:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

20 June 2011

Bicara MT


Oleh : Akh Mohd Ridzuan bin Abd Wahab
Setiausaha Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam(IMPI)

Ustaz dan Ustazah Pilihan : Baiki diri, Betulkan Orang Lain

Alhamdulillah, seinfinti kesyukuran dipanjatkan kepada Allah taala yang Maha Pemurah serta Maha Penyayang kerana limpahan rahmat dan kasih sayang-Nya, kita diizinkan untuk menghirup nikmat iman dan Islam untuk kesekian kali pada tika dan saat ini.

Selawat serta salam dipanjatkan ke atas junjungan besar Sayyidina Muhammad s.a.w, Rasul utusan terakhir bagi ummah akhir zaman ini serta penghulu kepada sekalian anbiya’ kerana di atas usaha, penat lelah, curahan keringat, dan titisan darah Baginda yang mengalir dek pengorbanan dan perjuangan membawa risalah dan obor Islam, akhirnya ia sampai kepada kita pada hari ini. 

Sahabat-sahabat murabbi sekalian,

Allah s.w.t menukilkan menerusi kalam-Nya di dalam surah ‘Ali Imran, ayat 110: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.

Ayat ini menceritakan pengiktirafan ummah terbaik yang yang diberikan Allah taala kepada ummah yang pernah wujud semenjak wujudnya alam ini. Walaupun terdapat sestengah tafsiran ulama’ mengatakan ayat ini ditujukan khas kepada para sahabat Rasulullah s.a.w, namun di sana terdapat juga tafsiran yang menjelaskan pengiktirafan terbaik ini merujuk kepada sekalian ummah Muhammad.

Gelaran ummah terbaik itu hanya akan dicapai jika tanggungjawab amar ma’ruf dan nahi mungkar dilaksanakan. Inilah syarat yang ditetapkan menerusi ayat tersebut. Dan, inilah yang menjadi perbezaan peranan kita berbanding ummah Nabi dan Rasul terdahulu. Mengimbau kembali sirah bagaimana Nabi Musa a.s berdoa kepada Allah untuk menjadikan saudaranya Nabi Harun sebagai pembantu dakwah Baginda,  Harun dilantik sebagai Nabi terlebih dahulu barulah tugasan dakwah itu boleh dijalankan. Tetapi realiti kita pada hari ini, tidak perlu berjawatan Nabi dan Rasul, menjadi manusia biasa sudah layak untuk menjalankan dakwah. Inilah keistimewaan kita sebagai ‘ummah dakwah’!

Ustaz dan ustazah : Pilihan Allah dalam Dakwah

Apabila kita berasa ragu-ragu dengan diri untuk menjadi ustaz atau ustazah, pantaslah kita bertanya pada diri mengapa Allah pandukan kita sebagai seorang pendakwah? Kadang-kadang kita berasa tidak mampu untuk memikulnya, kemungkinan ini berikutan dengan zaman silam yang kita lalui di sekolah menengah kita adalah seorang yang nakal, yang suka bersosial, yang suka bercakap kasar dan kotor, berpakaian mendedahkan aurat, bergaul bebas dan ikhtilat yang pelbagai rupa. 

Namun, sebenarnya terdapat sesuatu pada dalaman diri kita yang Dia mahu kita serlahkan sebagai seorang pendakwah dan berterusan memperhebatkan kekuatan diri dalam berdakwah. Pada zaman kini, mad'u yang kita hadapi adalah pelbagai perangai dan ragam. Fikirkan perkara ini sahaja tatkala kita terasa goyah dengan mehnah sebagai seorang daie, insyaAllah semangat jihad itu akan membara kembali. Jadi, bersyukurlah atas pilihan Allah ini kita menjadi daie yang tergolong dalam golongan tempat rujukan dan penyelamat masyarakat.

Persediaan : Ilmu Pendakwah Bukan hanya pada Pedagogi

Mengikuti ijazah pendidikan, kita akan didedahkan dengan pelbagai pengajaran yang berkaitan ilmu pedagogi. Hampir keseluruhan kursus, ilmu inilah yang kita pelajari berbanding ilmu Islam itu sendiri. Justeru, di sana terdapat suara yang mengatakan belajar di IPG tidak melayakkan sesorang itu bergelar ustaz atau ustazah berbanding dengan ustaz dan ustazah lepasan Timur Tengah seperti Mesir dan Jordan yang sempat bertalaqqi dengan ulama-ulama hebat dan mengutip banyak ilmu Islam ditambah bersanad dengan Rasulullah!

