:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

25 April 2011

Kursus Tanggapan Terhadap Islam

Alhamdulillah,syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya akhirnya kursus yang diberi nama “Tanggapan Terhadap Islam” anjuran Jabatan Pengajian Agama (JPI), dengan kerjasama dari KASA dan Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Kursus ini telah berlangsung selama dua hari iaitu bermula pada 22 April 2011 sehingga keesokan harinya iaitu pada 23 April 2011 bertempat di Dewan Pulai IPG Kampus Perlis.Tema bagi kursus ini ialah “Kewajipan Berdakwah Tanggungjawab Khalifah”.

Kursus ini telah menampilkan tiga orang penceramah yang berwibawa iaitu En.Lim Jooi Soon, En.Zainal Muhammad dan En.Mohammed Amin bin Yaacob. Alhamdulillah banyak perkara baru yang telah dipelajari melalui kursus ini, diharapkan agar para peserta akan dapat mempraktikkan segala ilmu yang telah diperoleh sepanjang mereka mengikuti kursus ini. Secara umumnya, kursus ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan sama ada dari pihak pensyarah mahupun pelajar.Di bawah disertakan beberapa gambar sepanjang kursus ini dijalankan :

Sesi Pendaftaran

Barisan penceramah bersama Ust.Mahamad



Para pensyarah beserta para pelajar memenuhi dewan..Alhamdulillah penuh..!!

Bersemangat..& penerangan y padat..oleh En.Lim Jooi Soon

Khusyuk mendengar ceramah

menjamu selera

jualan buku

Ust.Zulkarnain bin Mohamad merasmikan Majlis Perasmian Penutupan bagi Kursus ini

Majlis bersurai

Diharapkan kursus seperti ini akan dapat diteruskan lagi pada masa hadapan. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus dalam menjayakan kursus ini. InsyaAllah segala usaha yang telah kalian curahkan pasti ada nilainya di sisi Allah.

21 April 2011

Sultan Muhammad AL-Fateh



Kajian Fiqh Sirah : Sultan Muhammad Al-Fateh


“ Siapakah generasi pemuda atau remaja yang akan menjadi seperti Sultan Muhammad al-Fateh?”

“ Siapakah akan menggantikan Sallehudin Al-Ayubbi?”

Itulah ayat yang sering saya dengan ketika menghadiri kem atau ceramah ketika zaman kanak-kanak lagi.

Sehingga saya, tertanya-tanya siapakah mereka ini. Kerana, setahu saya mereka bukanlah sahabat Rasulullah SAW.

Siapakah Sallehudin Al- Ayubbi dan Sultan Muhammad Al-Fateh ?

Akhirnya ia terjawab apabila , kisah kehebatan mereka diceritakan oleh beberapa orang pak cik dalam satu kem remaja yang pernah saya ikuti masa kecil dulu.

Bermula saat itu, saya menanam azam untuk mendalami kisah sejarah mereka berdua. Kedua-dua orang tokoh kepimpinan Islam ini sangat saya kagumi dan ingin membaca, meneliti dan mengkaji sejarah kehidupan mereka . Pernah saya melihat kartun dan juga filem yang berkaitan (dua) 2 tokoh Islam yang sangat luar biasa ini.


Suatu hari, terdetik di hati untuk membaca sejarah mereka dalam kerangka untuk mencari rahsia kekuatan, keperibadian dan corak kepimpinan kedua-dua pemimpin ini yang pernah mengegarkan dunia dengan sejarah kegemilangan mereka dalam mencorak ketamadunan ummat Islam.

Kini, saya cuba menelaah sebuah buku novel sejarah yang ditulis oleh Abdul Latip Talib berkaitan Sultan Muhammad Al-Fateh. Semalam, semasa singgah solat Jumaat di Gua Musang ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur saya terlihat buku novel tersebut dan terus membelinya. Sebenarnya sudah lama berhajat untuk memilikinya dan dengan keizinan Allah, alhamdulillah saya berkesempatan membelinya.

