:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

03 November 2010

MUSIBAH

Assalamualaikum dan salam pendidikan,








Hari ini sudah masuk hari ketiga banjir melanda negeri Perlis. Diharapkan semua dapat menerima musibah yang melanda ini dengan redha. Semoga kita terus tabah bermuhasabah dalam mencari hikmah yang pasti terlindung dalam setiap perancangan Allah.




Banjir bertambah buruk, lebih 20 ribu dipindahkan

Keadaan banjir di utara Semenanjung kini bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di Kedah dan Perlis terus meningkat. 


Di Kedah, jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan meningkatkan kepada 15,509 penduduk daripada 4,292 keluarga di beberapa daerah sejak semalam. Daripada jumlah itu 10,834 penduduk daripada 3,108 keluarga dari daerah Kubang Pasu, 3,478 mangsa daripada 927 keluarga (Padang Terap), 709 penduduk daripada 154 keluarga (Kota Setar) dan 488 penduduk daripada 103 keluarga di Pokok Sena. 


Di Perlis, keadaan banjir bertambah buruk dengan angka mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 4,536 orang petang ini berbanding lebih 3,000 pada sebelah pagi. Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis berkata, mereka dipindahkan ke 35 pusat pemindahan dengan 2,548 mangsa di kawasan Kangar, 1,154 di kawasan Padang Besar dan 834 di kawasan Arau. Pasukan penyelamat masih mengesan mangsa-mangsa yang perlu dipindahkan untuk dibantu. 


Sementara itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah turut meninjau beberapa pusat pemindahan banjir hari ini. Antara pusat pemindahan yang dilawati baginda berdua ialah Sekolah Kebangsaan Guar Nangka, Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan, Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup dan Sekolah Kebangsaan Titi Tinggi. Pada lawatan itu, Raja Muda Perlis menasihati mangsa-mangsa banjir supaya bersabar dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan mereka. 


Di Kedah - Kubang Pasu adalah daerah paling teruk terjejas akibat banjir dan sehingga 11.30 pagi ini seramai 6,215 orang dari 1,443 keluarga telah dipindahkan ke 34 pusat pemindahan. Keadaan banjir di daerah itu dijangka bertambah buruk hari ini akibat aliran air dari daerah Padang Terap dan paras air di semua terusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan sungai di Kubang Pasu kini melepasi paras bahaya. 


Sehubungan itu, Pegawai Daerah Kubang Pasu, Datuk Noh Dahya, menasihatkan penduduk di daerah berkenaan terutama mereka yang terbabit dalam banjir besar pada 2005 supaya bersedia dan seboleh-bolehnya berpindah awal. Katanya, ini kerana paras air dijangka meningkat dalam tempoh enam jam bermula 11.30 pagi. 


"Setakat ini boleh dikatakan hampir seluruh daerah ini dilanda banjir dan penduduk di 33 kampung dalam 16 mukim telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir," katanya. Pada 2005, lebih 11,000 penduduk dipindahkan akibat banjir di Kubang Pasu. 


Selain Kubang Pasu, daerah lain yang kini dilanda banjir ialah Padang Terap dan sehingga kini seramai 2,368 orang telah dipindahkan, Kota Setar (313 orang) dan Pokok Sena (368 orang). Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Padang Terap Khalijah Latif berkata antara kampung yang terlibat di daerah itu ialah Mani A, Mani B, Mani C, Tanjung, Labi, Kuala Janing, Felcra Belimbing Tualak, Bendang Raja serta Padang Sanai. 


Bacaan paras air bagi tiga sungai di daerah itu melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kuala Nerang 21.08 meter (bahaya 17.07m), Sungai Kubu di paras 15.13m (bahaya 13.02m) dan Sungai Naka di paras 34.21m (bahaya 33m). Tinjauan mendapati jalan utama dari Kuala Nerang menuju Padang Terap ditutup untuk semua lalu lintas. 


Jurucakap bilik gerakan banjir Pokok Sena Noor Nazila Hassaim berkata tujuh kampung di daerah itu kini ditenggelami air, antaranya Kampung Bukit, Kampung Baru, Kampung Derang dan Kampung Bukit Hijau. 