Sebenarnya, berada di tempat mana sekali pun, ia bergangtung kepada kehendak kita dalam mencari Ilmu. Walaupun sepanjang kursus di IPG kita mengikuti pengajaran Pedagogi, di luar kita perlulah bijak dalam menambah koleksi Ilmu Islam dengan mencari kuliah-kuliah ilmu, mengikuti pengajian kitab di pondok, mencari guru atau murshid yang dapat membimbing kita, mengikuti usrah dan halaqah ilmu dan bermacam-macam lagi sumber Ilmu. Tambahan lagi, realiti berada di Perlis terdapat banyak kelebihan bagi pencari ilmu kerana negeri yang kecil menjadikan tempat-tempat kuliah ilmu ini rapat-rapat dan dekat untuk dihadiri. Walaupun pengorbanan mencari ilmu sukar, inilah yang dinamakan mujahadah untuk mendapat title ustaz dan ustazah yang sebenar bukan hanya bergantung pada ilmu pedagogi semata-mata!

IPG Kampus Perlis : Medan Latihan Kader Dakwah

Suasana IPG yang dipenuhi pelbagai ragam dan watak guru pelatih memberi gambaran kepada kita medan masyarakat sebenar. Di sana, terdapat sahabat dan kawan kita yang gah dengan budaya couple, ikhtilat lelaki dan perempuan yang keterlaluan, meninggalkan solat dan puasa, tidak menutup aurat, jahil agama dan pelbagai masalah kronik lain. Inilah realiti sebenar. Justeru, tugasan dakwah menuntut kita berdepan dengan mad’u sedemikian. 

Namun, menyeru kepada kebaikan itu sangat payah! Ya, ia payah jika dilakukan berseorangan. Kita memerlukan kekuatan.Kekuatan itu datang dengan kesatuan. Di sinilah ayat Allah menjadi panduan kita, iaitu ayat yang menyeru kepada berjihad/berdakwah secara kolektif (as-saf:4). Jika kita bersatu, mudah untuk menyebarkan fahaman Islam dalam kalangan warga IPG. Kaedahnya, qudwah kita perlu ditonjolkan dahulu iaitu dengan cara terdekat melazimi solat secara berjemaah di Surau. Ketahuilah, jika semua saf dipenuhi golongan kita, Surau Nurul Iman itu akan berjaya dimakmurkan. Dan, kesannya pasti ada di kalangan guru pelatih lain terikut dengan dakwah bil hal (contoh teladan) yang kita tonjolkan. 

Seterusnya, melalui kekuatan contoh peribadi ustaz dan ustazah ini ia akan memudahkan gerak kerja dakwah dalam IPG ini. Mad’u lebih mudah menerima dakwah dengan thiqah yang dilihatnya. Dakwahlah mengikut kemampuan dan kelebihan masing-masing. Ajaklah mereka pada Islam. Matlamatnya biah solehah iaitu menjadikan Islam tersebar di seluruh penjuru IPG, insyaAllah. Inilah medan latihan kita sebelum berdepan masyarakat sebenar.

Kesimpulan

Segala kalam yang tercoret di sini menjadi muhasabah untuk kita bersama, terutamanya diri penulis. Teliti dan perhati kembali betapa hebatnya kuasa Allah meletakkan kita di posisi ini. Namun, dalam basahnya bibir memuji takdir Allah ini perlulah untuk kita zahirkan rasa syukur itu dengan melengkapkan diri kita dengan perlaksanaan praktikalnya, bukan teori semata-mata.

Langkah terpenting ialah persediaan dari sudut kefahaman. Carilah ilmu Islam untuk betul-betul melayakan gelaran ustaz atau ustazah pada diri kita. Bukan hanya ilmu acuan untuk buku teks dan bilik darjah, tetapi ilmu untuk memandu diri kita dan ilmu untuk mengubah warga IPG yang bermasalah dan masyarakat yang semakin kronik pada zaman ini!

Seterusnya, dari sudut ukhwah kita mestilah hebat mendahului kelompok lain. Perbezaan indivdu mestilah diraikan kerana komponen yang berbeza ini yang akan melengkapkan sebuah jemaah yang syumul. Ayuh jemaah ustaz dan ustazah, peliharalah hubungan dan ikatan antara kita, jangan bermusuhan.

Akhir kalam, fahamilah peranan kita untuk Islam. Usahalah menyumbang untuk Islam supaya kita turut tergolong dalam kelompok yang berjuang memenangkan Islam untuk Daulah Islamiah khususnya di Malaysia, dan Khilafah Islamiah secara amnya. Itulah kejayaan yang besar bagi seorang daie!

Islah nafsak, wad’u ghairak.. =)

2 comments:

  1. kemah keming kalam pimpinan..majulah IMPI untuk Islam di IPG Perlis..

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah...syukur kepada Allah kerana masih memberi kesempatan untuk hidup...syukur kerana masih di beri hidup untuk bertaubat dari dosa yg pernah dilakukan...syukur kerana masih diberi kesempatan hidup untuk menuntut ilmu...syukur kerana diberi sihat untuk terus beribadat kepada-Nya...

    ReplyDelete