Terukirnya sebuah sejarah

Sultan Muhammad al-Fateh adalah seorang pemimpin Islam di zaman yang sangat hebat, disegani lawan dan dihormati oleh rakyatnya. Baginda menaiki tahkta dalam usia yang sangat muda iaitu ketika berumur 19 tahun. Namun, pada usia begitu baginda adalah seorang pemuda yang matang, berwibawa dan mempunyai sifat kepimpinan yang menyerlah.

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, beliau diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera. Baginda sangat fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew.

Baginda disifat sebagai seorang tokoh yang sangat soleh, tawaduk serta sangat mencinta ulama dan selalu mengadakan perbincangan dengan mereka berkaitan permasalahan negera. Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan.

Baginda disifatkan sebagai sebaik-baik sultan dan tenteranya diiktiraf sebagai sebaik-baik tentera dan pada masa yang sama, rakyat juga adalah sebaik-baik rakyat.

Ini bertepatan dengan sebuah hadis Rasulullah SAW yang pernah dinyatakan oleh baginda ketika masih hidup.

Sabda Rasulullah SAW ketika menggali Parit Khandaq : “..Konstantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”

(Hadis riwayat Imam Ahmad)


Kualiti keperibadian

Ketika Kota Konstantinople telah ditawan, dan waktu Jumaat telah masuk, Sultan Muhammad Al Fateh berkenan untuk memilih imam bagi memimpin solat Jumaat yang pertama di Kota Konstantinople. Namun cara pemilihannya agak unik, baginda memanggil seluruh tenteranya dan meminta mereka semua berdiri dengan teratur.

Setelah semuanya dalam kedudukan yang tersusun, maka dia bertanya kepada tentera-tenteranya:

“Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan solat fardhu, sila duduk…”

Tidak ada siapa di kalangan anggota tenteranya yang duduk.
Kemudian beliau bertanya lagi.

“Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan solat-solat sunat yang utama?”

Ketika ini sebilangan kecil dari anggota tenteranya duduk.

Kemudian baginda bertanya lagi.

“Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan solat tahajjud sila duduk.”

Kali ini seluruh anggota tenteranya duduk kecuali baginda sendiri dan akhirnya baginda sendiri yang memimpin solat berjemaah di Kota Konstantinople.

Ternyata baginda adalah orang yang paling soleh dan dekat dengan Allah di kalangan tenteranya, maka benarlah sabda junjungan bahawa yang akan menakluk Konstantinople itu adalah tentera yang terbaik dipimpin oleh pemimpin yang terbaik.

MasyaAllah, jika beginilah kualiti pemimpin dan tentera Sultan Muhammad Al Fateh yang menakluk dan membebaskan Kota Konstantinople dari jajahan Byzantine, maka tidak hairanlah pertolongan Allah akan sentiasa bersama dengan mereka.

Manfaat, kajian dan analisis sejarah

Saya berhajat untuk menghabiskan telaah buku ini dalam masa terdekat dan akan cuba membuat sedikit kesimpulan daripada sejarah kehidupan serta kejayaan beliau.

Semoga saya memperolehi satu istifadah yang besar daripada pembacaan ini. InsyaAllah.

SUMBER :

14 April 2011

Sudahkah layak kita bergelar daie ?


Di SERAMBI DAKWAH , mari bersimpuh sekejap untuk koreksi pribadi dan amal selama hidup yang lepasa berlalu. Alhamdulillah ,posting blog ini sudah sampai ke angka 403 , moga bermanfaat. Siiru 'ala barakatillah..

Dalam mengemudi bahtera perjuangan kita di bumi ini, harus kita pastikan kompas dan hala tuju kita sentiasa benar. Oleh itu, ahli gerakan Islam perlu sentiasa diingatkan tentang manhaj dakwah dan tidak terawang-awang dalam merencanakan program dakwah.

Ramai dikalangan para dai'e masa kini belum memahami hala tuju dakwah sehingga mereka menyangka bahawa tanggungjawab dakwah itu telah tertunai dengan menyampaikan ceramah di mimbar, menulis artikel ataumenghangatkan perbincangan di ruang maya. Ada juga yang menyangka bahawa puncak kesempurnaan ahli sebuah gerakan dakwah adalah menjadi pengarah atau pekerja yang aktif dalam setiap program. Mereka ini melihat kerja dakwah dari sudut pandang yang sempit, terkongkong dalam definisi tamrin dan program semata-mata.

Sedangkan hakikat dakwah itu meluas dan sebati dalam kehidupan seorang muslim tanpa mengira tempat dan masa. Inilah perkara pokok dalam manhaj sepertimana yang telah diterangkan oleh Fathi Yakan dalam bkunya Bagaimana Kita Menyeru Kepada Islam.

Kita hanyalah berada dipinggiran medan dan belum layak bergelar dai'e jika ruang lingkup dakwah kita hanya berpusat pada tugas yang dijalankan dalam program yang dirancang sahaja. Sedang di luar program, kita masih dalam kesedaran yang lesu untuk menasihati rakan serumah sendiri, membina hubungan mesra dengan rakan sekelas, mengadakan usrah secara konsisten apatah lagi mengubah suasana keluarga sendiri yang jauh dari Islam.

Kencang dakwah kita kencang bertempat, seolah-olah kewajipan dakwah juga tertakluk kepada tempat-tempat dan masa-masa tertentu sahaja. Oleh yang demikian, sebagai jurutera-jurutera dakwah, marilah kita kembali menelaah kompas hala tuju kita.


Pengertian yang sebenar tentang tugas beramal dalam Islam seharusnya menjadi darah daging kita yang bertugas di lapangan ini. Apabila pengertian ini telah melekat sebati dalam jiwa, kita bukan sahaja akan menjadi ahli strategi dan penggerak kepada program Islam. Malahan kita sepanjang masa akan berusaha menjadi pengamal Islam yang punya akhlak yang unggul yang lidahnya berbahasa dengan kalimah Islam yang sejahtera, hatinya luhur dengan kefahaman Islam yang sebenar, dan minda yang tidak lelah memikirkan cara yang berhikmah untuk menyebarkan Islam ke seluruh alam. Demikian kaca mata kita dalam memahami manhaj dakwah.

Wahai pejuang-pejuang Islam, muhasabah. Sudahkah kita bergelar dai'e? Atau hanya sekadar nama, tanpa amal yang benar-benar mampu membuktikannya?

SUMBER : http://ibnufathani.blogspot.com/2011/04/404-sudahkah-layak-kita-bergelar-daie.html#links

13 April 2011

Eh,aku malaslah nak berjuang..!!



Ayat-ayat biasa yang didengar

-"Saya kalau tak ada si fulan , jangan harap saya nak masuk berjuang ...sebab si fulan lah yang tarik saya ...dan saya juga sukakan cara si fulan ...malah saya sukakan si fulan ..
-"kalau si fulan x diberi jawatan...kita jangan datang program tu!"
-"Si fulan kene lawan...! mana boleh mcmni..mana ada org lain yang layak...kalau si fulan xada..habis..hancurlah kita!"
-"Tahu tak..? mereka semua yang masuk perjuangan ni...semuanya kerana saya!,kalau x ada saya jgn harap dorang nak masuk!"

Ayat yang terngiang2..
-"ish,,sy ni orng biasa2...sy malaslah datang usrah"
-"hah!..usrah ni utk org yg ada jawatan jer...mmg patut dorang kene pergi...kite ni x gi pun xpa"
-"ish..jawatan saya x tinggi...sy x nak buat kerja ni..."
-"siapalah sy ni....org bawahan je...."

Perlu merendah diri..tapi tengok pada tempatnya...ketika paluan perang bersahut...! kita perlu ke depan..tanpa kira kita siapa..dan ketika jemaah memerlukan kita...kitalah orang yang paling beruntung!

