:: Selamat Datang ke Blog Rasmi Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI) Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis ::

09 August 2010

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN...


 Ramadan akan menjelma lagi, musim ibadah yang menjanjikan rahmat dan keberkatan kepada orang yang berpuasa. Setiap detiknya mengandungi keampunan dan keberkatan. Kedatangannya dinanti oleh orang yang bertaqwa. Rasulullah SAW biasa berdoa bermaksud, ‘Ya Allah berkati kami dalam Rejab dan Sya’aban dan sampaikan kami Ramadhan.’ (Hadis riwayat at-Tabrani dan Ahmad). Apabila sampai Ramadhan para sahabat saling mengucapkan Ahlan wa sahlan ya Ramadhan’ bererti selamat datang Ramadhan!
  Berpuasa Ramadhan bertujuan menambahkan Taqwa. Taqwa ialah kekuatan dalaman anugerah Allah untuk manusia berhadapan dengan fitnah hidup ini dengan selamat hingga ke akhirat. Kesannya mendalam hingga ke Ramadhan akan datang. Rasulullah telah menjanjikan kita dengan sabdanya, “Solat yang lima. Jumaat hingga Jumaat, dan Ramadhan hingga Ramadhan menghapuskan dosa-dosa yang di antaranya apabila (dengan syarat) dijauhi dosa-dosa besar” (Riwayat Muslim).

Hati dibersihkan dari dosa dan nafsu dapat dijinakkan. Asalnya nafsu berguna untuk mengurus diri dan alam keliling. Dengan nafsu manusia sukakan kebersihan, keindahan. makan minum. dan berkeluarga hingga berkembang biak memenuhi bumi. Namun, nafsu mudah menjadi liar hingga membahayakan diri dan alam. Betapa kecantikan terjebak kepada kelucahan. Urusan makan minum menjadi perebutan harta dan takhta. Kesihatan, kekuatan dan kemudaan sering disalahgunakan hingga tergadai usia muda kerana lupa kepada Allah.

Berlapar penting untuk menjinakkan nafsu. Itu adalah peraturan Allah yang Maha Mengetahui. Apabila berpuasa mengikut sunnah Rasul SAW, hati Muslim menjadi lembut dan takut kepada azab Allah. Muslim lebih teliti dalam tindak tanduknya. Selain berlapar, berpuasa ialah menahan diri daripada perkara yang berdosa, tidak bermoral dan sia-sia. Berpuasa pada perut ialah tidak makan, berpuasa pada Iidah ialah tidak bercakap sia-sia atau mengumpat. Berpuasa telinga ialah tidak mendengar muzik rock dan perbuatan lucah. Berpuasa mata ialah tidak memandang yang berdosa seperti aurat, atau memandang seseorang dengan marah.

Nabi bersabda, “Bukanlah puasa itu semata-mata meninggalkan makan dan minum tetapi puasa ialah meninggalkan perbuatan sia-sia dan cakap kosong. Jika sesiapa dimaki atau diperbodoh oleh seseorang katakanlah;’Saya berpuasa, saya berpuasa”(Riwayat lbnu Khuzaimah dan lbnu Hibban).
Menurut hadith ini, orang yang berpuasa perlu kuat bersabar apabila dalam situasi genting atau bertelingkah. Disebutnya, ‘Saya berpuasa’ beberapa kali untuk mengingatkan diri agar tidak merosakkan pahala puasa. Puasa begitu penting dijadikan latihan mengubah sikap hingga Rasulullah mengingatkan kita, “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dan amalan sia-sia maka Allah tidak memerlukannya meninggalkan makan dan minumnya.” (Riwayat Bukhari).

Puasa Ramadhan menjanjikan perubahan bagi mereka yang mengisi masa dengan kebaikan dan ibadah. Kesemua amalan dibuat dengan penuh ilmu dan faham. Membaca al-Qur’an ialah membaca perintah dan hukum Allah. Tarawih ialah merehatkan hati dengan mendengar bacaan qari mengimami solat tarawih itu. Bertaubat ialah menyesali dosa dan ingin berubah menjadi taat. Beribadah pada Lailatul Qadar membawa keampunan dan kebajikan yang kekal seumpama seribu bulan. Beriktikaf ialah mengasingkan diri di dalam masjid dengan mengimbau kesalahan Iampau untuk membaiki diri dan umat. Zakat fitrah ialah tanda kesyukuran atas nikmat Allah yang melimpah, hingga ingin dikongsi kepada orang yang memerlukan.

