Bismillahirrahmannirahim..
Assalamualaikum w.bt. dan salam sejahtera, salam maulidur rasul khususnya kepada seluruh ahli Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI), dan umumnya kepada seluruh warga IPG Kampus Perlis.
Alhamdulillah, kita sentiasa diberi nikmat yang oleh Allah SWT untuk meneruskan kehidupan di dunia yang penuh pancaroba ini. Semoga kita sentiasa tergolong dalam kalangan hamba yang bertaqwa dan bersyukur dengan setiap ketentuanNya serta sentiasa berusaha untuk mengecapi kejayaan di dunia dan di akhirat. Selawat dan salam juga diucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang sentiasa mengasihi umatnya sepanjang masa.
Sahabat-sahabat sekalian,
Kelahiran Rasulullah SAW merupakan satu rahmat yang bersifat menyeluruh. Ia meliputi soal-soal membimbing umat, mengukuhkan nilai hidup dan mengajak ke arah yang diredhai Allah SWT. Berasaskan misi inilah, Rasulullah SAW mewariskan kepada umat Islam, al-Quran dan Sunnahnya sebagai panduan mencorak hidup yang lebih bermakna dan diredhai Allah.
Dalam erti kata lain, maulidur rasul yang disambut setiap tahun ini, hendaklah kita jadikan sebagai satu asbab untuk kita menghargai pengorbanan besar Baginda, Nabi Muhammad SAW di samping untuk merapatkan ukhuwah sesama ahli keluarga IMPI yang kini sudah berjumlah 130 orang. Perbanyakkanlah berselawat ke atas Rasulullah SAW sebagai tanda kasih sayang kita kepada Baginda yang telah bersusah payah demi kemenangan Islam.
Maka, adalah perlu bagi seluruh warga IMPI dan IPG khususnya kembali kepada asas ajaran Islam iaitu mentaati Allah, mentaati Rasulullah SAW serta taat kepada pemimpin dengan menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pegangan serta panduan hidup. Ia adalah selaras dengan peraturan hidup yang digariskan oleh Allah SWT yang wajib kita patuhi, sebagaimana FirmanNya di dalam surah An-Nisaa’, ayat 59 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘ulil-amri’ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
Sejajar dengan matlamat IMPI yang ingin melahirkan murabbi Pendidikan Islam yang memahami konsep Islam yang sebenar berdasarkan aqidah dan Syariah Islamiah, maka kita perlulah sentiasa menjalankan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT dengan sempurna serta mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah SAW pada setiap masa.
Akhir kalam, buanglah segala masalah hati antara kita yang boleh menjadi hijab kepada persatuan ini daripada mendapat rahmat Allah SWT. Basahkan lidah kita dengan menyebut nama Allah dan Rasulullah pada setiap ketika. Selain itu, ana berharap agar semua ahli Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam dapat membantu dan menyokong saf kepimpinan IMPI sesi 2010/2011 pada kali ini supaya kita bersama-sama dapat menjayakan matlamat persatuan bersama. Semoga ukhuwah antara kita semakin kukuh dan sentiasa tergolong dalam redha Ilahi.
“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di dalam agamaMu”
SALAM MAULIDUR RASUL 1432H.
Waallua'lam. Assalamualaikum w.b.t.
Pengerusi,
Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam,
Sesi 2010/2011,
IPG Kampus Perlis.
No comments:
Post a Comment