Sejarah tetap sejarah. Namun sejarah peribadi didikan Rasulullah terlalu indah. Indah untuk dikenang, manis untuk di bayang, dan pastinya terlalu agong untuk diteladani.Ianya bukan lakonan. Ianya satu keikhlasan. Mereka mempunyai pandangan tersendiri, namun mereka memuliakan pandangan sahabat lain. Cinta mereka mengatasi cinta diri sendiri. Jihad mereka bukan memburu ghanimah duniawi.

Nama empat sahabat agung khalifah Arrasyidin memang tiada tolok bandingnya,namun terlalu banyak nama lain mengukir dan melakar sejarah perjuangan unik ini. Benarlah kata Assyahid Syed Qutb Mereka adalah generasi Al Quran yang unik. Hasil tangan didikan langsung dari Rasulullah SAW.Antaranya Khalid Al-Walid.

Indahnya membaca kisah Khalid Al-walid. Sejarah hidupnya penuh kegemilangan di medan peperangan. Dari zaman Jahiliah, beliaulah perancang menyebabkan medan Uhud menjadi medan muhasabah sepanjang masa pejuang Islam. Di kemuncak karier sebagi panglima tentera, di tengah medan peperangan sedang bergelora, sampai berita pertukaran pimpinan perang. Khalid dilucutkan jawatan. Hanya menjadi tentera biasa. Semuanya percaturan politik saidina Umar al-khattab.

Bermusuhkah Umar dengan Khalid??? Tidak...!!! Hilangkah kepercayaan Umar kepada Khalid??? Tidak. Curigakah Umar kepada Khalid??? Juga tidak!!! Apa perlu jawatan Khalid dilucutkan? Dia tidak pernah mengkritik Umar. Atau mengkritik orang kepercayaan Umar. Apabila ditanya tentang tindakan Umar…. Jawapan mudah… tanda betapa ikhlasnya Khalid Al Walid
“ Aku berjuang bukan kerana Umar. Aku berjuang kerana Allah”

Alangkah indahnya keperibadian Khalid Al Walid. Terlalu agongnya cinta Khalid kepada perjuangan Islam. Kalau Khalid mengkritik Umar, Khalid punya alasan yang kuat. Khalid menerima dengan penuh kerelaan. Namun Umar jua punya alasan tersendiri. Tindakan Umar kerana sayangnya Umar kepada perjuangan. Umar mahu menjaga perjuangan. Memastikan halatuju perjuangan di landasan yang benar. Tindakan Umar ialah tarbiah buat tentera agar mereka menyedari bahawa kemenangan tentera Islam adalah kerana pertolongan Allah, bukan kerana kehebatan Khalid.

Pernahkah Khalid mendakwa kemenangan Islam kerana kebijaksanaan atau kepimpinannya?? Atau pernahkah Khalid mengkritik pemimpin pasukan tentera lain yang mungkin tidak sehebat percaturan Khalid atau kemenangan yang diperolehi Khalid?? Tidak… tidak… tidak sama sekali… Jauh sekali untuk Khalid bertemu musuh meluahkan kekecewaannya. Alangkah indahnya keperibadian Khalid Al Walid..!!! Semoga kita semua mencontohi Khalid Al-Walid walupun kita bukan bernama Khalid..!!

-Seorang ulama tasawuf terkenal, Fudhail bin Iyadh pernah menyebut: “Meninggalkan sesuatu amal kerana manusia adalah riak. Melakukan sesuatu amalan kerana manusia pula adalah syirik. Penyelamat daripada kedua-duanya ialah IKHLAS.

-”Untuk Siapa. seBenarNya PerJuanganMu Itu....?

-SUMBER-

11 April 2011

Pensil Terbaik..!!


                      Pensil - Lakaran mampu mengubah dunia!


Pensil Terbaik
Oleh : BroHamzah

Salam penuh keimanan dan kesejahteraan buat sidang pembaca. Semoga kita dalam redha-Nya.
Saya mulakan bicara hari ini, dengan sebuah perkongsian.

