:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

27 October 2009

IMPI 2009/2010

Bertempat di Dewan Pulai 2, IPG Kampus Perlis, telah diadakan satu majlis pelancaran dan Mesyuarat Agung Tahunan kali - 1 Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam. Majlis yang diadakan buat julung kalinya ini adalah bertujuan untuk melancarkan IMPI sebagai sebuah persatuan pelajar secara rasmi di IPG Kampus Perlis ini serta mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan bagi memilih kepimpinan baru IMPI untuk sesi 2009/2010.



Ahli IMPI yang menghadiri majlis pelancaran dan Mesyuarat Agung Tahunan

Bermula pada jam 8.30 malam, majlis ini dihadiri oleh ahli IMPI yang berjumlah 72 orang kesemuanya serta beberapa orang pensyarah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM) IPG Kampus Perlis ini. Disebabkan ketiadaan Tuan Pengarah, Tuan Timbalan Pengarah dan juga Ketua Jabatan JAPIM yang mempunyai tugas di luar, maka majlis ini telah dirasmikan oleh Ustaz Mahamad bin Abdullah, pensyarah JAPIM. Walaupun dengan ketiadaan tetamu-tetamu penting ini, perjalanan majlis ini tetap meriah dan berjalan lancar.


Ucapan perasmian oleh Ustaz Mahamad Abdullah

Pengisian sepanjang majlis pelancaran adalah seperti ucapan pengerusi IMPI, ucapan Ustaz Mahamad selaku perasmi majlis, tayangan montaj berkaitan IMPI dan juga gimik perasmian. Tahniah diucapkan kepada seluruh tenaga kerja yang bertungkus lumus menjayakan majlis ini.


Patung berpakaian baju kebangsaan sebagai gimik perasmian

Selesai majlis pelancaran, diadakan pula Mesyuarat Agung Tahunan untuk kali pertamanya. Mesyuarat ini diadakan dengan meletakkan beberapa agenda di dalamnya. Antaranya adalah seperti pembentangan minit mesyuarat agung penubuhan IMPI, pembentangan laporan tahunan IMPI 2009, laporan kewangan IMPI 2009, pelantikan ahli Majlis Tertinggi IMPI untuk sesi 2009/2010 serta membahas
kan usul. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar dan baik tanpa ada sebarang masalah yang timbul.

Tahniah dan jutaan penghargaan serta terima kasih kepada ahli Majlis Tertinggi yang lama, yang secara keseluruhannya telah berjaya menjalankan tugas sepanjang tempoh ini (Januari - September 2009).
Berikut merupakan barisan kepimpinan baru IMPI untuk sesi 2009/2010 (Majlis Tertinggi) :

  • Akh Abdul Rahman bin Ismail - Pengerusi IMPI
  • Akh Mohd Wafiy bin Rosli - Naib Pengerusi IMPI
  • Ukht Mawaddah binti Saaidin Khadri - Naib Pengerusi II IMPI
  • Akh Mohd Fikri bin Marzuki - Setiausaha IMPI
  • Ukht Nurulain binti Mohd Snin - Naib Setiausaha IMPI
  • Ukht Nur Sazrina binti Saimi - Bendahari IMPI
Barisan kepimpinan IMPI 2009/2010

Usul yang telah dibahas serta diluluskan adalah berkenaan dengan logo rasmi IMPI :


Logo ini merupakan satu manifestasi yang terkandung di dalamnya harapan dan impian para pendokong IMPI. Warna asas logo ini terdiri daripada warna biru, kuning, hijau dan merah.

Warna :
Biru dan Kuning : Melambangkan tempat menimba ilmu untuk semua siswa siswi Pengajian Agama Islam iaitu di negeri Perlis
Hijau : Ketenangan dan keikhlasan semua ahli dalam menjalankan setiap tugasan dan kerja-kerja IMPI yang ingin ditonjolkan kepada semua pihak yang terlibat dengan IMPI
Merah : Keberanian dan imej ketokohan setiap ahli dalam menonjolkan nilai-nilai serta etika yang mulia dan selari dengan tuntutan Islam

Lingkaran Selirat Biru :
Menunjukkan bahawa setiap perkara mempunyai kesulitan. Justeru segala kerja dan tugas setiap ahli yang susah dan penuh dengan cabaran perlu ditangani dengan profesional dan penuh sabar.
Empat Bucu Besar :
Bucu Atas : Allah yang tertinggi. Tujuan utama dalam setiap apa jua pekerjaan yang dilakukan semata-mata menuju mardhatillah
Bucu Kanan, Kiri dan Bawah : Melambangkan asas utama dalam membentuk sahsiah kecemerlangan setiap ahli iaitu Islam, Iman dan Ihsan

Iqra’ :
Perkataan Iqra’ membawa maksud bahawa tanggungjawab kami adalah mendidik dan mentarbiyyah anak bangsa. Kedudukannya yang berada di tengah logo adalah bersesuaian dengan peranan Iqra’ itu sendiri yang merupakan kunci kepada kejayaan


Kepada kepimpinan baru yang telah dilantik, semoga anda mampu meneruskan lagi agenda-agenda lain yang mampu membawa IMPI ke satu tahap lain yang mampu untuk dibanggakan oleh setiap ahlinya. Apa yang penting juga adalah, segala yang dirancang dan akan dilakukan mampu untuk memetik keredhaannya kepada kita semua. Siraman mardhatillah inilah yang sebenarnya di"IMPI"kan oleh semua. Dengan pengharapan yang menggunung tinggi, jalankanlah tugas dan amanah ini dengan penuh keikhlasan serta penuh tanggungjawab. Semoga IMPI mampu untuk terus berjuang dalam menegakkan syiar Islam di bumi ini.




No comments:

Post a Comment