:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

27 October 2010

Mampukah kita mengawal anak-anak kita?

Membaca liputan yang dipaparkan dalam sebuah akhbar perdana Ahad lepas (17 Oktober 2010) membuat hati rasa cemas, gusar, bimbang dan resah tak terkata. Ayat-ayat yang berbunyi ‘remaja licik lindungi kegiatan’, ‘kerana nafsu dan wang tunai, akhirnya saya merelakan diri dinodai. Saya aktif melakukan kegiatan ini meskipun masih belajar’ menggambarkan betapa hancurnya nilai akhlak dalam kalangan remaja, anak-anak kita, pewaris masa depan umat dan negara. Akhbar itu melaporkan pengakuan seorang remaja yang diberi nama Syafika, “Sejak berjinak-jinak dengan kegiatan berkenaan, saya mula berasa kemewahan. Dengan merahsiakan segala kegiatan ini daripada pengetahuan keluarga, saya semakin aktif melayan lelaki yang dahagakan seks menerusi laman sosial. Kini, saya mengenakan bayaran RM80 kepada sesiapa yang menghubungi saya di laman sosial terbabit. Setidak-tidaknya, saya dapat mengumpul wang tambahan sebanyak RM500 sebulan.” Menurut Syafika, setakat ini aktiviti nakalnya masih belum diketahui ibu bapanya kerana dia bijak menyembunyikan kegiatan berkenaan. 

Terduduk saya membaca pengakuan itu. Siapakah Syafika itu? Anak kita? Jiran kita? Saudara kita? Ya, dia adalah anggota masyarakat kita yang mungkin satu hari nanti akan menjadi guru kepada anak-anak kita atau menantu kita! Dan siapakah pula lelaki yang dahagakan seks yang menjadi pelanggan kepadanya? Pastinya dia adalah seorang ayah atau suami atau anak lelaki kepada salah seorang daripada ahli masyarakat kita! Lantas, di mana lagi kesucian? Di mana lagi kejujuran? Di mana amanah kalau anak-anak gadis begitu ‘bijak’ menipu ibu bapa. Ayah, suami, anak lelaki apatah lagi? Anak gadis menipu ibu bapa di dalam rumah sebagaimana dinyatakan oleh Syafika bahawa dia online di rumah saja kerana ibu dan ayahnya tidak menghalangnya menggunakan internet lebih-lebih lagi atas alasan menyiapkan tugasan universiti! Ayah, suami, anak lelaki di luar rumah itu, apakah tidak mungkin mereka menipu anak-anak, menipu isteri dan menipu ibu bapa? Belum terpanggil lagikah pihak berwajib dalam negara kita untuk melihat dan menangani isu ini dengan bersungguh-sungguh? Sampai bila gejala mungkar ini hendak dibiarkan? Allah taala telah mengingatkan kita bahawa zina adalah kejahatan yang amat keji dan seburuk-buruk jalan. 

Firman-Nya bermaksud: 

Dan janganlah kamu menghampiri zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” 
      (Al-Isra’ 17:32) 

Ketika mentafsir ayat ini, Ibn Katsir membawa satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abi ad-Dunia bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tiada dosa selepas syirik lebih besar di sisi Allah selain daripada setitis mani yang diletakkan oleh seorang lelaki di dalam rahim yang tidak halal baginya.” 