Ada sebuah kisah dan cerita.

Seorang pembuat pensil baru sahaja menyelesaikan tugasnya mencipta sebatang pensil di kilangnya. Tiap-tiap hari, pekerjaannya adalah mencipta dan membuat pencil untuk kegunaan orang ramai.

Pensil yang diciptakannya itu, akan dibuat dengan penuh ketelitian, penuh kesungguhan dan ketekunan. Dia inginkan, pensil itu adalah pensil yang bagus, baik dan terbaik!

Si pensil begitu bersemangat untuk menjalani kehidupannya sebagai sebatang pensil. Ia teruja untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kelak. Berkhidmat sebagai sebatang pensil yang bermutu dan disukai ramai.

Sehinggalah, si pembuat pensil sedang membungkus pensil itu untuk disusun di dalam kotak untuk diedarkan ke pasaran dan ketika itulah, si pembuat penulis memberi nasihat kepada pensil itu.

Katanya : “ Wahai pensil, kamu ingatlah pesanan aku ini agar kamu boleh menjadi pensil yang terbaik.”

“ Pertama, untuk menjadi pensil yang terbaik kamu mesti membenarkan diri kamu untuk berada dalam genggaman seseorang.”

Pensil mendengar dengan penuh khusyuk.

“ Kedua, apabila berlalunya masa kamu akan menjadi tumpul dan ketika itu, kamu perlu bersedia untuk mengalami kesakitan dan kepedihan apabila diasah agar kamu kembali tajam.”

“ Ketiga, bahagian anggota kamu yang paling berharga dan bernilai ialah bahagian dalaman kamu. Bahagian inilah yang akan menentukan berkualitinya diri kamu atau tidak. Karbon dalam diri kamulah yang akan menjadikan kamu pensil yang berkualiti atau sebaliknya.”

Pensil tetap setia mendengar pesanan si pembuatnya.

“ Keempat, kamu juga harus bersedia untuk memadam segala kesilapan-kesilapan yang telah kamu lakukan dengan segera.”

Si pembuat pensil berhenti seketika, sambil merenung tajam kepada pensil.

“ Dan yang terakhir, kamu perlu ingat di atas permukaan apa pun, sama ada lincin, kasar, tidak rata atau sekata kamu perlu meninggalkan kesan dan bekas. Kamu harus melakukan tugas kamu dengan nyata dan jelas sebagai sebatang pencil. Biar pun sukar, kamu mampu melakar dengan baik! ”

Pensil terdiam. Dia membiarkan dirinya dibalut dan dibungkus di dalam kotak. Ketika itu, dia berazam untuk menjadi pensil yang terbaik.

Saya lihat, wajah anda berkerut kehairanan. Betul tak? Sebenarnya saya hajat - sharing dengan anda. Saya ingin kongsikan sesuatu dengan anda. Sebuah analogi yang baik untuk sama-sama kita renungi.

Mari kita letakan diri kita dalam situasi si pensil itu. Jika pensil itu adalah pensil yang terbaik, ia perlu melakukan apa yang telah dipesankan oleh si pembuat kepadanya itu dengan nyata dan bersungguh-sungguh.

Apa kata kita letakan situasi analogi itu kepada diri kita. Untuk menjadi manusia yang terbaik, kita perlu melihat nasihat dan pesanan si pembuat pensil itu dalam presepsi dan sudut pandang kita sebagai insan, manusia dan hamba.

Manusia yang terbaik

Kita jadikan analogi diatas sebagai panduan dan kita reflekkannya kepada diri kita.

Pertama, untuk menjadi manusia yang terbaik kita perlu berada dalam genggaman Allah SWT. Kita perlu berada dalam naungan dan membenarkan diri untuk meyakini, mengimani, mematuhi dan mentaati-Nya sepenuh jiwa dan hati.

Firman Allah SWT :

“ Katakanlah (Muhammad) : “ Apakah (patut) aku mencari tuhan selain Allah, padahal Dialah Tuhan bagi segala sesuatu. Setiap perbuatan dosa seseorang, dirinya sendiri yang bertanggungjawab. Dan seseorang tidak akan memikul beban dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali, dan akan diberitahujan-Nya kepadamu apa yang kamu dahulu kamu perselisihkan.” [1]

Kedua, untuk menjadi manusia yang hebat dan tabah kita sebagai manusia perlu menahan kepedihan apabila diasah dan diasak dengan ujian-ujian, dugaan dan cabaran yang Allah SWT berikan.

Firman Allah SWT :

“ Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “ Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?” [2]

Ketiga, untuk menjadi manusia yang terbaik – seseorang itu perlu memiliki bahagian dalaman yang terbaik. Apakah bahagian itu?

Ia adalah hati. Hatinya perlu dipenuhi dengan keimanan kepada Allah, ia sentiasa memelihara hubungan dengan Allah SWT dan hati itu ia sangat bersih, jernih, bercahaya dan berkualiti.

Keempat, untuk menjadi manusia yang terbaik – seseorang perlu bersedia memadam segala kesalahan-kesalahannya yang bertentangan dengan syara. Dosa dan maksiatnya harus dihapuskan dengan linangan air mata taubat. Ia perlu sentiasa bertaubat dan memperbaharui taubat.

” Katakanlah, “ Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah SWT. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.” [3]

Dan yang terakhir iaitu yang kelima,

Untuk menjadi manusia yang terbaik, kita perlu menzahirkan amalan kita walau apa pun situasi dan keadaan dengan keikhlasan, keimanan dan keyakinan yang membulat kepada Allah SWT. Manusia yang terbaik, akan memberikan kesan dan pengaruh terhadap suasana di sekelilingnya.

Penutup : Komentar seorang hamba

(1) – Semua manusia berhajat, berkeinginan dan menyimpan hasrat untuk menjadi terbaik. Namun, hanya segelintir sahaja yang bergerak dan bersungguh menuju jalan-jalan yang akan mendekatkannya kepada tangga kejayaan untuk menjadi yang terbaik.

(2) – Pensil dan manusia adalah 2 unsur yang berbeza. Namun analogi diatas mewujudkan persamaan yang sangat mengena. Saya termenung panjang apabila memikirkannya. Syukran kepada sahabat saya, a Faizal Kaze atas perkongsian semalam mengenai kisah di atas.[4]

(3)- Jika kita lihat, untuk menjadi terbaik ia kembali kepada diri kita dan perubahan yang harus kita gerakan. Memang benar, jika ingin kan yang terbaik kita harus melakukan perubahan, untuk melakukan perubahan kita harus berkorban. Pergorbanan itu benar-benar diperlukan untuk menjadi yang terbaik!

____________________

[1] Al-An’am (6) : 164
[2] Al-Ankabut (29) : 2
[3] Az-Zumar (39) : 53
[4] Pertemuan bersama-sama teman 20 Disember 2010

04 April 2011

Bicara MT



Oleh : Akh Muhammad Zaki bin Md.Rosnan

Pengerusi Persatuan Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam(IMPI)


Assalamualaikum WBT..Alhamdulillah kita masih lagi diberi kesempatan oleh Allah, Rabbul Jalil untuk hidup dan merasai segala nikmat kurniaan-Nya. Sesungguhnya Allah teramat kasih kepada hambaNya yang sentiasa bersyukur kepada-Nya pada setiap masa dan ketika.Selawat dan salam ke atas junjungan besar, khataman Nubuwah, baginda Rasulullah SAW yang telah banyak berkorban demi menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.



Bersyukur kepada Allah kerana dengan izin-Nya ana dapat memberi sedikit perkongsian kepada seluruh ahli Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) walaupun masih lagi dalam kesibukan ke sekolah bagi menimba pengalaman dalam usaha ke arah menjadi murabbi yang cemerlang. Bagi ahli IMPI semester satu PISMP yang sedang menjalani PBS kali pertama di sekolah masing-masing, semoga selamat dengan jayanya dan bawalah pengalaman antum untuk dikongsi bersama.


