:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

17 May 2009

"SELAMAT HARI CIKGU"

- بسم الله الرحمن الرحيم -

Assalamualaikum dan salam pendidikan...

Sempena Hari Guru 2009, khas untuk insan-insan yang bergelar guru, pendidik, teachers, ustaz, ustazah, cikgu dan lain-lain gelaran yang sewaktu dengannya.

Setibanya tanggal 16 Mei pada setiap tahun, terlalu biasa untuk kita mendengari ucapan seperti “Selamat Hari Guru, Cikgu”, “Happy Teachers’ Day!!” dan pelbagai lagi ucapan seumpamanya. Begitulah juga dengan hari-hari lain seperti Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Kemerdekaan, Hari Pekerja dan macam-macam hari lagi yang boleh kita sebutkan, khasnya di Malaysia ini. Ucapan-ucapan bermusim yang diterima ini pada zahirnya memang sesuatu yang mulia kerana wujudnya elemen-elemen pujian, pengeratan ukhuwwah, penghargaan dan macam-macam lagi namun begitu dari satu sudut lain, ia dilihat sebagai sesuatu yang tidak begitu adil. Sebab utamanya kerana sesuatu penghargaan atau pujian atau perhubungan baik itu dilakukan pada hari-hari tertentu sahaja, iaitu setelah tibanya hari yang ditentukan itu, bukannya menjadi amalan seharian mereka yang terhutang budi terhadap individu dan golongan yang diraikan (murid dan guru, anak dan ibu dll).

Bukan berniat untuk mencadangkan agar dimansuhkan sambutan-sambutan sebegini dan bukan juga untuk mempunyai pemikiran yang berbeza daripada orang lain (kami juga menyambut Hari Guru) kerana memang benar, tanpanya, berkemungkinan besar tiada langsung penghargaan akan diberikan serta ukhuwwah antara keduanya akan layu dan boleh terlerai mudah. Cuma apa yang diharapkan adalah amalan ini sentiasa berterusan tanpa menunggu hari-hari tertentu dan apabila sudah berterusan dilakukan, maka akan mudahlah perkara sebegini dijadikan amalan dan budaya harian. Islam juga mengajar umatnya sentiasa menghargai peranan mereka yang berbudi terhadap diri kita. Anak perlu sentiasa berterima kasih kepada ibu bapanya, begitu juga antara murid-murid dan gurunya dan seterusnya.

Hakikat yang sebenar, sambutan hari guru yang diadakan setiap tahun dapatlah dikira sebagai sesuatu yang boleh menggembirakan hati para pendidik itu sendiri. Pengiktirafan dan penghormatan yang diwujudkan khas untuk golongan ini amatlah besar maknanya. Misi sukar untuk mendidik, bukan sahaja mendidik supaya menjadi pandai dan berjaya di dalam pelajaran tetapi juga mendidik jiwa dan kelakuan agar anak bangsa menjadi insan sempurna serta mempunyai pakej lengkap sebagai pendokong kejayaan di masa hadapan menjadikan golongan guru ini sebagai suatu golongan yang amat istimewa berbanding yang lainnya.

Amat penting untuk seseorang guru itu memperlengkapkan dirinya bukan dengan hanya ilmu, sebaliknya juga perlulan mempunyai kemahiran-kemahiran pedagogi yang mantap, utuh dan teguh untuk disesuaikan dengan pembelajaran bersama murid-murid mereka. Seterusnya, apabila disebut mahu mewujudkan kecemerlangan guru dan profesion keguruan, amat penting untuk golongan pendidik ini menekankan serta menguasai lima perkara yang menjadi asas kejayaan dan kewibawaan seseorang guru. Lima perkara ini telah digariskan sendiri oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) semasa membuat perutusan Hari Guru 2008. Perkara-perkara tersebuat adalah kekuatan intelek, kepimpinan berwibawa, kemurnian akhlak, kesediaan untuk berubah serta minat dan cinta terhadap profesionnya. Kelima-limanya saling berkaitan dan memerlukan antara satu sama lain. Ia berjalan seiring tanpa ada satupun yang ditinggal atau tertinggal di belakang. Pengamalan terhadap kelima-lima prinsip ini akan mampu memartabatkan insan guru dan profesion keguruan, seterusnya mampu membentuk anak bangsa yang gemilang sebagai aset penting negara pada masa hadapan.

Semua menyedari bahawa dengan pendidikanlah mampu membawa kepada satu perubahan dan transformasi unggul. Ia merupakan asas pembinaan tamadun insan, sebagai medium terpenting untuk mencapai kejayaan gemilang di mata sesiapa sahaja. Justeru ia menuntut kepada perancangan, pelaksanaan dan penilaian yang strategik, pragmatik dan cekap daripada semua golongan pendidik. Semua guru seharusnya menyedari perkara ini kerana merekalah yang bertugas dan bertanggungjawab sebagai penco
rak bangsa.

Pemilihan tema “Guru Pembina Negara Bangsa” sebagai sesuatu yang amat sesuai dengan keadaan dan suasana sekarang yang penuh dengan cabaran seperti perpaduan, globalisasi, liberalisasi dan lain-lainnya. Ia juga bertepatan dengan misi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. Teras pertama yang menjadi intipati PIPP adalah untuk membina negara bangsa. Negara bangsa yang bagaimana yang dicita-citakan itu? Jawapannya dari para pendidik itu sendiri. Cita-cita tersebut adalah ingin membentuk dan mewujudkan bangsa Malaysia yang sentiasa cintakan keamanan, perpaduan, persefahaman serta memenuhi tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyebut :

Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani...

Keseimbangan dalam semua aspek yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini adalah menjadi asas terpenting dalam membentuk sesebuah generasi yang gemilang dan unggul. Pada bahu gurulah yang akan membentuk insan-insan yang dicitakan ini. Dilihat pada sejarah silam, keunggulan masyarakat Islam Madinah yang dibentuk Rasulullah s.a.w. mempunyai keseimbangan dari semua ciri-ciri yang digariskan ini. Agama dan kerohanian tidak ditinggalkan, intelektual berkembang seiring, emosi dibentuk dengan kemas dan indah serta fizikal yang tidak kurang hebatnya. Maka bangsa seperti inilah yang mahu diwujudkan di negara tercinta ini dan gurulah pencorak utamanya. Analoginya, kain putih bersih berserta dakwat hitam serta pelukisnya. Walaupun dengan satu warna dakwat dan dicorak di atas kain kosong, andai pelukisnya mahir, berkebolehan dan pandai membuat corak menarik, maka akan terhasillah lukisan indah dan mampu menawan hati mereka yang melihatny
a.

Buat bakal-bakal guru, ustaz, ustazah, cikgu, teacher, sensei, sifu dan sebagainya.... Ingatlah bahawa tanggungjawab besar yang menanti. Masa depan anak bangsa di tanganmu... Ayuh mara!!!


Selamat Hari Guru 2009. “Guru Pembina Negara Bangsa”.


( 16 Mei 2009 - 0145am)

No comments:

Post a Comment