Menurut Sayyid Qutub, larangan berzina (ayat 32) terletak di tengah-tengah antara larangan membunuh anak (ayat 31) dan larangan membunuh sesama manusia (ayat 33) kerana semua itu mempunyai kaitan yang sangat rapat. Katanya, zina adalah suatu pembunuhan dari pelbagai sudut. Sudut pertama, zina itu membunuh kerana membuang mani yang merupakan unsur kehidupan bukan pada tempatnya yang sebenar. Sudut kedua, perbuatan itu biasanya akan diikuti pula dengan usaha membebaskan diri daripada ikatan tanggungjawab dengan cara membunuh janin sama ada setelah sempurna kejadian atau sebelum sempurna kejadiannya, sama ada setelah ia dilahirkan atau sebelum dilahirkan. Sudat ketiga, sekiranya anak itu dibiarkan hidup, biasanya dia hidup dalam keadaan terbuang, terhina dan tersisih. Hidup dalam keadaan yang tidak berguna kepada masyarakat. Ini membawa kepada pembunuhan dari sudut yang lain pula. Sudut keempat, ekoran daripada apa yang dinyatakan pada sudut ketiga, zina membunuh masyarakat itu sendiri kerana apabila merebaknya zina maka keturunan dan hubungan darah akan bercampur aduk. Maruah disangsi dan anak-anak diragui. Hubungan kemasyarakatan menjadi bobrok. Ikatannya mula berkecai dan akhirnya mengakibatkan masyarakat itu menjadi lumpuh bagai makhluk tidak bernyawa. Sudut kelima, zina menjadi pembunuh masyarakat kerana apabila nafsu dapat dipenuhi dengan cara yang mudah, perkahwinan tidak diperlukan lagi, keluarga dianggap sebagai bebanan yang tidak ada faedahnya untuk ditanggungi. Walhal keluarga adalah satu-satunya tempat lahir dan membesar dengan sihat dan selamat bagi anak-anak baru lahir. Tiada tempat yang boleh menggantikan peranan keluarga dengan sebaik-baiknya. (Fi Dzilal al-Quran, jilid 4, halaman 2224) 

Justeru, tidak ada waktu lagi untuk bertangguh. Bukan masanya untuk menuding jari dan saling menuduh. Seluruh umat mesti segera mencari jalan keluar. Selamatkan dunia daripada malapetaka yang besar ini. Ambil al-Quran sebagai panduan, sunnah Rasul menjadi ikutan. 

Dengari pesanan Allah dalam kitab suci-Nya yang bermaksud: 

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” 
(At-Tahrim 66:6) 

Nabi sallallahu alaihi wasallam berpesan (maksudnya): “Ajarlah anak-anak kamu dan ahli keluarga kamu kebaikan, dan didiklah mereka dengan akhlak yang mulia.” (Riwayat Abdul Razzaq dan Sa’eid bin Mansur)

Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

24 October 2010

Warkah Buat Pimpinan

Assalamualaikum dan salam pendidikan,

Tahniah diucapkan buat saf kepimpinan IMPI sesi 2010/2011 yang telah terpilih baru-baru ini. Sebagai ahli, kami meletakkan harapan yang tinggi terhadap kewibawaan anda. Pemilihan anda merupakan satu kepercayaan yang tinggi terhadap keupayaan anda, di samping satu ujian besar daripada Allah yang akan menghitungkannya pada hari kiamat kelak.


Saudara, ingatlah bersama kepercayaan itu terletaknya tanggungjawab yang berat. Diibaratkan seperti mengangkat kedua-dua tangan ke udara, walaupun tidak dapat dipandang oleh mata akan bebannya, namun beratnya tetap terasa. Begitu juga dalam menjalankan amanah memimpin IMPI. Seseorang pemimpin yang baik seharusnya memahami realiti semasa dan setempat dalam organisasi yang dipimpinnya. Selaras dengan Islam yang bersifat waaqi’iyah, pemimpin hendaklah sentiasa segar dalam mendepani isu-isu semasa. Dalam konteks IMPI, telah jelas bahawa matlamat penubuhannya adalah khusus terarah kepada para mahasiswa Pendidikan Islam di IPG yang kita cintai ini. Oleh itu, seharusnya segala gerak kerja, tindakan serta pemikiran dilandaskan kepada skop tersebut. Sangat tidak sesuai sekiranya IMPI digerakkan tanpa memerhati realiti tersebut. Uniknya IMPI kerana dikhususkan kepada bakal ustaz dan ustazah, indahnya IMPI kerana diasaskan di IPG ini, maka seharusnya IMPI mengelakkan daripada terikut-ikut dengan anasir-anasir yang bukan berasaskan daripada konteks setempat tersebut. Sebagaimana rahsia kegemilangan Khilafah Bani Abbasiyah dahulu, kaedah dan ilmu pengetahuan boleh diambil daripada segenap sumber yang ada, tetapi haruslah ditapis dan diasimilasikan terlebih dahulu bersesuaian dengan realiti semasa IMPI.

