:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

04 April 2011

Bicara MT



Oleh : Akh Muhammad Zaki bin Md.Rosnan

Pengerusi Persatuan Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam(IMPI)


Assalamualaikum WBT..Alhamdulillah kita masih lagi diberi kesempatan oleh Allah, Rabbul Jalil untuk hidup dan merasai segala nikmat kurniaan-Nya. Sesungguhnya Allah teramat kasih kepada hambaNya yang sentiasa bersyukur kepada-Nya pada setiap masa dan ketika.Selawat dan salam ke atas junjungan besar, khataman Nubuwah, baginda Rasulullah SAW yang telah banyak berkorban demi menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.



Bersyukur kepada Allah kerana dengan izin-Nya ana dapat memberi sedikit perkongsian kepada seluruh ahli Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) walaupun masih lagi dalam kesibukan ke sekolah bagi menimba pengalaman dalam usaha ke arah menjadi murabbi yang cemerlang. Bagi ahli IMPI semester satu PISMP yang sedang menjalani PBS kali pertama di sekolah masing-masing, semoga selamat dengan jayanya dan bawalah pengalaman antum untuk dikongsi bersama.


Bukan mudah untuk menjadi seorang pendidik sebenarnya.Ia merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang perlu kita pikul. Sebagai seorang guru, kita perlu menunjukkan contoh tauladan yang terbaik kepada mereka kerana kita adalah ibu dan kita juga adalah bapa kepada mereka di sekolah.


Sahabat-sahabatku sekalian, dalam menjadi muslim yang cemerlang, kita mestilah sentiasa patuh kepada perintah Allah SWT tidak kira di mana jua kita berada supaya kita tidak mudah goyah dengan segala cabaran yang ada pada masa kini. Antara cabaran yang paling besar adalah cabaran hawa nafsu yang sentiasa mengajak kita ke arah kejahatan.Perlulah diingat bahawa, nafsu yang telah dikurniakan oleh Allah hendaklah digunakan ke arah kebaikan agar kita sentiasa berada dalam lindungan kasih sayang Allah.


Dalam usaha untuk menghindarkan diri daripada perkara-perkara yang keji dan mungkar, kita wajib menjaga kesempurnaan solat . Kadang-kadang, apabila kita bercakap mengenai solat, rupa-rupanya terlalu banyak perkara yang kita terlepas pandang.Sebagai contoh, kita solat, tetapi kita tidak tahu tujuan solat, bila solat disyariatkan, kepada siapa ia disyariatkan, dan dimana solat disyariatkan.Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud:


"........Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar........."




2 rakaat waktu fajar menyinsing, 4 rakaat waktu gelincir matahari, 4 rakaat waktu matahari condong, 3 rakaat waktu matahari terbenam, dan 4 rakaat lagi ketika malam menjelang. Inilah solat-solat fardu yang telah diamanahkan kepada setiap mukallaf.


Mungkin solat kita yang selama ini kita rasakan sudah sempurna, rupa-rupanya masih terlalu banyak lagi kekurangannya. Dari sudut khusyuknya solat, keikhlasan, dan penyerahan diri kepada Allah SWT.


Solat merupakan ibadah yang paling utama dalam Islam kerana ia membezakan antara orang Islam dengan orang kafir. Dalam solat, kita meluahkan segala-galanya pada Allah, kita berikrar, berserah diri, merasakan diri sebagai hamba, meletak harapan pada Allah serta menyerahkan jiwa dan raga kita padaNya.


Firman Allah dalam surah Al-baqarah ayat 45 yg bermaksud:

"Dan mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk"

Di awal surah Al-Mukminun pula:

"Sungguh beruntung orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya"


Kemanisan dalam solat boleh sama-sama dirasai jika benar-benar khusyuk dan melupakan segala kenikmatan dunia untuk tunduk dan patuh kepada Allah, Tuhan sekalian alam.Huzaifah, seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w pernah mengingatkan;

"Awasilah dari khusyuk yang bepura-pura"

Bagaimana khusyuk yang berpura-pura? "Badannya dilihat khusyuk, tetapi hatinya tidak"



Imam Az-Zahabi menyatakan bahawa solat itu dapat melapangkan jiwa dan memadamkan api kemarahan. Ia menjadikan seseorang itu sabar, lapang dada serta dapat membantu berfikir dengan tenang.Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang disebutkan oleh Allah dalam surah Al-Ma'un ayat 4-5:


"Maka celakalah orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai dalam solatnya"


Persoalannya, adakah solat kita benar-benar khusyuk, tawaduk dan berserah diri?


Sama-samalah kita bermuhasabah diri. Semoga solat yang kita tunaikan akan dapat mencegah kita daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan mungkar. Gunakanlah peluang yang masih ada dengan sebaik-baiknya. Ana mohon maaf dengan segala kekurangan yang terdapat dalam penulisan ini. Wallahu’alam.. Assalamualaikum WBT.

No comments:

Post a Comment