Pada akhir Ramadhan, orang yang berpuasa mengikut adabnya akan menjadi orang baru kerana berjaya membuang segala kelemahan diri. Ramadhan di akhiri dengan kesedihan kerana berpisah dengan limpahan rahmat dan keampunan Allah. Alangkah gembiranya jika Ramadhan itu sepanjang tahun. Dari Abi Mas’ud Al-Ghifari r.a, katanya,’Rasulullah SAW bersabda;’Jikalau para hamba itu mengetahui apa dia Ramadhan,nescaya umatku berangan agar setahun itu kesemuanya Ramadhan.’ (Riwayat Ibnu Khuzaimah).

05 August 2010

GAZA: ANTARA KAU DAN AKU





“Saya hanya belajar di bawah cahaya pelita dan cahaya telefon bimbit”

Asma Amin Tubasi dari Rafah, pelajar cemerlang  kelas Tawjihi  menceritakan bahawa ayahnya ada menyuruhnya berhenti belajar dengan menggunakan lampu minyak kerana telah kerap berlaku siri kemalangan di Jaluran Gaza terhadap  anak-anak Gaza sehingga menyebabkan kecederaan  dan rumah terbakar kerana bahan api yang digunakan adalah tidak selamat kerana diseludup dari Mesir.
“Dia akan belajar selama  18 jam sehari, dan dia telah membuat saya sangat bangga hari ini, memperoleh  99.4%  pada subjek  sastera Tawjihi, nilai tertinggi di seluruh Gaza,” demikian cerita ayahnya kepada wartawan Maan News di rumahnya.

Dari bulan September hingga Mac, keluarga Asma terpaksa bergelap antara 2-8 jam setiap hari, tetapi pada Januari, saat Pihak Berkuasa  Palestin mengambil alih pengurusan bahan bakar ke Gaza dari Kesatuan Eropah, akibat kekurangan dana telah menyebabkan mereka terpaksa bergelap dari 8 – 12 jam sehari.

“Pemotongan bekalan kuasa ini telah  memburukkan keadaan hidup yang sudahlah  sulit di Gaza dan mengganggu hampir semua aspek kehidupan seharian, termasuk kerja rumah, perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan air serta perkhidmatan sanitasi,” laporan PBB khusus pada krisis elektrik di Gaza seperti yang  dilaporkan pada bulan Mei.
“Saya hanya berharap situasi ini akan berakhir dengan lebih baik,” kata Asma, menjelaskan bahawa ketika lampu minyak tidak lagi dapat digunakan, dia akan menggunakan lampu pada telefon.
Ayahnya, yang bekerja untuk Kementerian Wakaf  di Gaza, mengatakan dia bimbang tindakan Asma akan merosakkan matanya kerana membaca pada kadar pencahayaan  rendah, semenjak pemotongan bekalan elektrik dan kekurangan bekalan bahan bakar,  menyebabkan Gaza bergelap setiap hari selepas jam 10.00mlm.
Prestasi belajar Asma  adalah sangat mengejutkan dan membahagiakan warga Gaza memandangkan  masalah berkaitan sistem pendidikan di Gaza saat kritikal. Statistik daripada PBB menunjukkan bahawa kehadiran dan prestasi di sekolah umum telah menurun  akibat dari infrastruktur pendidikan yang terhad, bilangan kelas yang terhad dan pelajar terlalu ramai dalam sesebuah kelas, ditambah lagi dengan gangguan dari operasi tentera Israel setiap hari.
Pada semester pertama tahun 2007-2008 sekolah, hanya 20% dari 16,000 pelajar kelas enam di Gaza lulus ujian standard  Matematik, Sains, Bahasa Inggeris dan Arab, menurut satu kajian yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan di Gaza.
Ketika Asma melihat keputusan ujian yang dia telah lalui, “saya teriak, saya menangis, saya tertawa, saya seperti tidak percaya apa yang telah saya lakukan,” jelasnya.
Dia seorang gadis yang berdedikasi, dia membaca pada setiap masa saat situasi yang dihadapinya adalah sangat sulit, “jelas ayahnya. Tambah ayahnya lagi Asma percaya dia begitu tekad untuk berjaya kerana dia ingin” masa depan yang lebih baik untuk dirinya sendiri, dan masa depan yang lebih baik untuk Gaza. “ (mnn)
* muhasabah diri, sejauh manakah iltizam kita sebagai pelajar?