Saudara, tuntutan semasa dalam IMPI ketika ini ialah perpaduan dalam kalangan ahli. Penambahan ahli membawa kepada kepelbagaian dalam pelbagai aspek kehidupan berjemaah. Perlu diingat bahawa keberkesanan dalam Islam bukan pada kuantiti ahli tetapi pada ramainya ahli yang berkualiti. Bandingkan antara medan Badar dan Hunain, belajarlah daripada keduanya. Latar belakang yang pelbagai serta aliran pemikiran yang berbeza merupakan cabaran yang tidak harus dipandang enteng. Sejarah IMPI yang terlalu singkat ini pernah dilukai dan ditoreh dengannya. Sekiranya dibiarkan, luka yang tercalar akan semakin bernanah dan membarah. Oleh itu, kepelbagaian dan perbezaan ini menuntut kepada perlunya satu proses penyatuan yang berkesan, bertitik tolak daripada sudut hati yang ikhlas mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. semata-mata. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa perbezaan itu masih lagi dalam konteks kerangka seorang muslim, yang perlu dipenuhi hak-haknya, disantuni hati nuraninya, malah dihormati pendiriannya walaupun masing-masing berlainan pendapat, berjauhan antara pemikiran dan gerak kerja malah berbeza baik buruk akhlaknya. Kita menyeru bukan untuk menghukum sesiapa. Setiap lubang permusuhan hendaklah dilindungi. Segala bisikan musuh hendaklah dijauhi. Pasti ditemui titik pertemuan dalam perbezaan. Semoga ikatan persaudaraan sesama muslim itu kekal utuh selamanya.

Saudara, pengalaman IMPI menuntut supaya proses pembentukan individu adalah melalui interaksi hati ke hati. Catatan sirah yang panjang membuktikan bahawa hanya dengan kefahaman Islam yang jitu daripada hati yang tulus murni sahaja mampu memberi kesan yang besar kepada keagungan Islam. Mungkin hasilnya tidak dapat dilihat dalam tempoh yang singkat, namun kesannya akan berkekalan selamanya, insyaAllah. Pembentukan melalui cara yang kurang tepat akan membawa hasil yang jauh tersasar malah lebih teruk lagi sekiranya langsung tidak mendatangkan hasil. Dalam memimpin, seharusnya anda bijak memahami dan mempertimbangkan antara syiar dan syariat; antara yang baik dengan yang lebih baik serta antara kesan jangka pendek atau jangka panjang. Kadang kala, mungkin terpaksa mengorbankan satu syiar demi menyelamatkan satu syariat yang lebih utama. Ketahuilah juga bahawa bukan semua kebaikan itu sesuai untuk dilaksanakan. Misalnya, membaca al-Quran yang dituntut itu juga boleh membawa kepada dosa sekiranya bacaan itu mengganggu solat orang lain. Maka, perlulah difahami tentang keutamaan antara kedua-duanya. Dalam membuat pilihan, renungilah daripada petunjuk-petunjuk wahyu, bukan desakan-desakan nafsu. Berpeganglah kepada sumber-sumber yang sahih daripada al-Quran dan as-Sunnah serta penjelasan-penjelasan yang disepakati daripada keduanya. Semoga dilindungi daripada jalan yang sesat lagi dimurkai.

Saudara, dalam menguruskan IMPI, ketahuilah bahawa terdapat keistimewaan tersendiri padanya. IMPI telah didasari dengan perlembagaan dan undang-undang yang cukup utuh. Walaupun hanyalah hasil tangan-tangan manusia yang tidak terlepas daripada kesilapan, namun sedarilah bahawa segalanya dibina demi matlamat yang satu. Saidina Ali Karamallahuwajhah pernah meriwayatkan bahawa kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun. Atas kesedaran itu, IMPI mengorak langkah dalam penyusunan organisasi. Kaedah pengurusan yang lebih sistematik diperkenalkan berasaskan profesionalisme keguruan. Setiap gerak kerja cuba dirancang rapi. Tidak dinafikan adanya banyak kelemahan, namun di setiap titik kelemahan itu akan dinyalakan sumbu kekuatannya. Setiap perlantikan dan pengagihan tugas serta tanggungjawab hendaklah berdasarkan kelayakan dan kemampuan. Bukan semua yang layak itu mampu, begitu juga sebaliknya. Kelemahan dan kecemerlangan kita sentiasa dipandang. Segala yang baik mudah diterima orang, yang buruk pula sedia untuk dicanang. Semoga segalanya dipermudahkan demi kelangsungan tarbiyah Islam dalam mendepani fitnah yang mendatang.

Saudara, roda kehidupan sentiasa berputar. Padanya teruji kematangan makhluk bernama manusia. Anda masih muda remaja, semangat dan kudrat anda masih bertenaga. Namun, jangan dilupa pada yang lama. Sepantas mana anda berlari dalam kehidupan, santunilah mereka yang berjalan kerana mungkin disitu tersembunyinya kematangan. Disitulah tersimpulnya kekuatan semangat orang muda dan kebijaksanaan pemikiran orang lama. Gandingan keduanya pasti mencetuskan kegemilangan jika diasaskan kepada suatu keseimbangan yang mantap dan kefahaman yang jitu, insyaAllah. Hormatilah walaupun tidak mampu untuk mematuhi. Anda peneraju masa depan IMPI dalam melayari bahtera kehidupan. Kami sisipkan doa dan titipkan bekalan yang mantap agar mampu terus bersiap siaga menempuh badai yang bakal melanda.

Akhir kalam, harapan kami agar saudara dapat melaksanakan prinsip-prinsip yang dititahkan Allah dan RasulNya. Semoga Allah memberkati IMPI kerana keadilan insan-insan yang diberikan amanah. Saudara, selamat bertugas sebagai pimpinan IMPI yang baru. Bersama saudara diiringi jutaan harapan dan doa seluruh ahli dan penyokong. Renungilah tulisan ini dengan penghayatan yang mendalam. Sekiranya dilanda kebuntuan, ketahuilah pada al-Quran itu adanya penawar dan ketenangan. Wasiat bertulis Abu Bakar as-Siddiq ketika amat uzur dan mencadangkan Umar al-Khattab sebagai penggantinya antaranya menyebut:

“Sekiranya Umar berlaku adil, maka itu sangkaan dan pengetahuanku mengenainya. Jika dia sebaliknya, maka setiap individu berdasarkan apa yang dikerjakan. Sedangkan aku inginkan kebaikan dan tidak pula aku tahu perkara yang ghaib. Nanti orang yang zalim akan mengetahui di mana kesudahan mereka”

Semoga Allah merahmati tugasan saudara-saudara, amin. Wassalam.

Ahli bawahan yang dhaif,
FATAHAL HAZMY BIN ABDUL HAMID.

21 October 2010

Dimensi Baru Kepimpinan IMPI sesi 2010/2011

Assalamu 'alaykum

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah swt kerana dengan segala kehendakNya, Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-2, Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) IPG Kampus Perlis dapat dilaksanakan dengan jayanya di Dewan Pulai 1. Mesyuarat yang diadakan pada tanggal 20/10/2010 ini mencatatkan satu dimensi baru kepada kepimpinan IMPI untuk sesi yang akan datang.

Dihadiri oleh semua pensyarah-pensyarah JAPIM dan juga kesemua ahli IMPI yang berjumlah 111 orang, berserta 20 orang pelajar-pelajar opsyen Bahasa Arab, ia merupakan satu kejayaan yang amat bermakna dan telah menjadi satu suntikan semangat untuk semua pihak agar berkerja dengan lebih bertanggungjawab lagi demi memastikan kelangsungan IMPI di bumi IPG Kampus Perlis ini.

