:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

01 November 2010

SALAM IMTIHAN

Assalamualaikum dan salam pendidikan, 




Musim peperiksaan berkunjung lagi menyapa yang terjaga menantinya, juga yang terlena terleka dibuai angin musim dingin ini. Semoga kita semua dirahmati Allah dan dipermudahkanNya menghadapinya dengan penuh persediaan, penuh pergantungan kepada Allah, Tuhan penentu segala urusan. 




Bagi mereka yang menginginkan kecemerlangan sanggup mengekang mata di waktu malam mengulang kaji pelajaran sedangkan orang lain tidur lena. Berpenat lelah demi meraih apa yang dicita-citakan kerana mengingatkan pesan Baginda ar-Rasul dalam sabdanya: 



إن الله يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه 
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyukai apabila seseorang itu beramal ia menekuni amalannya itu.” 

Walau bagaimanapun, Pengharapan kita kepada Allah menuntut kita menabur usaha sedaya mungkin beserta tawakkal sepenuhnya hanya kepadaNya. Firman Allah: 

وَإِلَى رَبِّكََ فَارْغَبَْ 
Maksudnya: “Dan kepada Tuhanmu maka kau letakkan pengharapan.”  (al-Insyirah: 8) 

Dengan itu, semoga insyaAllah kita harapkan pergantungan kita kepada yang Maha Penentu tidak pernah putus kerana “Dialah yang kita sembah dan kita pohon segala sesuatu” seperti firmanNya dalam surah al-Fatihah yang kita gemakan setiap hari di hadapanNya. Penyerahan kita kepada Allah adalah meyakini Dialah sebaik-baik yang merancang dan ketetapanNya pasti yang terbaik untuk diri kita. 


Firman Allah: 



وَخَلَقََ كُلََّ شَيْ ءَ فَقَدَّرَهُ تَقْدِيرًا 

Maksudnya: "dan Dia telah menciptakan segala sesuatu dan menentukannya dengan ketentuan yang sempurna.”  (Al-Furqan: 2) 


Ibnu ‘Ataillah pernah berpesan: 



سوابق الهمم لا تخرق اسوار الاقدار 
Maksudnya: “Himmah yang menggebu tidak dapat menerobos takdir (yang telah ditentukanNya)” 

Beliau mengingatkan supaya menanam iman yang tinggi dan bermujahadah berterusan, bukan sebaliknya dilamun angan-angan yang menipu dan mengundang bisikan syaitan yang melekakan. 


Menjadi cita-cita setiap daripada kita untuk beroleh yang terbaik dalam mendaki menara gading, berjaya memperoleh segulung ijazah yang membanggakan ibubapa yang tersayang. Tiada siapa yang mahu gagal, tiada siapa yang mahu terkandas. Itulah harapan agung setiap daripada kita. 




Namun begitu, pastinya apa yang akan berlaku adalah tertakluk kepada iradah Ilahi mengatasi segalanya. Dialah yang telah menetapkan perancangan sejak azali lagi. Maka sewajarnya kita membulatkan keimanan kita kepada apa jua ketetapanNya. Boleh jadi indah, boleh jadi menghampakan, tetapi segalanya pasti terbaik untuk diri kita. Apa yang lebih penting adalah berusaha sebaik mungkin dan berserah, kemudiannya bersyukur dan bersabar atas ketentuanNya. 




Sekali lagi Ibnu 'Ataillah meninggalkan pesan: 



يكفى من الجزاء لك على العمل ان كان له قابلا 
Maksudnya: “Cukuplah untuk anda sebagai balasan Allah atas amalan itu, jika Allah menerimanya” 

Sesungguhnya kita tidak akan disoal mengenai iradah Allah, tetapi hanya amalan dan usaha kita yang akan berada di atas timbangan nanti. Kita juga sentiasa berdoa kepadaNya agar dianugerahkan kejayaan di dunia dan terutamanya di akhirat. 


Berhati-hati dengan sang nafsu memperdaya kita untuk berlengah dan mengabaikan tanggung jawab berusaha. Niat yang ikhlas tidak akan membunuh akal untuk berfikir dan tubuh untuk berusaha. Sedangkan angan-anganlah yang membuat kita bermalasan. Tanggungjawab kita bukan sekadar beroleh segulung ijazah, tetapi sebagai agen pembangun ummah. Ijazah sekadar alat, bukan matlamat. 


Sedarilah posisi kamu, dan beramallah berdasarkannya. Ketahuilah keutamaan dalam keadaan-keadaan tertentu.



Ingatlah, perjalanan kita masih jauh destinasinya. Langkah hari ini adalah permulaan, berbekallah dengan sebaik mungkin. Semoga kita menjadi modal kejayaan ummah apabila kita beroleh kecemerlangan. 

“Andainya generasi hari ini merupakan modal bekalan kepada tuan, maka generasi akan datang adalah merupakan hasil semaian tuan” 
                                                                                      (Imam As-Syahid Hasan Al-Banna) 



Selamat menghadapi musim peperiksaan. Bitaufiq wan Najah. 







*Diolah daripada Bicara MSM Edisi Safar 1431H



No comments:

Post a Comment