:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

13 May 2009

“BERAKHIRNYA AGENDA ZIONIS”

Assalamualaikum dan salam perjuangan.

Pada hari Sabtu yang lepas bersamaan 9 Mei 2009, telah diadakan satu konvensyen berkenaan isu Palestin yang bertajuk “Berakhirnya Agenda Zionis”. Konvensyen tersebut telah diadakan dengan jayanya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. Sekalung tahniah dan penghargaan buat penganjur konvensyen ini iaitu Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan juga kepada rakan kerjasamanya, pihak AMAN Palestin Berhad. Keprihatinan pihak penganjur dalam mencetuskan idea mengadakan konvensyen ini amatlah dialu-alukan demi menjaga kepentingan umat Islam Palestin khasnya dan umat Islam sedunia amnya.

IMPI juga tidak ketinggalan menyertai kira-kira tiga ribu belia yang hadir ke konvensyen ini. Seramai lima orang ahli Majlis Tertinggi IMPI dan beberapa orang ahli IMPI yang lain telah terlibat sebagai peserta di dalam konvensyen ini. Sememangnya penyertaan IMPI adalah bertujuan untuk mengetahui dengan lebih dalam tentang nasib dan keadaan saudara seakidah di bumi Isra’ dan Mi’raj itu selain ingin mendalami kebenaran bahawa telah berakhirnya agenda Yahudi Laknatullah ke atas negara Palestin seperti yang telah diuar-uarkan oleh tajuk konvensyen ini sendiri.

Dirasmikan oleh Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya, konvensyen yang dijalankan di PWTC ini diadakan bermula dari jam 8 pagi sehingga 5 petang. Pelbagai maklumat yang berkaitan telah dirangkumkan dalam lima pembentangan kertas kerja. Pembentangan kertas kerja ini telah dibentang oleh tiga orang ahli panel iaitu Dr. Muhsin Soleh, Pengarah El-Zaytouna Centre for Studies and Consultations di Beirut, Lubnan, Dr. Azzam at-Tamimiy yang merupakan Pengarah Institut Pemikiran Politik Islam di London, England serta panelis yang merupakan anak Malaysia sendiri iaitu Dr. Roslan bin Mohd Nor, Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya.

Lima pembentangan kertas kerja yang dilakukan berkaitan tajuk “Kejatuhan Islam dan Kewujudan Negara Israel” oleh Dr. Roslan, “Sejauh Manakah Kesan Kewujudan Zionis Terhadap Dunia Sejagat” oleh Dr. Azzam al-Tamimiy, “Peranan Seorang Muslim Dalam Menghadapi Musuh Zionis” oleh Dr. Muhsin Saleh. Dua pembentangan kertas kerja yang lain bertajuk “Hakikat Zionis dan Agenda yang Dipropagandakan” dan “Kebangkitan Islam di Palestin dan Status Agenda Zionis Masa Kini”, masing-masing dibentangkan oleh panelis Dr. Azzam at-Tamimiy dan Dr. Muhsin Saleh.

Sepanjang pembentangan kertas kerja pertama oleh Dr. Roslan, beliau banyak menyatakan faktor kejatuhan Daulah Khilafah Islamiyah iaitu Kerajaan Turki Uthmaniyyah dan kewujudan wilayah haram Israel serta gerakan Zionis melalui rampasan dan kekejaman ke atas umat Islam Palestin. Peserta juga didedahkan dengan objektif sebenar gerakan zionis mengusir penduduk Islam di Tanah Suci Palestin. Konvensyen ini juga telah menggariskan beberapa permasalahan asas yang menyebabkan gerakan Yahudi Zionis mampu menguasai Palestin, selain mereka terlibat dan bekerjasama dengan kuasa-kuasa besar dunia yang lain untuk menguasai Palestin.

