:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

23 August 2011

PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 2011 / 1432 H



Pengerusi IMPI
Akhi Muhammad Zaki bin Md. Rosnan



Bismillahirrahmannirahim.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahil Hamd!

Assalamualaikum WBT, salam Ramadhan dan salam Aidilfitri diucapkan kepada seluruh ahli Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI).

Bersyukur kepada Allah swt yang sentiasa memberi nikmat kepada kita tanpa henti. Sehingga saat ini, kita masih diberi kesempatan untuk merasai nikmat berada dalam madrasah Ramadhan pada tahun ini. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk Ramadhan meninggalkan kita. Semoga kita sentiasa tergolong dalam kalangan hamba-hamba yang bertaqwa dan bersyukur atas segala pemberianNya. Selawat dan salam juga diucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang sanggup berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan Islam yang tercinta.

Alhamdulillah, setelah hampir sebulan kita melaksanakan jihad melawan hawa nafsu, kini, kita hampir tiba untuk menyambut hari kemenangan umat Islam, Hari Raya Aidilfitri yang mulia.

Sahabat sahabiah sekalian,

Apabila kita menyambut hari raya sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT, maka hendaklah kita menyambutnya dalam suasana yang terikat dengan syariat Allah. Allah memerintahkan kita untuk ‘litukabbirallah (mengagungkan Allah) di atas segala hidayah dan nikmatNya. Maka janganlah hari raya menjadi medan untuk kita kembali kufur kepada Allah SWT dengan melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam. Jangan ada yang melakukan perbuatan sumbang seperti pembaziran, menyimpan dendam, hasad dengki dan sebagainya. Sebaliknya, kekalkanlah ketaatan yang kita lakukan sepanjang Ramadhan ini, untuk terus mekar sepanjang hari raya dan juga hari-hari berikutnya.

Ana berharap agar daripada tarbiyah Ramadhan selama sebulan ini, ia dapat membangkitkan semula kesedaran kita untuk mengangkat martabat Islam ke tempat yang setinggi-tingginya. Sebagai mana Ramadhan telah memerdekakan umat Islam daripada penyembahan sesama makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah, maka ia sepatutnya telah menyedarkan kita untuk kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Setelah kita berpuasa semata-mata kerana Allah, maka marilah kita berjihad kerana Allah untuk melaksanakan perintah-perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.
Akhir kalam, ana mohon maaf atas segala kekurangan yang ada dalam penulisan kali ini dan dengan perlakuan ana selama ini. Semoga tarbiah Ramadhan yang kita telah tempuhi pada kali ini dapat memberi kesan positif dalam diri untuk menempuh 11 bulan yang akan datang. 
Ana berdoa supaya kita semua selamat daripada sebarang kecelakaan pada hari raya ini dan dapat kita bersama-sama merapatkan ukhuwah dan silaturrahim melalui amalan ziarah, bermaafan-maafan, balik kampung dan sebagainya. Berhati-hatilah di jalan raya dan pulanglah ke kampung halaman masing-masing dengan selamat.
Waallahua’lam, assalamualaikum WBT.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan batin.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahil Hamd!

p/s: Jangan lupa puasa sunat enam hari!

19 August 2011

Usrah Umum


Bersempena bulan Ramadhan Kareem kali ini, satu usrah umum telah diadakan pada hari ini ,Jumaat,19/8/2011 bersamaan dengan 19 Ramadhan 1432 hijrah. Pengisian usrah ini disampaikan oleh salah seorang tenaga pengajar di sini iaitu Dr.Mohd. Rosdi bin Mahamud, merangkap Ketua Jabatan, Jabatan Pengajian Islam (JPI).
Pengisian usrah pada kali ini banyak berkisar tentang hal-hal yang berkaitan dengan bulan Ramadhan. Antaranya, beliau memperingatkan supaya  kita semua mempertingkatkan ibadah terutamanya pada hari-hari terakhir Ramadhan. Beliau juga berpesan supaya kita menjadikan madrasah Ramadhan yang kita lalui pada kali ini menjadi satu titik tolak kepada perubahan dalam diri dan moga ibadah-ibadah yang kita lakukan itu tidak terhenti dengan berakhirnya bulan Ramadhan.
Antara gambar yang sempat dirakam sewaktu usrah berlangsung :

Dr.Mohd. Rosdi bin Mahamud
Alhamdulillah~





 Khusyuk mendengar kalam murabbi..
 
