:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

14 May 2011

Bicara MT


Oleh :Ukhti Amalina Syakirah binti Mat Zin
Naib Pengerusi II Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam(IMPI)



IMTIHAN OH IMTIHAN

Bismillahirrahmanirrahim..
Alhamdulillah, segala puja dan puji dipanjatkan ke hadrat Ilahi di atas segala nikmat yang telah dikurniakan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., manusia paling unggul dan terulung, penghulu segala nabi, dan keluarga, serta sahabat-sahabat baginda.

Syukur alhamdulillah ana ingin mendedikasikan ucapan tahniah dan terima kasih kepada saff kepimpinan IMPI dan juga kepada semua ahli IMPI yang telah bertungkus-lumus dan menggembleng tenaga dalam menggerakkan aktiviti dakwah dan tarbiah selama ini dan selamanya. Semoga segala amalan kita diterima oleh Allah S.W.T. Insha Allah!

Selain itu, ucapan terima kasih ini juga didedikasikan kepada sidang redaksi buletin IMPI yang telah memberikan peluang untuk ana berkongsi thaqafah dan nasihat sesama kita kerana kita sedar bahawa ad-dinu nashihah, iaitu agama Islam itu mengajar kepada kita agar saling ingat-mengingatkan.

Mujahid dan mujahidah yang dirahmati Allah sekalian,

Memandangkan sekarang kita berada di ambang peperiksaan, ingin ana kongsikan beberapa pesanan menjelang peperiksaan. Masih belum terlambat untuk membuat ulang kaji. Rancang jadual ulang kaji dan bahan ulang kaji secara tersusun. Pastikan buku, nota rujukan dan bahan pembentangan berada dalam bentuk yang mesra pengguna, iaitu susun mengikut kepentingan sesuatu topik dan fokus yang ditekankan dalam peperiksaan nanti. Selain itu, antum juga boleh meminta petua dan pandangan daripada pensyarah ataupun daripada abang-abang dan kakak-kakak senior bagaimana untuk belajar di saat-saat peperiksaan dan juga bentuk soalan yang akan diajukan kelak.

Sahabat dan sahabiah yang dikasihi Allah,

Di sini ana juga ingin berpesan kepada diri sendiri dan antum semua agar tidak membuat ulangkaji di saat-saat akhir seperti sehari sebelum peperiksaan. Ia akan meletakkan kita dalam keadaan yang sangat tertekan terutamanya apabila kita mengetahui masih banyak yang belum difahami mengenai sesuatu topik. Teringat ana kepada pesanan Baginda S.A.W. iaitu ingat 5 perkara sebelum 5 perkara, dan satu daripadanya adalah manfaatkan masa lapang sebelum hadirnya waktu kesempitan.


Mu’allimin dan mu’allimat sekalian,

Janganlah kita berasa terlalu tertekan untuk menghadapi peperiksaan. Ia adalah sebahagian daripada proses pembelajaran yang perlu ditempuhi oleh setiap insane yang bergelar pelajar. Tidak cemerlang dalam peperiksaan bukanlah penamat dalam hidup kita. Apa yang penting kita hendaklah berusaha dan mencuba sedaya upaya. Selalu bayangkan diri berjaya dan bukannya membayangkan apa akan jadi jika kita gagal. ‘Do the best, Be the best’. 
Jangan lupa untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah Rabbul Jalil.


Alhamdulillah sekadar ini sahaja coretan daripada ana, insan yang lemah dan ana ingin memohon sejuta kemaafan daripada sahabat sahabiah sekalian sepanjang ukhwah dan kolabaorasi kita. Sebagai akhir kalam, ma’attaufik wannajah fil imtihan,barakallah lakum wa lana ! Insha Allah.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh..

1 comment: