:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

24 October 2010

Warkah Buat Pimpinan

Assalamualaikum dan salam pendidikan,

Tahniah diucapkan buat saf kepimpinan IMPI sesi 2010/2011 yang telah terpilih baru-baru ini. Sebagai ahli, kami meletakkan harapan yang tinggi terhadap kewibawaan anda. Pemilihan anda merupakan satu kepercayaan yang tinggi terhadap keupayaan anda, di samping satu ujian besar daripada Allah yang akan menghitungkannya pada hari kiamat kelak.


Saudara, ingatlah bersama kepercayaan itu terletaknya tanggungjawab yang berat. Diibaratkan seperti mengangkat kedua-dua tangan ke udara, walaupun tidak dapat dipandang oleh mata akan bebannya, namun beratnya tetap terasa. Begitu juga dalam menjalankan amanah memimpin IMPI. Seseorang pemimpin yang baik seharusnya memahami realiti semasa dan setempat dalam organisasi yang dipimpinnya. Selaras dengan Islam yang bersifat waaqi’iyah, pemimpin hendaklah sentiasa segar dalam mendepani isu-isu semasa. Dalam konteks IMPI, telah jelas bahawa matlamat penubuhannya adalah khusus terarah kepada para mahasiswa Pendidikan Islam di IPG yang kita cintai ini. Oleh itu, seharusnya segala gerak kerja, tindakan serta pemikiran dilandaskan kepada skop tersebut. Sangat tidak sesuai sekiranya IMPI digerakkan tanpa memerhati realiti tersebut. Uniknya IMPI kerana dikhususkan kepada bakal ustaz dan ustazah, indahnya IMPI kerana diasaskan di IPG ini, maka seharusnya IMPI mengelakkan daripada terikut-ikut dengan anasir-anasir yang bukan berasaskan daripada konteks setempat tersebut. Sebagaimana rahsia kegemilangan Khilafah Bani Abbasiyah dahulu, kaedah dan ilmu pengetahuan boleh diambil daripada segenap sumber yang ada, tetapi haruslah ditapis dan diasimilasikan terlebih dahulu bersesuaian dengan realiti semasa IMPI.

Saudara, tuntutan semasa dalam IMPI ketika ini ialah perpaduan dalam kalangan ahli. Penambahan ahli membawa kepada kepelbagaian dalam pelbagai aspek kehidupan berjemaah. Perlu diingat bahawa keberkesanan dalam Islam bukan pada kuantiti ahli tetapi pada ramainya ahli yang berkualiti. Bandingkan antara medan Badar dan Hunain, belajarlah daripada keduanya. Latar belakang yang pelbagai serta aliran pemikiran yang berbeza merupakan cabaran yang tidak harus dipandang enteng. Sejarah IMPI yang terlalu singkat ini pernah dilukai dan ditoreh dengannya. Sekiranya dibiarkan, luka yang tercalar akan semakin bernanah dan membarah. Oleh itu, kepelbagaian dan perbezaan ini menuntut kepada perlunya satu proses penyatuan yang berkesan, bertitik tolak daripada sudut hati yang ikhlas mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. semata-mata. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa perbezaan itu masih lagi dalam konteks kerangka seorang muslim, yang perlu dipenuhi hak-haknya, disantuni hati nuraninya, malah dihormati pendiriannya walaupun masing-masing berlainan pendapat, berjauhan antara pemikiran dan gerak kerja malah berbeza baik buruk akhlaknya. Kita menyeru bukan untuk menghukum sesiapa. Setiap lubang permusuhan hendaklah dilindungi. Segala bisikan musuh hendaklah dijauhi. Pasti ditemui titik pertemuan dalam perbezaan. Semoga ikatan persaudaraan sesama muslim itu kekal utuh selamanya.

