Assalamualaikum dan salam pendidikan…
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Berada di hujung semester memang satu tempoh masa yang agak mengelirukan bagi seseorang pelajar. Dikelirukan dengan pelbagai desakan dan tuntutan yang sebelumnya tidak pernah difikirkan. Agak melucukan kerana seharusnya di hujung semester sebegini seseorang pelajar bergembira kerana semakin menghampiri cuti semester. Segala bebanan pelajaran akan hilang dibuai arus keseronokan dalam liburan di kampung halaman. Tetapi hakikatnya tidak seindah yang diangankan. Sebelum tiba tempoh bercuti panjang itu, ada halangan yang perlu ditempuhi. Penuh onak dan cabaran, penuh ujian. Peperiksaan akhir semester. Sesuatu yang sudah dijanjikan.
Dalam tempoh yang menyesakkan ini, seseorang pelajar muslim seharusnya menyedari hakikat yang sedang ditempuhi olehnya. Adakah peperiksaan itu sekadar prasyarat untuk menggenggam segulung ijazah? Adakah segala yang dipelajari akan ditinggalkan sebaik sahaja keluar daripada dewan peperiksaan? Sudah semestinya tidak. Ayat kedua daripada surah al-Ankabut di atas menjelaskan segalanya. Seorang muslim dan mukmin seharusnya menyedari bahawa segala yang ditempuhi dalam hidupnya adalah merupakan proses tarbiyah daripada Allah. Tarbiyah secara langsung ini adalah satu proses penting dalam pembentukan diri muslim dan mukmin sejati.
Seseorang pelajar didedahkan dengan pelbagai kaedah pendidikan dalam usaha untuk mencapai objektif yang kita sasarkan. Dalam subjek ilmu pendidikan contohnya, bakal guru didedahkan dengan ciri-ciri guru efektif bagi mencapai matlamat untuk membentuk diri menjadi guru yang berkesan. Dalam konteks peperiksaan yang sedang ditempuhi, pelajar sebenarnya didedahkan dengan pelbagai aspek pembentukan muslim dan mukmin sejati yang jarang disedari ramai pihak. Cuba perhatikan jadual hidup seseorang pelajar muslim dalam menghadapi musim peperiksaan ini. Adakah semakin menghampiriNya atau adakah semakin menjauhiNya?
Sekadar renungan bersama, kadang kala di musim sebegini terdapat golongan pelajar yang semakin mendekati Allah. Surau dan masjid disinggahi, solat berjemaah dilazimi, solat sunat dikerapkalikan diri (err..betul ke ayat???) dan doa dipanjatkan bersama tangisan mencucuri pipi. Alhamdulillah, peperiksaan mengajar diri untuk merasai kuasa dan kasih sayang Allah pada hamba-hambaNya. Semoga amalan-amalan tersebut kekal berpanjangan dalam hidup dan bukan sekadar beristiqamah di setiap hujung semester. Firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 60 maksudnya: dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”
Segolongan pelajar yang lain pula agak aneh pandangannya. Di saat kesesakan minda yang membebankan, amalan mulazamah seharian pula dikorbankan. Al-Quran hilang entah ke mana, masjid dan surau pula semakin rindukan wajahnya, al-Ma’thurat pula semakin dilupa, al-Mulk?? Kerapnya terlena.. Alasannya, sibuk membaca.
Satu kenyataan yang sering dilalaikan adalah bahawa dunia ini sememangnya penuh ujian tetapi ujian akhirat jarang ditumpukan. Sejak dibangku prasekolah sehingga kini pelbagai ujian,peperiksaan dan penilaian ditempuhi. Belum lagi dikira ujian memandu, ujian kelayakan temuduga dan sebagainya. Segala persediaan dilakukan. Nota-nota ditulis, fakta-fakta dihafal. Soalan ramalan? Semuanya dikhatamkan. Segalanya hanya kerana yakin bahawa yang dihafal dan diteliti itulah yang akan disoal pada satu masa yang telah ditentukan. Namun, pernahkah disedari ujian dan peperiksaan yang maha pasti? Ujian Rabbul Jalil. Soalan Mungkar dan Nakir. Soalan di Mahsyar. Segalanya telah didedahkan. Sudahkah bersedia untuk menghadapinya? Tiada tarikh atau jadual peperiksaan yang dikeluarkan tetapi soalannya telah lama di’bocor’kan. Sudahkah soalan-soalan itu dihayati, diteladani, diinsafi? Hanya iman mampu menjawabnya.
Kesimpulannya, berusahalah bersungguh-sungguh dalam peperiksaan ini demi matlamat yang pasti. Sedarilah bahawa segulung ijazah itu hanyalah alat tetapi risalah Allah itu adalah matlamat. Tanpa alat, tak tercapai matlamat. Tanpa matlamat, sia-sialah alat. Tetapkan niat, pasakkan tekad. Teruskan usaha. Bittaufiq wannajah. Wassalam.
~Miftahul-azam~
(Kangar-23 Jamadilawwal 1430; 22:40)
No comments:
Post a Comment