Bukan mudah untuk menjadi seorang pendidik sebenarnya.Ia merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang perlu kita pikul. Sebagai seorang guru, kita perlu menunjukkan contoh tauladan yang terbaik kepada mereka kerana kita adalah ibu dan kita juga adalah bapa kepada mereka di sekolah.


Sahabat-sahabatku sekalian, dalam menjadi muslim yang cemerlang, kita mestilah sentiasa patuh kepada perintah Allah SWT tidak kira di mana jua kita berada supaya kita tidak mudah goyah dengan segala cabaran yang ada pada masa kini. Antara cabaran yang paling besar adalah cabaran hawa nafsu yang sentiasa mengajak kita ke arah kejahatan.Perlulah diingat bahawa, nafsu yang telah dikurniakan oleh Allah hendaklah digunakan ke arah kebaikan agar kita sentiasa berada dalam lindungan kasih sayang Allah.


Dalam usaha untuk menghindarkan diri daripada perkara-perkara yang keji dan mungkar, kita wajib menjaga kesempurnaan solat . Kadang-kadang, apabila kita bercakap mengenai solat, rupa-rupanya terlalu banyak perkara yang kita terlepas pandang.Sebagai contoh, kita solat, tetapi kita tidak tahu tujuan solat, bila solat disyariatkan, kepada siapa ia disyariatkan, dan dimana solat disyariatkan.Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud:


"........Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar........."




2 rakaat waktu fajar menyinsing, 4 rakaat waktu gelincir matahari, 4 rakaat waktu matahari condong, 3 rakaat waktu matahari terbenam, dan 4 rakaat lagi ketika malam menjelang. Inilah solat-solat fardu yang telah diamanahkan kepada setiap mukallaf.


Mungkin solat kita yang selama ini kita rasakan sudah sempurna, rupa-rupanya masih terlalu banyak lagi kekurangannya. Dari sudut khusyuknya solat, keikhlasan, dan penyerahan diri kepada Allah SWT.


Solat merupakan ibadah yang paling utama dalam Islam kerana ia membezakan antara orang Islam dengan orang kafir. Dalam solat, kita meluahkan segala-galanya pada Allah, kita berikrar, berserah diri, merasakan diri sebagai hamba, meletak harapan pada Allah serta menyerahkan jiwa dan raga kita padaNya.


Firman Allah dalam surah Al-baqarah ayat 45 yg bermaksud:

"Dan mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk"

Di awal surah Al-Mukminun pula:

"Sungguh beruntung orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya"


Kemanisan dalam solat boleh sama-sama dirasai jika benar-benar khusyuk dan melupakan segala kenikmatan dunia untuk tunduk dan patuh kepada Allah, Tuhan sekalian alam.Huzaifah, seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w pernah mengingatkan;

"Awasilah dari khusyuk yang bepura-pura"

Bagaimana khusyuk yang berpura-pura? "Badannya dilihat khusyuk, tetapi hatinya tidak"



Imam Az-Zahabi menyatakan bahawa solat itu dapat melapangkan jiwa dan memadamkan api kemarahan. Ia menjadikan seseorang itu sabar, lapang dada serta dapat membantu berfikir dengan tenang.Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang disebutkan oleh Allah dalam surah Al-Ma'un ayat 4-5:


"Maka celakalah orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai dalam solatnya"


Persoalannya, adakah solat kita benar-benar khusyuk, tawaduk dan berserah diri?


Sama-samalah kita bermuhasabah diri. Semoga solat yang kita tunaikan akan dapat mencegah kita daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan mungkar. Gunakanlah peluang yang masih ada dengan sebaik-baiknya. Ana mohon maaf dengan segala kekurangan yang terdapat dalam penulisan ini. Wallahu’alam.. Assalamualaikum WBT.