Saudara, pengalaman IMPI menuntut supaya proses pembentukan individu adalah melalui interaksi hati ke hati. Catatan sirah yang panjang membuktikan bahawa hanya dengan kefahaman Islam yang jitu daripada hati yang tulus murni sahaja mampu memberi kesan yang besar kepada keagungan Islam. Mungkin hasilnya tidak dapat dilihat dalam tempoh yang singkat, namun kesannya akan berkekalan selamanya, insyaAllah. Pembentukan melalui cara yang kurang tepat akan membawa hasil yang jauh tersasar malah lebih teruk lagi sekiranya langsung tidak mendatangkan hasil. Dalam memimpin, seharusnya anda bijak memahami dan mempertimbangkan antara syiar dan syariat; antara yang baik dengan yang lebih baik serta antara kesan jangka pendek atau jangka panjang. Kadang kala, mungkin terpaksa mengorbankan satu syiar demi menyelamatkan satu syariat yang lebih utama. Ketahuilah juga bahawa bukan semua kebaikan itu sesuai untuk dilaksanakan. Misalnya, membaca al-Quran yang dituntut itu juga boleh membawa kepada dosa sekiranya bacaan itu mengganggu solat orang lain. Maka, perlulah difahami tentang keutamaan antara kedua-duanya. Dalam membuat pilihan, renungilah daripada petunjuk-petunjuk wahyu, bukan desakan-desakan nafsu. Berpeganglah kepada sumber-sumber yang sahih daripada al-Quran dan as-Sunnah serta penjelasan-penjelasan yang disepakati daripada keduanya. Semoga dilindungi daripada jalan yang sesat lagi dimurkai.

Saudara, dalam menguruskan IMPI, ketahuilah bahawa terdapat keistimewaan tersendiri padanya. IMPI telah didasari dengan perlembagaan dan undang-undang yang cukup utuh. Walaupun hanyalah hasil tangan-tangan manusia yang tidak terlepas daripada kesilapan, namun sedarilah bahawa segalanya dibina demi matlamat yang satu. Saidina Ali Karamallahuwajhah pernah meriwayatkan bahawa kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun. Atas kesedaran itu, IMPI mengorak langkah dalam penyusunan organisasi. Kaedah pengurusan yang lebih sistematik diperkenalkan berasaskan profesionalisme keguruan. Setiap gerak kerja cuba dirancang rapi. Tidak dinafikan adanya banyak kelemahan, namun di setiap titik kelemahan itu akan dinyalakan sumbu kekuatannya. Setiap perlantikan dan pengagihan tugas serta tanggungjawab hendaklah berdasarkan kelayakan dan kemampuan. Bukan semua yang layak itu mampu, begitu juga sebaliknya. Kelemahan dan kecemerlangan kita sentiasa dipandang. Segala yang baik mudah diterima orang, yang buruk pula sedia untuk dicanang. Semoga segalanya dipermudahkan demi kelangsungan tarbiyah Islam dalam mendepani fitnah yang mendatang.

Saudara, roda kehidupan sentiasa berputar. Padanya teruji kematangan makhluk bernama manusia. Anda masih muda remaja, semangat dan kudrat anda masih bertenaga. Namun, jangan dilupa pada yang lama. Sepantas mana anda berlari dalam kehidupan, santunilah mereka yang berjalan kerana mungkin disitu tersembunyinya kematangan. Disitulah tersimpulnya kekuatan semangat orang muda dan kebijaksanaan pemikiran orang lama. Gandingan keduanya pasti mencetuskan kegemilangan jika diasaskan kepada suatu keseimbangan yang mantap dan kefahaman yang jitu, insyaAllah. Hormatilah walaupun tidak mampu untuk mematuhi. Anda peneraju masa depan IMPI dalam melayari bahtera kehidupan. Kami sisipkan doa dan titipkan bekalan yang mantap agar mampu terus bersiap siaga menempuh badai yang bakal melanda.

Akhir kalam, harapan kami agar saudara dapat melaksanakan prinsip-prinsip yang dititahkan Allah dan RasulNya. Semoga Allah memberkati IMPI kerana keadilan insan-insan yang diberikan amanah. Saudara, selamat bertugas sebagai pimpinan IMPI yang baru. Bersama saudara diiringi jutaan harapan dan doa seluruh ahli dan penyokong. Renungilah tulisan ini dengan penghayatan yang mendalam. Sekiranya dilanda kebuntuan, ketahuilah pada al-Quran itu adanya penawar dan ketenangan. Wasiat bertulis Abu Bakar as-Siddiq ketika amat uzur dan mencadangkan Umar al-Khattab sebagai penggantinya antaranya menyebut:

“Sekiranya Umar berlaku adil, maka itu sangkaan dan pengetahuanku mengenainya. Jika dia sebaliknya, maka setiap individu berdasarkan apa yang dikerjakan. Sedangkan aku inginkan kebaikan dan tidak pula aku tahu perkara yang ghaib. Nanti orang yang zalim akan mengetahui di mana kesudahan mereka”

Semoga Allah merahmati tugasan saudara-saudara, amin. Wassalam.

Ahli bawahan yang dhaif,
FATAHAL HAZMY BIN ABDUL HAMID.

1 comment: