:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

03 May 2011

Bicara MT

Oleh : Akh Mohd Syameer bin Mohd Jamil
Timbalan Pengerusi 1 Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam(IMPI)





SIFAT ORANG MUKMIN

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Pertama dan selamanya marilah sama-sama kita memanjatkan setinggi kesyukuran kepada Allah SWT, atas segala nikmat yang dikurniakan oleh-Nya. Selawat serta salam kita lafazkan buat junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW, kerana berkat usaha perjuangan baginda, Islam tersebar sehingga di akhir zaman ini dan kita sendiri turut merasai dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat IMAN & ISLAM.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,
Terlebih dahulu ana ingin mengucapkan tahniah kepada Saff Kepimpinan IMPI sesi 2011 ini kerana terus berusaha untuk menyebarkan syiar-syiar Islam khususnya di bumi IPG Kampus Perlis ini. Semoga usaha kalian mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT. Di kesempatan ini, ana juga ingin mengucapkan terima kasih kepada sidang redaksi buletin IMPI kerana memberi sedikit ruang kepada ana untuk berkongsi sedikitnya ilmu yang ana ada. Apa yang bakal ana coretkan selepas ini bukanlah bertujuan ingin mengajar antum, tetapi hanya sekadar ingin saling mengingati sesama kita Ahli IMPI khususnya diri ini yang penuh dengan maksiat dan dosa.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati,
Ana ingin berkongsi mengenai sebuah hadis sahih yang bermaksud, “keadaan orang mukmin itu sangat menakjubkan, kerana segala urusan yang menimpanya dianggap baik, tetapi keadaan ini hanya berlaku kepada orang yang beriman, iaitu apabila mendapat kesenangan dia bersyukur kerana itu lebih baik untuknya, dan apabila dilanda kesusahan dia bersabar kerana itu lebih baik untuknya” (Hadis Sohih Riwayat Muslim). Berdasarkan diskusi ana bersama murabbi ana mengenai hadis ini, kata murabbi ana, hadis ini ingin menggambarkan di antara sifat orang mukmin adalah dia sentiasa redha dengan segala ketentuan Allah yang menimpa dirinya. Tidak kiralah baik mahupun buruk perkara itu, dia tetap menganggap itu semua adalah yang terbaik untuknya. Ini adalah kesan bagi orang yang benar-benar beriman dengan hati. Wajib atas setiap muslim dan mukmin untuk kita beriman dengan Qada’ dan Qadar Allah SWT. Malangnya di akhir zaman ini, ramai orang yang mengaku beriman di mulut, tetapi hakikatnya hatinya tidak beriman. Misalnya, apabila sesuatu yang memberi keuntungan kepadanya, maka bergembira dan senanglah hatinya, namun, apabila sesuatu yang membebankan berlaku ke atas dirinya, maka beranggapanlah dia bahawa ini adalah suatu penghinaan ke atasnya. Golongan ini bukanlah golongan mukmin seperti mana sabda Baginda SAW di atas.

Ikhwah dan akhawat yang ana kasihi,
Yang keduanya, golongan mukmin yang sebenar adalah golongan yang apabila dia mendapat kesenangan/kebaikan/sesuatu yang baik untuk dirinya, maka dia bersyukur dengan pemberian itu. Dan sekiranya dia memperoleh kesusahan/musibah/sesuatu yang buruk untuk dirinya, maka dia tetap bersabar menempuhnya. Maksudnya di sini, baik mahupun buruk sesuatu yang menimpanya, maka dia tetap bersyukur dan bersabar. Keadaan ini boleh kita lihat sewaktu musibah menimpa diri kita. Adakah kita akan bersabar atau sebaliknya? Berkata para ulama, golongan yang dimaksudkan oleh baginda SAW adalah golongan yang sangat hebat imannya, sehinggakan ketika sakit yang teruk menimpa dirinya, dia meminta kepada Allah agar terus membiarkan dirinya berada dalam ujian atau musibah, kerana dia yakin bahawa setiap ujian itu adalah kifarah bagi dosanya yang lalu, maka dia ingin terus sakit supaya dosanya diampun oleh Allah SWT. Golongan ini juga yakin bahawa setiap ujian yang menimpa dirinya, tidak lain dan tidak bukan, Allah akan mengangkat darjat dan memberi rahmat sekiranya dia bersabar dengan ujian tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa hadirnya dugaan dalam diri kita bukanlah kerana Allah ingin menzalimi kita, bahkan dosa kita diampun dan diangkat darjat kita di sisi Allah SWT. Subhanallah, begitu hebat golongan ini kerana hatinya tidak berpaut pada kesenangan dunia, tetapi keredhaan Allah yang dicarinya. Bagaimana pula dengan kita?

Mujahid dan mujahidah yang dirahmati,
Jelaslah di sini bahawa tidak semua muslim itu adalah mukmin, tetapi insyaAllah, semua mukmin itu adalah muslim. Semoga perkongsian yang tidak seberapa ini menjadi peringatan untuk kita khususnya buat diri ana yang masih lagi mencari-cari sinar keimanan. Ana mendoakan agar kita semua tergolong dalam golongan di atas. Pesan tuan guru ana,
“jangan kita menjadi itik yang lemas di kala air berada di sekelilingnya”
Fikir-fikirkan.
Siiru ‘ala barakatillah, wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment