:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

09 August 2009

Jalinan Ukhuwwah Lambaian Mahabbah

Assalamualaikum dan salam pendidikan.

Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Perlis telah menganjurkan program Lambaian Mahabbah yang berkonsepkan program anak angkat. Program yang bertemakan “Jalinan Ukhuwwah Lambaian Mahabbah” ini telah berlangsung selama tiga hari dua malam iaitu pada 7-9 Ogos 2009 yang lalu bertempat di Kampung Setar dan Kampung Perupok, Yan, Kedah. Program ini melibatkan 15 buah keluarga dari kedua-dua kampung tersebut dan 33 orang peserta yang juga merupakan guru-guru pelatih daripada opsyen Pendidikan Islam di bawah Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan semester empat di IPGM Kampus Perlis. Majlis penyerahan anak-anak angkat kepada keluarga-keluarga angkat telah disempurnakan oleh Ustaz Abdul Mutalib bin Bashah, wakil dari Majlis Agama Islam Daerah Yan.


*suasana indah di kaki Gunung Jerai*

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang proram ini berlangsung. Antaranya adalah Salam Ta’aruf, gotong royong dan memasak bersama penduduk kampung, Pendidikan Pencegahan Dadah bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan, perlawanan bola sepak dengan belia kampung, kraftangan, ceramah perdana di ambang Ramadhan, qiamullail, pemeriksaan kesihatan, riadah, sukaneka dan senaman.


*pemeriksaan kesihatan percuma*

Objektif utama program ini dijalankan adalah bagi memenuhi sukatan Bina Insan Guru semester empat. selain itu, program ini juga merupakan salah satu wasilah dalam menghubungkan silaturrahim antara guru-guru pelatih dan masyarakat kampung. Daripada aspek lain, program anak angkat ini telah berjaya memberi latihan dan pengalaman kepada bakal-bakal guru dalam mengurus dan melaksanakan aktiviti yang berbentuk khidmat kemasyarakatan. Program ini juga telah berjaya menyemai mahabbah antara dua pihak di dua negeri.


*riang-ria selepas sukaneka*

Program Lambaian Mahabbah ini mendapat kerjasama yang baik daripada pelbagai pihak dan agensi. Antaranya adalah Jawatankuasa Masjid mukim Kampung Setar, Agensi Anti Dadah Kebangsaan cawangan Yan, Majlis Daerah Yan, Majlis Agama Islam Daerah Yan, Pejabat Tanah dan Daerah Yan serta Pejabat Kesihatan Daerah Yan. Kerjasama dan bantuan yang dihulurkan oleh semua pihak termasuk penduduk kampung membolehkan setiap aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sempurna. Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Tuan Haji Md Rusli bin A. Rashid, Pengarah IPGM Kampus Perlis.

*kenangan bersama keluarga angkat*

Diharapkan program ini menjadi pemangkin ke arah pembentukan insan guru cemerlang yang mampu memacu tanggungjawab pendidikan islam bagi mencapai impian membina ummah gemilang.


No comments:

Post a Comment