 

Alhamdulillah..hampir semua muslimat IMPI hadir



Jutaan terima kasih dan tahniah buat mereka yang berjaya menghadirkan diri dalam majlis ilmu tersebut. Bersyukurlah kerana Allah telah memilih antom untuk berada dalam salah satu taman-taman syurgaNya. Buat mereka yang tidak hadir, teruskan mujahadah anda.=) Moga kita semua akan dapat berkumpul bersama-sama dalam aktiviti yang akan datang. InsyaAllah.
 Akhir kalam, mudah-mudahan Allah memberikan kepada kita kemudahan untuk kita melaksanakan ibadah kepadanya terutamanya pada hari-hari terakhir Ramadhan dan moga kita istiqamah dengan ibadah-ibadah tersebut.

Salam mujahadah dalam mengejar Redha Ilahi.. Ingatlah, pandangan Allah itu yang perlu kita cari..=) 

16 August 2011

Bicara MT

Ramadhan Kareem..

Oleh:Ukhti Nor Aina Mardiyyah binti Zaidan
Bendahari Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam(IMPI)


Assalammualaikumwarahmatullahiwabarakatuh…
Itulah lantunan indah yang diperkenalkan oleh Islam buat sesama ummah lambang kejituan dan kesyumulannya. Segunung syukur dipanjatkan buat Allah Tuhan Penguasa setiap yang berstatus makhluk, rahmatNya melingkari petala langit dan menjangkaui dalaman pasak bumi. 

Selawat dan salam khas buat perintis risalah agung dari Ilahi, pencetus arus dunia sehingga bercorakkan warna-warni Islam, junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menghidupkan dunia dengan ruh Islam di setiap perdu cakra alam yang berjaringan ke alaf mutakhir ini. Tidak terkecuali juga buat keluarga baginda yang tercinta, para sahabat dan seluruh penerus agenda perdana iaitu dakwah Islamiah sekalian. Salam Ramadhan buat ikhwah dan akhawat IMPI sekalian.

Alhamdulillah, akhirnya sampai juga pena ke jemari ini bagi mencoretkan tinta bicara mutakhir Majlis Tertinggi Pimpinan Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam. Sahabat, sempena kedatangan Ramadan al-Mubarak ini, ingin ana titipkan sedikit nukilan ramadhan buat kalian. Ballighu anni walau ayah…

Ikhwah dan akhawat IMPI sekalian,
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “Kemuncak segala bulan adalah bulan Ramadhan dan kemuncak segala hari adalah hari Jumaat”. Baginda bersabda lagi, “Jika hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadhan, sudah tentu mereka bercita-cita supaya bulan Ramadhan berpanjangan selama setahun”.

Sahabat, melalui sabda Rasulullah s.a.w ini terbukti sesungguhnya ramadhan adalah satu-satunya bulan yang paling istimewa daripada 12 bulan yang lain. Bulan ini adalah yang penuh kemuliaan, keberkatan, rahmat, maghfirah(keampunan), pembebasan daripada seksaan api neraka, gandaan pahala, dikurniakan malam lailatulQadar dan banyak lagi.

Ikhwah dan akhawat IMPI sekalian,
Ramadhan adalah bulan berpuasa, puasa yang diistilahkan dalam bahasa al-Quran dan as-Sunnah dengan nama ‘siyam’ atau ‘saum’. Mungkin ramai yang tidak menyedari betapa besarnya faedah dan manfaat berpuasa ini. Nabi Adam a.s berpuasa selama 30 hari 30 malam sebagi kaffarah kerana memakan buah larangan di syurga. Nabi Daud a.s berpuasa selama enam bulan dalam setahun, iaitu dengan melakukan puasa secara berselang-seli. Adapun Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya difardukan puasa dalam bentuk yang sederhana, tidak lebih daripada sebulan dalam setahun dan puasa mengikut syariah hanya pada waktu siang. 

