Membaca liputan yang dipaparkan dalam sebuah akhbar perdana Ahad lepas (17 Oktober 2010) membuat hati rasa cemas, gusar, bimbang dan resah tak terkata. Ayat-ayat yang berbunyi ‘remaja licik lindungi kegiatan’, ‘kerana nafsu dan wang tunai, akhirnya saya merelakan diri dinodai. Saya aktif melakukan kegiatan ini meskipun masih belajar’ menggambarkan betapa hancurnya nilai akhlak dalam kalangan remaja, anak-anak kita, pewaris masa depan umat dan negara. Akhbar itu melaporkan pengakuan seorang remaja yang diberi nama Syafika, “Sejak berjinak-jinak dengan kegiatan berkenaan, saya mula berasa kemewahan. Dengan merahsiakan segala kegiatan ini daripada pengetahuan keluarga, saya semakin aktif melayan lelaki yang dahagakan seks menerusi laman sosial. Kini, saya mengenakan bayaran RM80 kepada sesiapa yang menghubungi saya di laman sosial terbabit. Setidak-tidaknya, saya dapat mengumpul wang tambahan sebanyak RM500 sebulan.” Menurut Syafika, setakat ini aktiviti nakalnya masih belum diketahui ibu bapanya kerana dia bijak menyembunyikan kegiatan berkenaan.
Terduduk saya membaca pengakuan itu. Siapakah Syafika itu? Anak kita? Jiran kita? Saudara kita? Ya, dia adalah anggota masyarakat kita yang mungkin satu hari nanti akan menjadi guru kepada anak-anak kita atau menantu kita! Dan siapakah pula lelaki yang dahagakan seks yang menjadi pelanggan kepadanya? Pastinya dia adalah seorang ayah atau suami atau anak lelaki kepada salah seorang daripada ahli masyarakat kita! Lantas, di mana lagi kesucian? Di mana lagi kejujuran? Di mana amanah kalau anak-anak gadis begitu ‘bijak’ menipu ibu bapa. Ayah, suami, anak lelaki apatah lagi? Anak gadis menipu ibu bapa di dalam rumah sebagaimana dinyatakan oleh Syafika bahawa dia online di rumah saja kerana ibu dan ayahnya tidak menghalangnya menggunakan internet lebih-lebih lagi atas alasan menyiapkan tugasan universiti! Ayah, suami, anak lelaki di luar rumah itu, apakah tidak mungkin mereka menipu anak-anak, menipu isteri dan menipu ibu bapa? Belum terpanggil lagikah pihak berwajib dalam negara kita untuk melihat dan menangani isu ini dengan bersungguh-sungguh? Sampai bila gejala mungkar ini hendak dibiarkan? Allah taala telah mengingatkan kita bahawa zina adalah kejahatan yang amat keji dan seburuk-buruk jalan.
Firman-Nya bermaksud:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
(Al-Isra’ 17:32)
Ketika mentafsir ayat ini, Ibn Katsir membawa satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abi ad-Dunia bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tiada dosa selepas syirik lebih besar di sisi Allah selain daripada setitis mani yang diletakkan oleh seorang lelaki di dalam rahim yang tidak halal baginya.”
Menurut Sayyid Qutub, larangan berzina (ayat 32) terletak di tengah-tengah antara larangan membunuh anak (ayat 31) dan larangan membunuh sesama manusia (ayat 33) kerana semua itu mempunyai kaitan yang sangat rapat. Katanya, zina adalah suatu pembunuhan dari pelbagai sudut. Sudut pertama, zina itu membunuh kerana membuang mani yang merupakan unsur kehidupan bukan pada tempatnya yang sebenar. Sudut kedua, perbuatan itu biasanya akan diikuti pula dengan usaha membebaskan diri daripada ikatan tanggungjawab dengan cara membunuh janin sama ada setelah sempurna kejadian atau sebelum sempurna kejadiannya, sama ada setelah ia dilahirkan atau sebelum dilahirkan. Sudat ketiga, sekiranya anak itu dibiarkan hidup, biasanya dia hidup dalam keadaan terbuang, terhina dan tersisih. Hidup dalam keadaan yang tidak berguna kepada masyarakat. Ini membawa kepada pembunuhan dari sudut yang lain pula. Sudut keempat, ekoran daripada apa yang dinyatakan pada sudut ketiga, zina membunuh masyarakat itu sendiri kerana apabila merebaknya zina maka keturunan dan hubungan darah akan bercampur aduk. Maruah disangsi dan anak-anak diragui. Hubungan kemasyarakatan menjadi bobrok. Ikatannya mula berkecai dan akhirnya mengakibatkan masyarakat itu menjadi lumpuh bagai makhluk tidak bernyawa. Sudut kelima, zina menjadi pembunuh masyarakat kerana apabila nafsu dapat dipenuhi dengan cara yang mudah, perkahwinan tidak diperlukan lagi, keluarga dianggap sebagai bebanan yang tidak ada faedahnya untuk ditanggungi. Walhal keluarga adalah satu-satunya tempat lahir dan membesar dengan sihat dan selamat bagi anak-anak baru lahir. Tiada tempat yang boleh menggantikan peranan keluarga dengan sebaik-baiknya. (Fi Dzilal al-Quran, jilid 4, halaman 2224)
Justeru, tidak ada waktu lagi untuk bertangguh. Bukan masanya untuk menuding jari dan saling menuduh. Seluruh umat mesti segera mencari jalan keluar. Selamatkan dunia daripada malapetaka yang besar ini. Ambil al-Quran sebagai panduan, sunnah Rasul menjadi ikutan.
Dengari pesanan Allah dalam kitab suci-Nya yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
(At-Tahrim 66:6)
Nabi sallallahu alaihi wasallam berpesan (maksudnya): “Ajarlah anak-anak kamu dan ahli keluarga kamu kebaikan, dan didiklah mereka dengan akhlak yang mulia.” (Riwayat Abdul Razzaq dan Sa’eid bin Mansur)
Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
No comments:
Post a Comment