Pembentangan kertas kerja kedua dan keempat pula dibentangkan oleh Dr. Azzam at-Tamimiy, seorang anak watan Palestin. Mungkin disebabkan itulah pembentangannya kelihatan begitu lantang dan penuh bersemangat umpama seorang pejuang yang berdepan musuh di medan pertempuran. Pembentangannya berkaitan dengan bagaimana akan berakhirnya gerakan Zionisme. Kebanyakan umat Israel sekarang juga nampaknya tidak yakin dan malu dengan tindakan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin dan kewujudan negara haram Israel sekarang. Tekanan-tekanan daripada dunia sejagat terhadap Israel juga bakal menjadi petanda bahawa kewujudannya bakal menemui pengakhiran. Bermula dari peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Deir Yassin, sampailah kepada penindasan terbaru terhadap rakyat Palestin di Gaza awal tahun ini, menimbulkan kejijikan dan beban psikologi bangsa Yahudi di seluruh dunia. Sememangnya situasi yang dialami ini akan dirasai oleh setiap warga penjajah yang tidak berjaya menghapuskan populasi asal sesebuah penempatan sepertimana yang berlaku di Vietnam. Sesungguhnya kesengsaraan yang dialami sekarang oleh rakyat Palestin merupakan permulaan kepada sebuah kemenangan yang hebat untuk mereka ke atas kekejaman Zionis. Melalui pembentangan kertas kerja keempat, beliau banyak menyeru para peserta konvensyen agar bersatu dan menggembleng tenaga muda mereka menghadapi musuh sekejam zionis tidak kira dari apa bentuk bantuan pun. Beliau juga tidak lupa menyeru peserta untuk memboikot produk-produk keluaran Yahudi berdasarkan kepada pengeluar-pengeluar induk barangan yang jelas bekerjasama dengan rejim tersebut kerana akuinya memang sukar untuk memboikot segala jenis barang berdasarkan kepada nama barang itu sendiri.

Panelis ketiga, Dr. Muhsin Soleh yang membentangkan kertas kerja ketiga dan kelima pula tampil penuh semangat dengan penghujahannya yang amat jelas dan mudah difahami. Beliau mengupas segala perancangan jahat zionis dan segala agenda jahat mereka yang dirancang selama ini. Selain itu juga, hakikat yang tidak diketahui ramai adalah bahawa Islam sudah mula bangkit semenjak kejatuhan era Khilafah Uthmaniyyah dahulu dan beliau juga menyatakan bahawa zionis akan menghadapi kehancuran yang sebenarnya tidak lama lagi. Ia terbukti dengan mudahnya apabila dilihat kepada kerapuhan institusi dan segala perancangan zionis itu sendiri. Dunia sekarang sudah mula nampak kebodohan zionis dalam mengendalikan segala programnya seperti tindakan ketenteraan, proses gencatan senjata yang tidak pernah telus serta pelbagai lagi. Semua ini menjadi petanda yang jelas bahawa kesungguhan dan kecekalan umat Islam Palestin, pengorbanan mereka mempertahankan kesucian Palestin bumi anbiya’ tidak sia-sia bahkan dilihat oleh umat sejagat sebagai satu pengorbanan yang amat besar selain mendapat status syahid di sisi Allah swt.

Sebagai konklusinya, konvensyen yang berlangsung menjadi batu loncatan kepada umat Islam yang lainnya mengetahui bahawa Islam akan menuju kemenangan yang kesekian kalinya ditunggu-tunggu serta kekejaman zionis bakal melangkah ke alam pengakhiran. Kesengsaraan rakyat Palestin selama ini akan berakhir juga. Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, sebuah tempat berprestij telah menjadi saksi kepada kesungguhan umat Islam negara ini mengambil berat akan isu Palestin dan menyelami perasaan serta kesengsaraan mereka. Zionis tidaklah sekuat yang kita sangkakan selama ini, zionis sebenarnya akan tumbang andai umat Islam bersatu seperti yang berlaku pada zaman silam, zionis akan tinggal kenangan jika ditentang dengan penuh keyakinan dan ketabahan sehinggalah usaha yang dilakukan ini membenarkan keputusan dan janji dari Allah swt selama ini bahawa Islam pasti mencapai kegemilangan dan membawa kerahmatan ke seluruh alam ini. Sesungguhnya janji Allah swt itu benar dan pasti berlaku. Hanya usaha kita dan masa yang berlalu akan menentukannya. Ketahuilah bahawa “al-Islam Ya’lu wala Yu’la ‘Alaih”. Wallahu a’lam bis Sowab.

No comments:

Post a Comment