Sahabat, dalam bulan ini kita bukan sekadar menahan diri daripada tuntutan nafsu makan dan minum tetapi juga mendisiplinkan pancaindera daripada terlibat dengan maksiat zahir. Hati dan perasaan juga hendaklah tunduk kearah mengagungkan Allah dan mentaati perintahnNya dan menjauhi segala maksiat batin. Jika perkara-perkara batiniah turut sama menghayati roh ibadah puasa, maka itulah petanda bahawa kita dapat mencapai darjat puasa yang paling istimewa yang diistilahkan oleh Imam Ghazali sebagai “ Puasa Khususul-Khusus”.

Ikhwah dan akhawat IMPI sekalian,
Terlalu banyak keistimewaan Ramadhan yang ingin dikongsi, tetapi sebagai penutup, ana ingin memetik ucapan Rasulullah s.aw. di hadapan para sahabat pada hari terakhir bulan Syaaban, “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kamu sekalian akan dinaungi oleh bulan agung lagi penuh barakah, iaitu bulan yang padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah telah menjadikan siyam sebagai satu fardhu dan qiam sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah dengan amal kebajikan padanya maka ia diberi pahala amalan fardhu pada bulan yang lain. Sesiapa yang menunaikan satu amalan fardhu padanya nescaya sama seperti melakukan tujuh puluh dalam bulan lain.

Ramadhan adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu balasannya ialah syurga. Ramadhan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan ini Allah menambah rezeki bagi orang yang beriman pada bulan tersebut. Sesiapa yang memberi makanan untuk berbuka pada bulan Ramadhan kepada seorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu menyebabkan terampun dosa-dosanya, dan memerdekakan diinya daripada api neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa itu tanpa sedikit pun berkurangan”

Para sahabat berkata : “Wahai Rasulullah, tidaklah kami semua memiliki makanan untuk dimakan oleh orang yang berpuasa.” Maka bersabda Rasulullah s.a w : “Allah memberikan pahala ini kepada orang yang memberikan sebiji kurma, atau seteguk air, atau sehirup susu. Bulan Ramadhan permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka. Sesiapa yang meringankan bebanan daripada hamba sahaya nescaya Allah mengampuni dosanya dan memerdekakannya dari neraka”.

Justeru, marilah warga IMPI sekalian, kita merebut limpahan nikmat dan rahmat yang Allah dah janjikan buat kita semua dalam bulan ini. Moga-moga kita semua tergolong dalam golongan yang disebut oleh Allah dalam al-Baqarah ayat 183 iaitu “semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa”. InsyaAllah…

Sekadar itulah saja perkongsian Ramadhan daripada ana buat kalian. Sempena Ramadhan al-Mubarak dan kedatangan Syawal ini ,ana mengambil kesempatan ingin memohon jutaan kemaafan atas segala salah dan silap ana sepanjang memegang amanah sebagai pimpinan IMPI 2010/2011 ini dan juga sepanjang berukhuwah. 

Sekalung ucapan terima kasih buat warga IMPI yang telah banyak memberikan kerjasama, nasihat, teguran dan panduan. Pesanan ana untuk diri ana sendiri, buat peneraju IMPI yang akan datang dan semua warga Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam, pantang mengalah apabila diselubungi masalah, kembalilah kepada Allah jangan sesekali berasa lelah, yang indah pastinya bukan mudah kerana syurga dipagari jutaan mehnah. 

Semoga terus thabat menegakkan Islam deenul Mahabbah wal Maghfirah…wassalam..

10 August 2011

Kuliah Perdana Istiqbal Ramadhan

Syukur ke hadrat Ilahi, akhirnya program yang telah dirancang pada bulan Syaaban yang lalu telah berjaya dijalankan dengan jayanya. Iaitu Kuliah Perdana Istiqbal Ramadhan. Kuliah tersebut telah diadakan pada 26/07/2011 iaitu pada hari selasa yang lalu.

Kuliah ini diadakan bersempena untuk menyambut bulan barakah yakni Bulan Ramadhan Kareem.. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memperkemaskan lagi persiapan kita untuk menyambut bulan Ramdhan yang bakal tiba.

Di bawah disertakan beberapa gambar yang menarik sepanjang kuliah berlangsung :









Diharapkan dengan berjalannya program seperti akan mendekatkan lagi kita dengan bulan Ramadhan dan Pencipta kita. Moga program seperti ini akan dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.