"Empat pusat pemindahan yang dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau, Surau Seberang Paya, Dewan Kampung Empa dan Surau Permatang Limau," katanya. Di Kota Setar, sebanyak 11 kampung ditenggelami air dengan semua sungai di daerah itu kini melepasi paras bahaya. 


- Bernama
Pelajar UiTM Arau dijangka berdepan krisis bekalan makanan
2010/11/03


KANGAR: Lebih 8,000 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau dijangka berdepan krisis bekalan makanan, jika banjir yang melanda seluruh negeri sejak malam Ahad lalu terus berlarutan. 


Keadaan itu memaksa pihak universiti mencatu bekalan makanan sedia ada untuk memastikan stok sedia ada mampu menampung keperluan semua pelajar untuk tempoh sekurang-kurangnya dua hari lagi.


Pengarah UiTM Perlis, Prof Dr Khudzir Ismail, berkata ketika ini pihak universiti menggunakan sistem kupon untuk mengawal bekalan sedia ada bukan saja kepada lebih 6,000 pelajar yang kini menginap di kampus, malah turut membabitkan pelajar luar kampus.


"Sehingga kini, lebih 1,000 pelajar luar kampus sudah dibawa masuk untuk diberi perlindungan sebagai langkah berjaga-jaga selepas banjir mula melimpahi sekitar negeri termasuk di Arau. 


"Cuma, kita sekarang bimbang bekalan makanan akan terputus memandangkan banyak kedai di sekitar pekan Arau dan bandar Kangar tutup, apatah lagi bekalan sedia ada hanya mencukupi untuk tempoh dua hari saja," katanya. 


Sementara itu, lebih 7,000 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diberikan cuti sehingga bencana banjir reda, manakala 34 pelajar antarabangsanya pula dipindahkan dari penempatan di taman Aman ke Wang Ulu di Kuala Perlis. 


Selain itu, ratusan lagi penuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Perlis juga dilapor turut terputus bekalan selepas laluan utama sekitar kawasan terbabit mula dinaiki air sehingga paras dada. 



Usaha menghantar bekalan masuk ke kawasan terbabit oleh waris juga sukar kerana paras air yang tinggi dan arus deras. Bagaimanapun, tinjauan mendapati ada di kalangan penuntut yang mengambil risiko keluar mengahrungi banjir untuk membeli bekalan makanan. 



Difahamkan, sehingga jam 12 tengah hari semalam, sejumlah 8,042 mangsa banjir membabitkan 2,050 keluarga di seluruh Perlis dipindahkan ke 42 pusat pemindahan yang dibuka, melebihi rekod dicatatkan pada banjir besar 2005 yang melanda Perlis lalu, membabitkan kira-kira 8,000 mangsa. 


Berdasarkan tinjauan, paras air di sekitar negeri semakin meningkat dengan lebih banyak lokasi terutama di sekitar Kangar, mula dinaiki banjir. 


Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Perlis, Nishad Mohamed Mohd Shaffy, ketika dihubungi, berkata paras air di sekitar Empangan Timah Tasoh kini semakin menurun ke paras 30 meter berbanding 30.49 meter kelmarin. Bagaimanapun, ia masih diklasifikasikan sebagai melepasi paras bahaya. 


"Buat masa sekarang, satu daripada enam pintu di Empangan Timah Tasoh yang dibuka untuk melepaskan air keluar, sudah ditutup dan jika cuaca stabil, kemungkinan besar keadaan akan kembali pulih dalam tempoh dua hari," katanya.


-Berita Harian

01 November 2010

SALAM IMTIHAN

Assalamualaikum dan salam pendidikan, 




Musim peperiksaan berkunjung lagi menyapa yang terjaga menantinya, juga yang terlena terleka dibuai angin musim dingin ini. Semoga kita semua dirahmati Allah dan dipermudahkanNya menghadapinya dengan penuh persediaan, penuh pergantungan kepada Allah, Tuhan penentu segala urusan. 




Bagi mereka yang menginginkan kecemerlangan sanggup mengekang mata di waktu malam mengulang kaji pelajaran sedangkan orang lain tidur lena. Berpenat lelah demi meraih apa yang dicita-citakan kerana mengingatkan pesan Baginda ar-Rasul dalam sabdanya: 



إن الله يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه 
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyukai apabila seseorang itu beramal ia menekuni amalannya itu.” 

Walau bagaimanapun, Pengharapan kita kepada Allah menuntut kita menabur usaha sedaya mungkin beserta tawakkal sepenuhnya hanya kepadaNya. Firman Allah: 

وَإِلَى رَبِّكََ فَارْغَبَْ 
Maksudnya: “Dan kepada Tuhanmu maka kau letakkan pengharapan.”  (al-Insyirah: 8) 

Dengan itu, semoga insyaAllah kita harapkan pergantungan kita kepada yang Maha Penentu tidak pernah putus kerana “Dialah yang kita sembah dan kita pohon segala sesuatu” seperti firmanNya dalam surah al-Fatihah yang kita gemakan setiap hari di hadapanNya. Penyerahan kita kepada Allah adalah meyakini Dialah sebaik-baik yang merancang dan ketetapanNya pasti yang terbaik untuk diri kita. 


Firman Allah: 



وَخَلَقََ كُلََّ شَيْ ءَ فَقَدَّرَهُ تَقْدِيرًا 

Maksudnya: "dan Dia telah menciptakan segala sesuatu dan menentukannya dengan ketentuan yang sempurna.”  (Al-Furqan: 2) 


Ibnu ‘Ataillah pernah berpesan: 



سوابق الهمم لا تخرق اسوار الاقدار 
Maksudnya: “Himmah yang menggebu tidak dapat menerobos takdir (yang telah ditentukanNya)” 

Beliau mengingatkan supaya menanam iman yang tinggi dan bermujahadah berterusan, bukan sebaliknya dilamun angan-angan yang menipu dan mengundang bisikan syaitan yang melekakan. 


Menjadi cita-cita setiap daripada kita untuk beroleh yang terbaik dalam mendaki menara gading, berjaya memperoleh segulung ijazah yang membanggakan ibubapa yang tersayang. Tiada siapa yang mahu gagal, tiada siapa yang mahu terkandas. Itulah harapan agung setiap daripada kita. 




Namun begitu, pastinya apa yang akan berlaku adalah tertakluk kepada iradah Ilahi mengatasi segalanya. Dialah yang telah menetapkan perancangan sejak azali lagi. Maka sewajarnya kita membulatkan keimanan kita kepada apa jua ketetapanNya. Boleh jadi indah, boleh jadi menghampakan, tetapi segalanya pasti terbaik untuk diri kita. Apa yang lebih penting adalah berusaha sebaik mungkin dan berserah, kemudiannya bersyukur dan bersabar atas ketentuanNya. 




Sekali lagi Ibnu 'Ataillah meninggalkan pesan: 



يكفى من الجزاء لك على العمل ان كان له قابلا 
Maksudnya: “Cukuplah untuk anda sebagai balasan Allah atas amalan itu, jika Allah menerimanya” 

Sesungguhnya kita tidak akan disoal mengenai iradah Allah, tetapi hanya amalan dan usaha kita yang akan berada di atas timbangan nanti. Kita juga sentiasa berdoa kepadaNya agar dianugerahkan kejayaan di dunia dan terutamanya di akhirat. 


Berhati-hati dengan sang nafsu memperdaya kita untuk berlengah dan mengabaikan tanggung jawab berusaha. Niat yang ikhlas tidak akan membunuh akal untuk berfikir dan tubuh untuk berusaha. Sedangkan angan-anganlah yang membuat kita bermalasan. Tanggungjawab kita bukan sekadar beroleh segulung ijazah, tetapi sebagai agen pembangun ummah. Ijazah sekadar alat, bukan matlamat. 


Sedarilah posisi kamu, dan beramallah berdasarkannya. Ketahuilah keutamaan dalam keadaan-keadaan tertentu.



Ingatlah, perjalanan kita masih jauh destinasinya. Langkah hari ini adalah permulaan, berbekallah dengan sebaik mungkin. Semoga kita menjadi modal kejayaan ummah apabila kita beroleh kecemerlangan. 

“Andainya generasi hari ini merupakan modal bekalan kepada tuan, maka generasi akan datang adalah merupakan hasil semaian tuan” 
                                                                                      (Imam As-Syahid Hasan Al-Banna) 



Selamat menghadapi musim peperiksaan. Bitaufiq wan Najah. 







*Diolah daripada Bicara MSM Edisi Safar 1431H