Semoga dengan kedatangan Tahun Baru Islam 1431H ini dapat memberikan sebanyak mungkin kekuatan dan keazaman kita untuk terus berada di landasan yang betul dan diredhai olehNya. Semoga kebersamaan redha dan rahmatNya sentiasa mengiringi dalam setiap langkah yang dilakukan. Kullu 'am wa antum bi khair.
18 December 2009
Salam Ma'al Hijrah 1431
Semoga dengan kedatangan Tahun Baru Islam 1431H ini dapat memberikan sebanyak mungkin kekuatan dan keazaman kita untuk terus berada di landasan yang betul dan diredhai olehNya. Semoga kebersamaan redha dan rahmatNya sentiasa mengiringi dalam setiap langkah yang dilakukan. Kullu 'am wa antum bi khair.
08 December 2009
Kenapa Islam, Tidak Bangsa
Islam agama yang adil dan sejahtera
06 December 2009
Luqmanul Hakim : Model tarbiyyah Islam yang unggul
- Hendaklah engkau selalu berada di majlis para ulama' dan dengarlah kata-kata para hukama (orang yang bijaksana), kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat sepertimana menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat.
- Janganlah engkau jadi lebih lemah daripada seekor ayam jantan, ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan engkau pada ketika itu masih terbaring di atas katilmu.
- Janganlah engkau menangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu akan datang tiba-tiba.
- Dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak orang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya.
- Pukulan bapa ke atas anaknya bagaikan air menyirami tanaman.
- Tiga orang yang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan. Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah, orang yang berani melainkan ketika berperang dan saudara maramu melainkan ketika engkau berhajat dan memerlukan pertolongan daripadanya.
- Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan seluruh umurmu lebih sedikit daripada itu. Manakala umurmu yang masih berbakti lagi amat sedikit daripada yang lebih sedikit tadi.
Solat yang dikehendaki oleh Islam bukanlah sekadar berkata-kata yang diucapkan oleh lidah dan pergerakan badan.
01 December 2009
Kenali Diri
24 November 2009
Fikirkan
~ Az-Zumar, 9~
p/s : jom sempurnakan akal dan minda menjadi generasi ulul albab..
Jom warga PA... luaskan minda, langkaui pemikiran lapuk, merubah menanti disuap, menerobos kejahilan.. ayuh, timbulkan cahaya kebenaran!
jom kuasai ilmu berdasarkan AQ dan AS..kuasai revealed knowledge dan acquired knowledge...
bersama...
bersama...
bersama kuasainya :)
09 November 2009
Semoga Berjaya
SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER
dan
SELAMAT MENJAWAB DENGAN JAYANYA
insyaAllah..berkat doa dan usaha yang telah kalian laksanakan, kejayaan pasti akan hadir bersama
Usaha dan Tawakkal kepadaNya, pasti ia tidak akan sia-sia
اللهم اجعلنا من الناجحين والفائزين والباهرين في كل امتحاننا وفي الدنيا والآخرة
27 October 2009
IMPI 2009/2010
Bermula pada jam 8.30 malam, majlis ini dihadiri oleh ahli IMPI yang berjumlah 72 orang kesemuanya serta beberapa orang pensyarah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM) IPG Kampus Perlis ini. Disebabkan ketiadaan Tuan Pengarah, Tuan Timbalan Pengarah dan juga Ketua Jabatan JAPIM yang mempunyai tugas di luar, maka majlis ini telah dirasmikan oleh Ustaz Mahamad bin Abdullah, pensyarah JAPIM. Walaupun dengan ketiadaan tetamu-tetamu penting ini, perjalanan majlis ini tetap meriah dan berjalan lancar.
Pengisian sepanjang majlis pelancaran adalah seperti ucapan pengerusi IMPI, ucapan Ustaz Mahamad selaku perasmi majlis, tayangan montaj berkaitan IMPI dan juga gimik perasmian. Tahniah diucapkan kepada seluruh tenaga kerja yang bertungkus lumus menjayakan majlis ini.
Selesai majlis pelancaran, diadakan pula Mesyuarat Agung Tahunan untuk kali pertamanya. Mesyuarat ini diadakan dengan meletakkan beberapa agenda di dalamnya. Antaranya adalah seperti pembentangan minit mesyuarat agung penubuhan IMPI, pembentangan laporan tahunan IMPI 2009, laporan kewangan IMPI 2009, pelantikan ahli Majlis Tertinggi IMPI untuk sesi 2009/2010 serta membahaskan usul. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar dan baik tanpa ada sebarang masalah yang timbul.
Tahniah dan jutaan penghargaan serta terima kasih kepada ahli Majlis Tertinggi yang lama, yang secara keseluruhannya telah berjaya menjalankan tugas sepanjang tempoh ini (Januari - September 2009). Berikut merupakan barisan kepimpinan baru IMPI untuk sesi 2009/2010 (Majlis Tertinggi) :
- Akh Abdul Rahman bin Ismail - Pengerusi IMPI
- Akh Mohd Wafiy bin Rosli - Naib Pengerusi IMPI
- Ukht Mawaddah binti Saaidin Khadri - Naib Pengerusi II IMPI
- Akh Mohd Fikri bin Marzuki - Setiausaha IMPI
- Ukht Nurulain binti Mohd Snin - Naib Setiausaha IMPI
- Ukht Nur Sazrina binti Saimi - Bendahari IMPI
Usul yang telah dibahas serta diluluskan adalah berkenaan dengan logo rasmi IMPI :
Kepada kepimpinan baru yang telah dilantik, semoga anda mampu meneruskan lagi agenda-agenda lain yang mampu membawa IMPI ke satu tahap lain yang mampu untuk dibanggakan oleh setiap ahlinya. Apa yang penting juga adalah, segala yang dirancang dan akan dilakukan mampu untuk memetik keredhaannya kepada kita semua. Siraman mardhatillah inilah yang sebenarnya di"IMPI"kan oleh semua. Dengan pengharapan yang menggunung tinggi, jalankanlah tugas dan amanah ini dengan penuh keikhlasan serta penuh tanggungjawab. Semoga IMPI mampu untuk terus berjuang dalam menegakkan syiar Islam di bumi ini.
Tahniah
Alhamdulillah, segala puji-pujian dan lafaz kesyukuran dipanjatkan kepadaNya kerana dengan kehendakNya jugalah, nikmat ini diperolehi. Jutaan tahniah kepada semua calon pilihanraya MPP 2009/2010 yang mewakili Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) kerana telah berjaya melangkah maju ke hadapan dengan satu langkah yang begitu bergaya dan mantap. Ini kerana kesemua wakil yang dihantar oleh IMPI telah memperoleh kemenangan pada pilihanraya tersebut. Dengan itu, IMPI kini mempunyai seramai lapan orang wakilnya yang akan memenuhi barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar untuk sesi 2009/2010 nanti.
Diharapkan agar semua yang telah terpilih mampu untuk menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan sebaik mungkin. Jadikanlah al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan dan rujukan utama dalam memantapkan lagi kepimpinan MPP ini demi untuk melahirkan syiar Islam yang lebih gemilang dan menyinar di bumi murabbi ini. Dengan adanya kalian semua diharapkan juga mampu untuk mengubah senario dan suasana institut ini kepada yang lebih diredhaiNya. Sekali lagi ucapan tahniah ditujukan kepada :
- Akh Abdul Muhaimin bin Abdul Hamid - PISMP PA (A)
- Akh Fatahal Hazmy bin Abdul Hamid - PISMP PA (B)
- Ukht Norsalwani binti Ramli - PISMP PA (A)
- Ukht Munirah binti Mohamed Abdul Halim - PISMP PA (B)
- Akh Mohd Izzat bin Mohd Nasiq - PPISMP PA (A)
- Akh Muhammad Zaki bin Md Rosnan - PPISMP PA (B)
- Ukht Amalina Syahirah binti Mat Zin - PPISMP PA (A)
- Ukht Noraina Mardiyyah binti Zaidan - PPISMP PA (B)
15 October 2009
KE ARAH KEPIMPINAN MURABBI
17 September 2009
Selamat Pulang Ke Kampung Halaman dan Salam 'Eid al Fitr
Apa yang diharapkan agar ibadah Ramadhan kali ini bukanlah yang terakhir kalinya, juga diharapkan agar ia menjadi satu ibadah yang paling cemerlang yang pernah dilakukan oleh kita semua. Keluarnya kita dari Jaami'ah Ramadhan memberi maksud bahawa kita telah menamatkan pengajian di sana. Kita hanya menunggu keputusannya sama ada sekadar lulus, ijazah first class atau pun juga sebaliknya. Ianya hanya akan diketahui ketika kita melalui 11 bulan akan datang.
Di kesempatan ini, pihak IMPI Perlis ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan kepada semua ahli agar dipermudahkan segala urusan yang diredhaiNya. Selamat pulang ke kampung halaman masing-masing untuk bertemu dengan sanak dan saudara bagi meraikan kemenangan berjaya kembali kepada fitrah sebenar kejadian insan itu sendiri. IMPI Perlis juga menasihatkan agar sentiasa berhati-hati dalam apa jua tindakan dan perlakuan kita termasuklah juga semasa memandu agar kepulangan kita tidak ditangisi sebaliknya menjadi memori indah buat semua. Salam 'Eid al-Fitr buat semua ahli IMPI dah juga muslimin muslimat amnya. Pihak IMPI menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf sama ada zahir dan batin andai pernah menyakiti hati, menginggung perasaan mana-mana individu atau pihak lain sepanjang kita bertemu dan bersua muka.
Semoga 'Eid al-Fitr kali ini menjadi langkah pertama kita ke arah mengubah perjalanan hidup yang lebih baik dalam masa sebelas bulan akan datang. Salam Lebaran untuk semua, minal 'aaidin wal faaizin. Moga kembali ke fitrah insani.
11 September 2009
Selamat Berjuang
Tajuk di atas sesuai untuk diperkatakan terhadap semua perkara, termasuk dengan perjuangan sahabat-sahabat sekalian menghabiskan hari-hari terakhir Ramadhan ini dengan amalan-amalan yang dituntut olehNya. Kullu 'am wa antum bikhair.
Tulisan ini bukan sahaja berkaitan dengan perjuangan untuk mendapatkan Ramadhan terbaik tetapi untuk mengucapkan beribu tahniah dan semoga berjaya buat seorang ahli IMPI yang walaupun terpaksa melupakan cita-cita bergelar seorang murabbi, tetapi keputusan untuk menyambung pengajian di bumi Jordan juga merupakan perkara yang hebat dan mungkin yang terbaik untuk anda. Untuk akh Ridzuan, alfun mabruk diucapkan buat anda.
Sekali lagi kalungan tahniah buat akh Ridzuan. Semoga pengajian anda di Yarmouk University berjalan dengan baik dan sentiasa dalam rahmatNya. Harapan kami juga semoga akh terus istiqamah dalam meneruskan liku-liku kerja dakwah. Selamat berjuang dan menjadi pejuang ummah. Buat semua teman-teman yang masih berjuang di bumi IPGM ini, jika akhowan dan akhowat semua mahu terus berhubung dengan akh Ridzuan, bolehlah melawatnya di link ini. Salam perjuangan buat semua.
31 August 2009
MERDEKA???
18 August 2009
Salam SBE, Ramadhan dan Cuti
Buat semua ahli IMPI Perlis semester 4 ambilan Januari 2008, selamat menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah @ School Based Experience di sekolah pilihan masing-masing. Ada yang melaksanakannya dikampung halaman masing2, ada yang mengikuti kawan2 untuk melaksanakan lagi satu cita-cita iaitu untuk berjalan melihat alam di kawasan yang tidak pernah dijejaki. Apapun tujuan yang telah disertakan bersama tugasan PBS ini, diharapkan agar sahabat2 merangkap bakal pendidik semua tidak melupakan amanah yang telah diberikan oleh pihak Jabatan dan Institut terhadap diri masing-masing. Selain itu juga, diharapkan agar semuanya dapat dan mampu menunjukkan sikap serta budi pekerti mulia sepanjang berada di sekolah. Biarlah diri kita menjadi contoh dan model terbaru di sekolah tersebut untuk dicontohi oleh semua warganya. Perlu diingat, kita memegang satu title yang begitu mulia iaitu sebagai bakal ustaz/ah. Justeru, secara automatiknya telah terpikul satu tanggungjawab yang amat besar atas diri kita untuk memberi dan mempamer satu akhlak mulia dan terpuji sepanjang berada di sana. Semoga tugasan yang diberi mampu diselesaikan dengan jayanya. Ma'at tafuq wan najah.
Salam Ramadhan juga buat semua. Bagi kebanyakan sahabat IMPI, Ramadhan yang jatuh pada hari Sabtu, sememangnya begitu menggembirakan. Tamatnya tugasan PBS selama lima hari, di sambung pula dengan cuti sekolah selama seminggu telah memberikan kesempatan yang amat bernilai kepada semua untuk menghabiskan masa bersama keluarga termasuklah sewaktu berbuka, satu masa yang amat menggembirakan seluruh hati umat Islam. Tetapi perlu diingat, berpada-padalah sewaktu berbuka, jangan di ikutkan nafsu makan yang sentiasa membisik di hati. Jika tidak, pasti akan sukar untuk kita memulakan ibadah yang dituntut di malam harinya. Selain itu, sempena Ramadhan yang dilalui ini, diharap agar sahabat2 IMPI berlumba2 memperbanyakkan ibadah yang dituntut. Perbanyakkanlah membaca al-Quran, solat2 sunat, qiamullail, zikir dan sebagainya. Di samping ibadah sunat yang dilakukan, janganlah diabaikan apa yang wajib ke atas diri kita iaitu solat dan puasa itu sendiri. Tidak dilupakan, jagalah diri dari melakukan perkara sia2 yang hanya akan merosakkan puasa kita agar kita tidak digolongkan seperti apa yang diperkatakan Baginda sebagai mereka yang hanya menahan lapar dan dahaga tetapi tidak mendapat pahala puasa itu sendiri. Perbaikilah diri masing2, jadikan Ramadhan kali ini sebagai pemula dan perintis untuk kita menjadi lebih baik dari masa2 lepas. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan yang lepas. Kullu 'am wa antum bi khair.
Buat yang terakhirnya, cuti yang dijalani ini, penuhilah ia dengan perkara berfaedah, janganlah disebabkan ibadah puasa yang dilakukan, kita menjadi pasif dan tidak mampu melakukan kerja dan sebagainya. Semoga berjaya dalam segalanya. Hiasi peribadi dengan iman dan taqwa kepadaNya.
09 August 2009
Jalinan Ukhuwwah Lambaian Mahabbah
Assalamualaikum dan salam pendidikan.
Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Perlis telah menganjurkan program Lambaian Mahabbah yang berkonsepkan program anak angkat. Program yang bertemakan “Jalinan Ukhuwwah Lambaian Mahabbah” ini telah berlangsung selama tiga hari dua malam iaitu pada 7-9 Ogos 2009 yang lalu bertempat di Kampung Setar dan Kampung Perupok, Yan, Kedah. Program ini melibatkan 15 buah keluarga dari kedua-dua kampung tersebut dan 33 orang peserta yang juga merupakan guru-guru pelatih daripada opsyen Pendidikan Islam di bawah Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan semester empat di IPGM Kampus Perlis. Majlis penyerahan anak-anak angkat kepada keluarga-keluarga angkat telah disempurnakan oleh Ustaz Abdul Mutalib bin Bashah, wakil dari Majlis Agama Islam Daerah Yan.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang proram ini berlangsung. Antaranya adalah Salam Ta’aruf, gotong royong dan memasak bersama penduduk kampung, Pendidikan Pencegahan Dadah bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan, perlawanan bola sepak dengan belia kampung, kraftangan, ceramah perdana di ambang Ramadhan, qiamullail, pemeriksaan kesihatan, riadah, sukaneka dan senaman.
Objektif utama program ini dijalankan adalah bagi memenuhi sukatan Bina Insan Guru semester empat. selain itu, program ini juga merupakan salah satu wasilah dalam menghubungkan silaturrahim antara guru-guru pelatih dan masyarakat kampung. Daripada aspek lain, program anak angkat ini telah berjaya memberi latihan dan pengalaman kepada bakal-bakal guru dalam mengurus dan melaksanakan aktiviti yang berbentuk khidmat kemasyarakatan. Program ini juga telah berjaya menyemai mahabbah antara dua pihak di dua negeri.
Program Lambaian Mahabbah ini mendapat kerjasama yang baik daripada pelbagai pihak dan agensi. Antaranya adalah Jawatankuasa Masjid mukim Kampung Setar, Agensi Anti Dadah Kebangsaan cawangan Yan, Majlis Daerah Yan, Majlis Agama Islam Daerah Yan, Pejabat Tanah dan Daerah Yan serta Pejabat Kesihatan Daerah Yan. Kerjasama dan bantuan yang dihulurkan oleh semua pihak termasuk penduduk kampung membolehkan setiap aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sempurna. Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Tuan Haji Md Rusli bin A. Rashid, Pengarah IPGM Kampus Perlis.
*kenangan bersama keluarga angkat*
Diharapkan program ini menjadi pemangkin ke arah pembentukan insan guru cemerlang yang mampu memacu tanggungjawab pendidikan islam bagi mencapai impian membina ummah gemilang.