kampung dan sebagainya. Berhati-hatilah di jalan raya dan pulanglah ke kampung halaman masing-masing dengan selamat.
Waallahua’lam, assalamualaikum WBT.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan batin.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahil Hamd!
p/s: Jangan lupa puasa sunat enam hari!
No comments:
Post a Comment