Mesyuarat kali ini juga telah melantik kepimpinan tertinggi IMPI sesi 2010/2011 yang baharu bagi menggantikan kepimpinan IMPI sesi 2009/2010. Berikut merupakan insan-insan terpilih yang bakal meneraju IMPI pada sesi akan datang :

Pengerusi : Muhammad Zaki bin Md. Rosnan

Naib Pengerusi I : Mohd Syameer bin Mohd Jamil


Naib Pengerusi II : Amalina Syakirah binti Mat Zin


Setiausaha : Mohd Ridzuan bin Abd Wahab


Naib Setiausaha : Nur Farah'ain binti Che Hassan


Bendahari : Nor Aina Mardiyyah binti Zaidan

Setinggi-tinggi tahniah juga takziah buat barisan kepimpinan yang telah terpilih ini. Semoga kalian mampu untuk menerajui IMPI dengan seikhlas dan sebaik mungkin. Semoga IMPI di masa akan datang mampu membawa satu langkahan baru yang lebih segar dan penuh keyakinan dalam menghadapi pelbagai suasana serta keadaan.

Kepada barisan kepimpinan IMPI yang lama, selamat bersara dari jawatan yang disandang. Sekalung penghargaan dan terima kasih untuk segala jasa kalian dalam menjalankan tanggungjawab selama hampir setahun ini. Semoga usaha itu dinilai sebagai ganjaran yang tidak terhitung harganya di sisiNya. Semoga kalian juga bersedia untuk berkongsi ilmu, idea dan pengalaman kepada saff kepimpinan baharu ini untuk kecemerlangan IMPI.

Kepada pelajar-pelajar opsyen Bahasa Arab yang telah diserap menjadi ahli IMPI secara automatik bermula dari sekarang sehinggalah pada masa akan datang, Ahlan wasahlan dan tahniah diucapkan. Kedatangan kalian ke dalam IMPI diharap mampu menjadikan IMPI sebagai sebuah persatuan yang lebih terserlah kewujudannya selepas ini.

Kepada semua ahli IMPI, sama-samalah kita bergandingan tangan dan berpadu tenaga untuk memantapkan lagi IMPI ini, lebih dari apa yang telah dicapai pada masa sekarang. Sumbangan anda amat-amat diperlukan. Apa yang penting, segalanya perlulah dengan hati yang penuh keikhlasan dan semata-mata mengharapkan keredhaan Allah swt.

Semoga IMPI terus maju dan diredhai olehNya. InshaAllah.

20 October 2010

SELAMAT BERMESYUARAT!

Assalamualaikum dan salam pendidikan...



Setelah hampir setahun menabur khidmat bakti, kepimpinan IMPI sesi 2009/2010 akan meninggalkan amanah dan tanggungjawab masing-masing kepada saf kepimpinan yang baru bermula malam ini. InshaAllah, pada tanggal 20 Oktober 2010, hari Rabu bertempat di Dewan Pulai 1, IMPI Perlis akan menjalankan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-2 sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan IMPI.

Pihak kepimpinan sesi 2009/2010 yang terdiri daripada Majlis Tertinggi, Majlis Eksekutif dan Majlis Syura Tarbawi memohon ampun dan maaf sekiranya gagal menjalankan tugas yang telah diamanahkan dengan sebaik mungkin. Diharapkan saf kepimpinan yang baru bagi sesi 2010/2011 akan dapat meneruskan cita-cita murni IMPI sebagaimana yang telah digariskan dalam matlamat penubuhannya dengan menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan sebaiknyaberdasarkan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan. 

Bagi seluruh ahli pula, hendaklah memahami dan menghayati dengan sebaiknya hak-hak dan kewajipan masing-masing di dalam IMPI. Setiap ahli seharusnya melengkapkan diri dengan kefahaman Islam yang sebenar dengan bersungguh-sungguh untuk mempelajari asas-asas Islam dan kaedah-kaedahnya, beramal dengan akhlaknya, kelebihan-kelebihannya yang umum dan petunjuk-petunjuknya yang disepakati berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Setiap ahli juga perlu berusaha untuk menjaga diri daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan diri dan IMPI khususnya serta masyarakat umumnya. Setiap ahli juga hendaklah memelihara ikatan persaudaraan yang telah terbina antara sesama ahli dan memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak kepimpinan dalam menjayakan aspirasi IMPI.

Semoga segala usaha kecil yang telah kita dijalankan ini akan diberkati oleh Allah dan dikira sebagai amal ibadah kepadaNya. Selamat bermesyuarat.