Bicara MT

Oleh :Ukhti Farah 'Ain binti Che Hassan
Naib Setiausaha Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam(IMPI)


Hatiku Berduri Lagi…
Bismillahirrahmannirrahim..Alhamdulillah.. Segala puji-pujian hanyalah untuk Rabbul `Alamin. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi kita, Nabi Muhammad S.A.W. serta sahabat-sahabat baginda. Di sinilah ianya bermula..

Tajamkah duri itu?
Rasulullah S.A.W pernah bersabda :
“Ketahuilah bahawa di dalam tubuh terdapat segumpal darah.
Jika dia baik, baik pula seluruh tubuh”
(Diriwayatkan Al-Bukhari, Muslim, At-Tarmizi, An-Nasai, Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad, dan Ad Darimi)

Segumpal darah yang dimaksudkan adalah raja bagi seluruh anggota tubuh kita iaitu “HATI”. Pada mulanya HATI dilahirkan dalam keadaan yang begitu bersih, namun dek kerana maksiat yang berlaku di dalamnya, HATI bertukar menjadi HATI yang semakin lama semakin hitam dan lama kelamaan semakin sakit dan terus MATI!
Perumpamaan maksiat yang dilakukan adalah seperti duri-duri tajam yang boleh menusuk ke dalam hati seorang muslim. Kesakitan tusukan itu, hanya boleh dirasa oleh empunya HATI itu. Namun begitu, ketajaman dan kehalusan duri yang menusuk bergantung kepada  cara                        ‘Si Pemiliknya’ menjaganya. Justeru, jangan biarkan HATI kita ditusuk oleh duri yang paling tajam dan paling halus kerana masa yang diperlukan untuk mengubati serta merawatnya adalah lama. 

Apa puncanya?
Dosa-dosa yang telah dilakukan itu menjadi penghalang  taqarrub kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Apabila hilangnya taqarrub illallah, maka HATI itu akan menjadikan pemiliknya hidup dalam keadaan tidak tentu arah, hilang pedoman, hilang barakah, putus hidayah bahkan terus jauh dan hanyut daripada rahmat dan kasih sayang Allah Subhanahu Wa Taala. Seterusnya, HATI itu akan terus mengejar kenikmatan dunia dan meninggalkan nikmat syurga yang sebenar-benarnya.

Ubatnya..
Tidak akan ada kebahagiaan bagi HATI kecuali dengan menjadikan Allah sebagai Pencipta yang paling dicintainya. Malahan, HATI itu tidak boleh hidup dan sihat kecuali dengan mengetahui kebenaran yang haq.

“ Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah dia sedang mendaki lamgit. Begitulah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman”. 
(Al-An’am : 125)
Untuk mencari ubat yang paling mujarab, kembalilah kepada Penciptamu, Allah dan carilah ketenangan HATI melalui Al-Quran kerana Al-Quran adalah penawar bagi semua penyakit HATI serta semua jenis penyakit.

Konklusinya
Di sini, ana ingin memetik mutiara kata yang sangat berharga, hasil nukilan daripada seorang ulama’ yang terkenal di semenanjung tanah air dan boleh dijadikan pedoman untuk meneruskan liku-liku kehidupan yang mendatang.
Tapak kaki kita kalau dah keras, pijak paku dan duri pun tidak terasa apa sebab tumitnya dah keras. Tetapi kalau tapak kaki yang lembut, terpijak duri sikit je
terus sakit dan berdarah.
Demikian juga hati, kalau ia dah keras tak terasa lagi bersalah nak buat dosa. Sebab itu, jangan sampai hati kita keras sampai tak terasa bersalah untuk buat maksiat..”
Sememangnya, seorang muslim tidak akan terlepas daripada melakukan maksiat-maksiat hati. Sama-samalah kita bermuhasabah untuk mengembalikan HATI yang lebih hidup dan sihat.Wallahu ‘alam.
“ Setajam mana pun duri yang tertusuk di dalam hatimu,
cabutlah ia dengan penuh sabar dan lemah lembut..
Nescaya ketenangan dan kelapangan akan mengisi ruang-ruang kosong duri yang telah dicabut tadi..
Selamat mencuba ye bakal-bakal ustaz dan ustazah sekalian^___^